PARLIMEN: Madani Mart jenama swasta, bukan kerajaan

PARLIMEN: Madani Mart jenama swasta, bukan kerajaan

ARMIZAN MOHD. ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Madani Mart merupakan jenama peruncitan swasta dan bukannya inisiatif kerajaan dan kementerian tidak mempunyai data rasmi mengenai status operasi, jumlah cawangan, permohonan mahupun bilangan usahawan yang terlibat.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, Madani Mart dioperasikan menerusi konsep pelesenan dengan Yayasan Madani bertindak sebagai pemilik dan pelesen jenama berkenaan, manakala operasi premis dikendalikan oleh entiti perniagaan yang diberikan lesen tersebut.

Menurutnya, hubungan berkaitan pendaftaran lesen dan pengoperasian Madani Mart melibatkan Yayasan Madani dengan entiti perniagaan yang dilesenkan dan tidak berada di bawah bidang kuasa kementerian.

“Sehubungan itu, kementerian tidak menyimpan data rasmi khusus berkaitan status operasi, jumlah cawangan yang beroperasi, jumlah permohonan yang diterima mahupun bilangan usahawan yang terlibat dalam inisiatif tersebut.

“Maklumat terperinci berhubung perkara tersebut adalah di bawah bidang kuasa dan rekod pihak pengurusan entiti berkenaan,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) yang meminta kementerian menyatakan status terkini pelaksanaan MADANI Mart termasuk jumlah cawangan yang telah beroperasi, jumlah permohonan diterima dan jumlah usahawan yang terlibat.

Armizan berkata, walaupun Madani Mart tidak berada di bawah bidang kuasa langsung KPDN, terdapat dua perkara yang melibatkan tanggungjawab kementerian.

“Yayasan Madani telah didaftarkan melalui Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) di bawah Seksyen 45 Akta Syarikat 2016 sebagai sebuah syarikat berhad menurut jaminan.

“Mana-mana pihak atau entiti perniagaan yang menjalankan aktiviti berkaitan barang kawalan berjadual tertakluk kepada Akta Kawalan Bekalan 1961 dan perlu mendapatkan Lesen Barang Kawalan Berjadual (CSA) daripada KPDN.

“Berdasarkan rekod kementerian, dua cawangan MADANI Mart memiliki lesen CSA yang didaftarkan atas dua entiti perniagaan yang bertindak sebagai operator,” katanya.

Beliau berkata, KPDN sentiasa menyokong sebarang inisiatif yang dapat meningkatkan akses rakyat kepada barangan keperluan harian pada harga berpatutan serta membuka peluang perniagaan kepada usahawan tempatan.

Katanya, kementerian akan terus memainkan peranan dalam mewujudkan ekosistem perdagangan yang kondusif, berdaya saing dan memberi manfaat kepada pengguna serta komuniti perniagaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN