SIAPA yang tidak mengenali pendakwah ikonik seperti Ustaz Wadi Anuar, Ustaz Azhar Idrus, Ustazah Asma Harun, Ustaz Datuk Kazim Elias dan Allahyarham Ustaz Datuk Abu Hassan Din Al-Hafiz.
Kehadiran mereka dalam sesebuah program keagamaan pasti ditunggu-tunggu dan sudah semestinya mendapat sambutan hangat daripada audien. Cara mereka menyampaikan ilmu dakwah sangat memikat, menusuk kalbu dan bersahaja.
Atas permintaan daripada jemaah sebuah surau yang terletak di Bandar Sri Permaisuri, Cheras untuk diadakan kelas pengajian Fardu Ain menjadi pencetus pembabitan awal Ustaz Muhammad Hafiz Suliman, 41 menapak dalam dunia dakwah.
Anak jati kelahiran Selangor ini bersyukur diberikan peluang Allah SWT berperanan sebagai pendakwah bagi menyebarkan ilmu dan ajaran Islam kepada masyarakat khususnya umat Islam di Selangor.
“Melaksanakan kerjakerja dakwah ini merupakan suatu kewajipan dan tanggungjawab semua orang mengikut tahap kemampuan masing-masing. Apatah lagi untuk menyambung legasi perjuangan dakwah Islamiah yang ditinggalkan oleh Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW,” katanya.
Lulusan Sarjana Pendidikan Islam dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ini berkata, dakwah efektif ialah penyampaian yang mampu memberi kesan kepada hati, mengubah perilaku dan mendekatkan seseorang kepada Allah dengan cara bijak.
“Dakwah perlu bersifat inklusif, menarik dan relevan agar sesuai dengan semua peringkat masyarakat,” katanya.
Muhammad Hafiz yang kini berkhidmat sebagai Pensyarah Akademik di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Pendidikan Islam, Bangi, Selangor ini, pernah menabur bakti di Sekolah Menengah Agama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) selama 16 tahun.

keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia.
SYARAT PENDAKWAH
Syarat utama pendakwah perlu mempunyai jaringan ilmu pengetahuan yang luas tentang asas-asas Islam merangkumi aqidah, fiqh, hadis, tafsir dan sejarah Islam.
Bagi melahirkan pendakwah unggul, mereka digalakkan mengikuti pelbagai kursus, bengkel atau program formal dalam bidang dakwah dan syariah yang sering dianjurkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Majlis Agama Islam Negeri dan Jabatan Agama Islam Negeri.
“Memiliki kad tauliah mengajar daripada institusiinstitusi agama yang diiktiraf adalah penting sebelum dibenarkan untuk berceramah atau mengajar di setiap masjid dan surau. Ini adalah salah satu cara pihak kerajaan membendung penyebaran dakyah ajaran dan pemikiran sesat yang bertentangan dengan fahaman ahli Sunnah Waljamaah,” katanya.
Kemahiran komunikasi yang baik termasuk kemampuan bercakap di khalayak ramai, kemahiran menulis dan kemampuan intelektual menggunakan teknologi sebagai alat medium dakwah adalah suatu keperluan kepada pendakwah hari ini.
Kebelakangan ini, ramai golongan agamawan mampu memuatnaik kandungan bahan-bahan ilmiah di platform media sosial sendiri.
Pun begitu, Muhammad Hafiz tidak menafikan penggunaan dakwah media sosial turut berhadapan cabaran seperti risiko penyebaran maklumat yang tidak tepat atau diambil di luar konteks yang boleh menyebabkan salah faham berlaku.
“Tidak semua pengguna media sosial mempunyai latar belakang yang kukuh dengan ilmu agama, jadi penting untuk berhati-hati memilih sumber. Petikan hadis yang disebarkan perlu diperiksa kesahihannya terlebih dahulu kerana terdapat banyak hadis palsu yang boleh menyesatkan akidah dan amalan umat Islam.
“Saya suka mengingatkan kepada umat Islam agar sentiasa mengambil cakna dan memilih siaran platform yang terbaik,” katanya.
Bekas alumni Universiti Al Azhar di Mesir ini mengakui kerja dakwah di zaman millennium memang lebih mencabar kerana perubahan sosial masyarakat, kecanggihan teknologi dan pengaruh pemikiran yang lebih kritikal serta pluralistik.

PERLU KREATIF
Dakwah yang kreatif sangat penting untuk menarik seramai mungkin jemaah terutamanya golongan muda bagi mendekati aktiviti di masjid dan surau.
Pendekatan yang inovatif dan relevan sejajar kehidupan harian dapat menyuntik elemen mesej dakwah.
“Penggunaan media sosial, seni dan teknologi moden serta aktiviti interaktif dapat menambahkan lagi pengalaman baru yang menyeronokkan serta luar biasa bagi jemaah,” katanya.
Sesibuk macam mana sekalipun, Muhammad Hafiz tetap mengutamakan keluarga tercinta. Hasil perkahwinan dengan wanita pilihan hatinya Sumaiya Shokri telah dikurniakan seramai enam cahaya mata.











