SEMPENA Hari Malaysia, jenama tudung dUCk mengeluarkan semula koleksi Malaysianya yang diberikan sentuhan istimewa.
Kali ini, edisi khas itu mengabadikan simbol ikonik daripada kesemua 14 negeri di Malaysia.
Antaranya ialah Masjid Negeri Sultan Abu Bakar di Johor; Rumah Kedai dan Riverwalk Peranakan (Melaka); Bandar Kuantan, Cameron Highlands dan ladang teh (Pahang); rumah Minangkabau (Negeri Sembilan) diikuti Pulau Ketam (Selangor).
Simbol lain terdiri daripada Pavilion Perak (Perak); Muzium Terengganu (Terengganu); Taman al-Quran Rehal (Kelantan); Menara Komtar dan rumah kedai Georgetown (Pulau Pinang); Muzium Padi dan Sky Bridge (Kedah); Tasik Melati (Perlis); Menara Tun Mustapha (Sabah) serta bangunan Perundangan dan patung kucing (Sarawak).
Turut tidak ketinggalan Menara Kuala Lumpur (KL), Menara Berkembar Petronas (KLCC), TRX, Merdeka 118, Telekom, Tasik Titiwangsa bagi Wilayah Persekutuan KL.
Kesemua simbol ikonik itu menghiasi selendang satin berharga RM350 yang boleh didapati dalam enam warna.
Kali pertama dUCk memperkenalkan koleksi Malaysia itu adalah pada 2014, dengan mengangkat rekaan berlatar belakang bandar raya KL.
Selain selendang, koleksi itu turut menampilkan baju T, kipas, beg tote kanvas, gelas, mangkuk tingkat dan buku nota.










