Bermodalkan RM400, bekas mekanik ternak ayam penelur

Bermodalkan RM400, bekas mekanik ternak ayam penelur

Muhammad Azam (kiri) memegang baka ayam penelur Black Austrolop dan Muhammad Nizal memegang baka Light Sussex di ladang ayam milik mereka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Percubaan berani dua beradik ini menceburi bidang penternakan membuahkan hasil yang memberangsangkan.

Muhammad Azam Mohamad Aini,23, dan Muhammad Nizal,32, yang dahulunya bergelar mekanik kini berjaya memasarkan 200 ekor ayam penelur setiap bulan dengan harga sekitar RM40 hingga RM250 seekor.

Kata Muhammad Azam, ayam baka import itu mampu bertelur hingga 300 biji setahun bagi setiap ekor sekali gus menjadikan kadar penghasilan baka yang tinggi.

“Ayam yang kami ternak adalah anak ayam yang dijadikan baka untuk menghasilkan ayam penelur.

“Kemampuan ayam ini bertelur 200 hingga 300 biji setahun menyebabkan saya tertarik untuk menternaknya.

“Begitu pun, ada juga telur yang tidak menjadi, jadi sebulan kita boleh hasilkan sekitar 200 ekor ayam penelur,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Setakat ini, sebanyak 60 hingga 70 baka induk diternak di ladang bersaiz sederhana yang terletak di Ijok, Kuala Selangor.

Baka ayam yang diimport dari Australia, United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS) itu diperoleh daripada pembekal.

Antara spesies yang diusahakan ialah Austrolop Blue, Rhode Island Red, Silver Wyan­dotte, Ratu Dokmak, Barred Plymouth Rock, Coronation Sussex dan White Leghorn.

Muhammad Azam (dua dari kanan) dan Muhammad Nizal (kanan) bergambar bersama pelanggan yang datang ke ladang ayam baka import milik mereka.

KELEBIHAN AYAM IMPORT

Berbekalkan modal sekitar RM400, Muhammad Azam dan abangnya memulakan penternakan ayam sejak setahun lalu.

Katanya, ayam import bukan sahaja mampu bertelur hingga 300 biji setahun, malah penjagaannya juga tidak terlalu rumit.

“Anak-anak ayam penelur import ini harganya antara RM40 hingga RM250 seekor. Walaupun harganya agak tinggi tetapi berbaloi dengan hasilnya kelak.

“Berbaloi untuk diternak secara komersial atau pun dibela seekor dua untuk bekalan protein seisi keluarga terutama bagi yang tinggal di kampung,”ujarnya.

PASARAN SELURUH NEGARA

Kedua beradik ini meluaskan pasaran mereka dengan membekalkan ayam jenis Ratu Dokmak yang sering dijadikan sebagai ayam hiasan.

Ayam penelur dan ayam ratu mendapat permintaan tinggi sekali gus memberikan pulangan memberangsangkan kepada penternak muda ini.

“Sebagai penternak ayam penelur baka import, pasaran kami bukan sahaja terhad di Lembah Klang malah dihantar ke seluruh negara (kecuali Sabah dan Sarawak) menggunakan khidmat penghantaran bungkusan khas.
“Kami juga memasarkan ayam kami menerusi media sosial dan khidmat penghan­taran bagi pesanan di luar kawasan.

“Alhamdullillah permintaan tinggi daripada pengusaha ayam penelur dan peminat ayam jenis Ratu Dokmak yang cantik dan unik,” katanya yang memasarkan ayam melalui laman Facebook Berjaya Farm.

BELAJAR SENDIRI

Selain mempelajari selok-belok penternakan ayam menerusi platform YouTube, mereka turut mendapatkan nasihat dan tunjuk ajar daripada penternak berpengalaman.

Mengulas mengenai cabaran, katanya, proses menjaga dan mengeramkan telur sedikit sukar kerana peralatan yang digunakan untuk mengeram agak mahal.

Disebabkan itu, mereka mengambil inisiatif untuk mencipta sendiri peralatan serupa dengan kos yang lebih rendah.

Setakat ini, penternakan mereka berjalan dengan lancar dan mampu menjana pendapatan yang berbaloi.
Jelas Muhammad Azam, kejayaan itu juga adalah berkat doa ibu, Azizah Ismail,64, dan bapa,Mohamad Aini Hussin,70, yang memberi galakan untuk mereka meneruskan usaha penternakan tersebut.

Sementara itu, peminat ayam ratu, Afendy Mohd.Dahlan berharap agar usaha murni kedua anak muda mendapat sokongan dan bantuan pihak berwajib..

“Usaha yang dilakukan kedua anak muda ini adalah sesuatu yang membanggakan.

“Semoga ada pihak berkuasa yang dapat membantu mereka mengembangkan penternakan ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN