Tidak mahu sebut nama, memang dia selalu datang lambat ke set - Fasha Sandha - Utusan Malaysia

Tidak mahu sebut nama, memang dia selalu datang lambat ke set – Fasha Sandha

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Pelakon, Fasha Sandha,42, mengakui status yang dimuat naik menerusi WhatsApp Story berkaitan sikap seorang pelakon yang sering lewat ke lokasi penggambaran adalah satu teguran yang dibuat tanpa niat mahu mengaibkan mana-mana pihak.

Menurut Fasha, isu kelewatan itu bukan berlaku sekali atau dua kali, sebaliknya hampir setiap hari sepanjang penggambaran.

“Tak mengapalah, saya tak mahu sebut siapa pelakon yang datang lambat itu. Saya rasa dia sendiri tahu siapa dirinya. Kelewatan itu bukan berlaku sekali dua, tetapi hampir setiap hari.

“Jadi, saya harap dia jadikan perkara itu sebagai pengajaran supaya tidak lagi datang lambat pada masa akan datang,” katanya.

Fasha berkata demikian ketika ditemui di Majlis Pelancaran Kempen SAFI Youth Gold Rania Semarakkan  Seri Keremajaan 100 Wanita di Central I City, di sini, hari ini.

Menurut Fasha, kelewatan pelakon tersebut bukan sekadar beberapa minit, malah ada kalanya mencecah satu hingga dua jam sehingga memberi kesan kepada kelancaran proses penggambaran.

“Kelewatannya bukan berlaku sehari sahaja, tetapi hampir setiap hari dan sehingga berjam-jam. Ada kalanya lewat sejam atau dua jam. Jadi, itu tidak baik. Saya harap selepas ini dia lebih peka dalam menjaga masa dan menghormati orang lain,” ujarnya.

Dalam masa sama, Fasha berkata pendekatannya kini jauh berbeza berbanding dahulu apabila memilih untuk menegur secara lebih berhemah menerusi WhatsApp berbanding media sosial terbuka.

“Kalau dahulu,saya akan tulis di media sosial. Tetapi kali ini saya hanya meluahkan teguran itu melalui WhatsApp sahaja. Dia sendiri sudah tahu kerana dialah orang pertama yang menghantar WhatsApp kepada saya. Namun, saya tetap tidak mahu menyebut siapa dia,”ujarnya.

Ditanya sama ada dia pernah bersemuka dengan individu berkenaan, Fasha menjelaskan perkara itu sebenarnya telah pun diambil tindakan oleh pihak produksi.

“Sudah ada orang lain yang menegurnya bagi pihak produksi. Saya pasti. Saya juga tidak mahu menyebut namanya kerana bimbang ia akan menjejaskan periuk nasinya. Namun, sudah tentu seluruh warga produksi tahu siapa dia,” katanya.

Mengulas pandangan pelakon Que Haidar yang sebelum ini menekankan kepentingan disiplin dalam kalangan pelakon baharu, Fasha bersetuju bahawa disiplin dan komitmen merupakan asas utama untuk kekal relevan dalam industri seni.

“Betul. Disiplin dan komitmen ialah perkara paling utama yang perlu diberi perhatian dan diutamakan. Apabila kita menjaga disiplin dan komitmen, tiada siapa yang boleh menjatuhkan kita.

“Lihat sahaja saya. Saya rasa saya masih berada dalam industri ini sehingga hari ini kerana disiplin dan komitmen yang saya pegang. Itulah prinsip hidup yang saya pegang sejak dahulu hingga sekarang, Alhamdulillah. Jadi, teguran itu adalah supaya pelakon tersebut menjadi lebih baik,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN