Mekah tidak akan sunyi daripada 1001 kisah yang menyimpan pelbagai suka duka perjuangan Rasulullah SAW dalam menyebarkan dakwah Islam kepada manusia. Begitupun ada monumen sejarah penting yang tidak lagi dapat ditatap oleh generasi hari ini, antaranya rumah Saidatina Khodijah binti Khuwaylid yang merupakan isteri pertama Rasulullah SAW.
SAIDATINA KHODIJAH BINTI KHUWAYLID
Khodijah binti Khuwaylid bin Asad bin ‘Abdul ‘Uzza bin Qusoyy bin Kilab bin Murroh, berdarah Quraysh. Ibu beliau bernama Fatimah binti Za’idah bin al-Asomm bin Rowahah bin Hajar bin ‘Abd bin Ma‘is bin ‘Amir bin Lu’ayy bin Gholib bin Fihr. Nasab Saidatina Khodijah daripada sebelah ayah menunjukkan bahawa nasab Rasulullah SAW dan nasab beliau bertemu di Saidina Qusoyy bin Kilab, manakala daripada sebelah ibu, bertemu dengan nasab Rasulullah SAW di Saidina Lu’ayy bin Gholib bin Fihr.
Sebelum berkahwin dengan Rasulullah SAW, Saidatina Khodijah binti Khuwaylid berkahwin dengan Abu Halah bin Zuroroh bin al-Nabbash bin ‘Adiyy al-Tamimiyy.
Beliau kemudiannya berkahwin dengan ‘Atiq bin ‘A’idz bin ‘Abdullah bin ‘Umar bin Makhzum sebelum berkahwin dengan Rasulullah SAW.
Menurut al-Imam Ibnu Ishaq, Saidatina Khodijah orang yang mula sekali mempercayai kerasulan Nabi Muhammad SAW.
Beliau ibu kepada seluruh anak-anak baginda kecuali putera Rasulullah SAW yang bernama Ibrohim yang lahir dari rahim Saidatina Mariya al-Qibtiyyah. Saidatina Khodijah pernah mendapat salam daripada Allah Taala.
Ini sebagaimana yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Nasa’iyy di dalam kitab al-Sunan al-Kubro, kitab Fadho’il al-Sohabah dan kitab ‘Amal al-Yawm Wa al-Laylah dengan sanad beliau: daripada (Saidina) Anas, beliau berkata: Jibril telah datang kepada Nabi SAW yang ketika itu (Saidatina) Khodijah ada bersama baginda. Lalu beliau (Jibril) berkata: Sesungguhnya Allah menyampaikan salam kepada Khodijah. Lalu beliau (Saidatina Khodijah) berkata: Sesungguhnya Allah adalah al-Salam. Salam sejahtera ke atas Jibril dan ke atasmu (jua wahai Rasulullah) salam sejahtera, rahmat Allah dan keberkatan-keberkatan-Nya.
LOKASI RUMAH SAIDATINA KHODIJAH
Rumah Saidatina Khodijah tidak ada lagi binaannya hari ini, namun lokasinya tetap diingati zaman-berzaman.
Ia berada tidak jauh daripada bukit Marwah dengan kedudukan secara tepatnya N 21.424720 E 39.827860. Al-Azroqiyy di dalam kitabnya; Akhbar Makkah menyatakan bahawa ada pandangan menyatakan bahawa antara rumah yang berhampiran dengan rumah Saidatina Khodijah binti Khuwaylid adalah rumah Abu Lahab bin ‘Abdul Muttolib.
Bahkan al-Fakihiyy di dalam kitabnya berjudul Akhbar Makkah telah mendatangkan riwayat yang menyatakan bahawa rumah Saidatina Khodijah terletak di antara dua rumah penentang Rasulullah SAW iaitu rumah Abu Lahab dan rumah ‘Uqbah bin Abu Mu‘ayt.
Al-Azriqiyy menyatakan bahawa setelah Rasulullah SAW berhijrah ke al-Madinah, rumah Saidatina Khodijah diambil oleh sepupu Rasulullah SAW, bernama Mu’attib bin Abu Lahab.
Saidina Mu’attib menjual rumah bersejarah ini kepada Saidina Mu’awiyah bin Abu Sufyan dengan harga 100,000 dirham (ketika itu 100,000 dirham menyamai 10,000 dinar iaitu menyamai 42.5 kg emas).
Bagaimanapun al-Fakihiyy di dalam kitab yang turut berjudul Akhbar Makkah menyatakan rumah Saidatina Khodijah diambil oleh sepupu Rasulullah SAW, bernama ‘Aqil bin Abu Tolib. Setelah itu Saidina ‘Aqil bin Abu Tolib telah menjual rumah bersejarah ini kepada Saidina Mu‘awiyah bin Abu Sufyan ketika beliau menjadi khalifah.
PENURUNAN SURAH AL-MUDDATHIR
Setelah penurunan lima ayat pertama daripada Surah al-‘Alaq pada Isnin 21 Ramadan tahun 13 sebelum hijrah bersamaan 17 Ogos 610 Masihi, wahyu telah terhenti dalam tempoh yang agak lama.
Namun pada Ahad 3 Zulhijjah tahun 13 sebelum hijrah bersamaan 27 September 610 Masihi, Rasulullah SAW melihat Malaikat Jibril duduk di atas kerusi yang tergantung-gantung di antara langit dan bumi.
Ini menyebabkan timbul rasa takut yang bersangatan di dalam hati Rasulullah SAW lalu baginda pulang ke rumah Saidatina Khodijah binti Khuwaylid serasa bersabda: Kalian semua selimutilah saya.
Maka ketika itulah Allah menurunkan wahyu kedua kepada Rasulullah SAW iaitu ayat pertama sehingga ayat kelima daripada Surah al-Muddathir bermaksud: Wahai orang yang berselimut. Bangunlah lalu berilah peringatan. Tuhanmu lalu besarkanlah (Dia). Pakaianmu lalu bersihkanlah (ia). Kekejian (iaitu berhala) lalu tinggalkanlah (ia).
LOKASI KEHARMONIAN KELUARGA NABI
Setelah berkahwin dengan Saidatina Khodijah binti Khuwaylid pada Isnin 1 Safar tahun 27 sebelum hijrah bersamaan 4 Jun 596 Masihi, Rasulullah SAW tinggal di rumah Saidatina Khodijah.
Perkahwinan yang mencecah 25 tahun itu, menyaksikan kelahiran seluruh putera dan puteri hasil perkongsian hidup antara Rasulullah SAW dengan Saidatina Khodijah di dalam rumah yang penuh kemuliaan ini.
Saidina Ali bin Abu Tolib juga semasa kecilnya telah dijaga oleh Rasulullah SAW dan Saidatina Khodijah di dalam rumah ini demi membalas kebaikan pakcik Rasulullah SAW iaitu Abu Tolib yang pernah mengasuh baginda di dalam rumahnya setelah Saidina ‘Abdul Muttolib bin Hasyim wafat pada Isnin 9 Rabiul Awal tahun 45 sebelum hijrah bersamaan 23 Januari 579 Masihi.
Saidina Ali akan berulang-alik dari rumah ayahnya ke rumah Rasulullah SAW.
Akhirnya setelah melihat Rasulullah SAW dan Saidatina Khodijah melaksanakan solat di dalam rumah Saidatina Khodijah pada malam Selasa 19 Zulkaedah tahun 13 sebelum hijrah bersamaan 13 Oktober 610 Masihi, Saidina Ali setelah bertanya tentang agama baru ini akhirnya memeluk agama Islam pada duha Selasa 19 Zulkaedah tahun 13 sebelum hijrah dalam usia baru 10 tahun.
Allah mengambil nyawa Saidatina Khodijah binti Khuwaylid yang mulia di dalam rumah ini pada Sabtu 10 Zulhijjah tahun 4 sebelum hijrah bersamaan 28 Julai 619 Masihi. Beliau wafat ketika berusia 65 tahun.
Setelah kewafatan Saidatina Khodijah, Rasulullah SAW terus membesarkan anak-anak perempuan baginda di dalam rumah ini sehinggalah baginda meninggalkan rumah ini pada malam Jumaat 28 Safar tahun 1 Hijriah bersamaan 10 September 622 Masihi untuk berhijrah ke kota al-Madinah.
PENGISLAMAN SAIDINA ‘ABDUL RAHMAN BIN ‘AWF
Antara peristiwa penting berlaku dalam rumah Saidatina Khodijah binti Khuwaylid adalah pengislaman Saidina ‘Abdul Rahman bin ‘Awf.
Kisah pengislaman beliau sebagaimana yang direkodkan di dalam kitab Mir’ah al-Zaman Fi Tawarikh al-A‘yan adalah berpunca daripada pertemuan beliau di Yaman dengan seorang lelaki tua daripada orang-orang tua Himyar.
Lelaki yang bernama ‘Askalan bin ‘Awakin al-Himyariyy itu bertanya kepada Saidina ‘Abdul Rahman bin ‘Awf: Adakah kamu mengenali Muhammad bin ‘Abdullah bin ‘Abdul Muttolib? Setelah beliau mengiyakan soalan tersebut, lelaki tua tersebut berkata: Sesungguhnya dia telah dibangkitkan daripada kalian. Berhati-hatilah daripada kamu menyanggahinya kerana dia adalah nabi umat ini.
Saidina ‘Abdul Rahman pun pulang ke Makkah dan menceritakan kisah pertemuannya dengan lelaki tua Himyar itu kepada Saidina Abu Bakr. Maka Saidina Abu Bakr yang sudahpun memeluk Islam ketika itu, membenarkan ucapan lelaki tua itu dengan menyatakan bahawa Nabi Muhammad SAW telah diutuskan sebagai rasul kepada manusia. Lalu Saidina Abu Bakr memimpin tangan Saidina ‘Abdul Rahman bin ‘Awf dan membawa beliau bertemu
Rasulullah SAW di rumah Saidatina Khodijah binti Khuwaylid.
Akhirnya Saidina ‘Abdul Rahman memeluk Islam di hadapan Rasulullah SAW di dalam rumah yang berkat ini.
PENULIS adalah Sheikh Ruwaq Jawi Pusat Pengajian Ruwaq Jawi, Kaherah di Mesir.











