BARU-BARU ini saya bersama keluarga dan beberapa rakan sekerja berpeluang untuk beriadah di Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM).
Lokasi itu menjadi pilihan kerana kami mahu lari sebentar daripada kesibukan kota dan mencari ketenangan dengan suasana dalam irama alam.
Mungkin ada yang belum tahu, institut terletak di tapak seluas 545 hektar di Kepong, Kuala Lumpur ini bukan hanya menjadi tumpuan kemudahan penyelidikan malah ia turut menawarkan aktiviti riadakepada warga kota.
Antara aktiviti sempat kami kunjungi dalam lawatan selama sehari semalam itu ialah Jejantas Rimba dan Perah High Ropes Obstacles.
Boleh dikatakan kedua-dua aktiviti ini mencabar kelemahan diri saya yang sememangnya takut kepada ketinggian. Bahasa mudahnya, gayat.
Jejantas rimba atau turut dikenali sebagai Forest Skywalk berukuran 18 hingga 50 meter ini, cukup membuatkan saya berpeluh untuk menghabiskannya.
Walaupun sekadar berjalan di atas titian, namun jaraknya yang sejauh 250 meter agak menggerunkan.
Namun, rasa gerun dan gayat itu sedikit berkurang apabila dapat melihat keindahan panorama di menara peninjauan setinggi 50
meter.
Dari sini saya dapat melihat keindahan panorama hijau hutan belantara lebih kurang 30 kilometer dan bangunanbangunan sekitar ibu kota seperti Menara Kuala Lumpur dan Menara Berkembar Petronas.

Bagi sesiapa yang ingin mencabar rasa gayat bolehlah mencuba titian ini yang terletak di Taman Botani Kepong. Ia beroperasi setiap hari kecuali Jumaat.
Sebagai langkah keselamatan, hanya kanak-kanak berusia tujuh tahun ke atas dan dewasa sahaja dibenarkan naik kerana tangga untuk turun dan naik agak curam.
MALU-MALU SILARA
Dalam perjalanan ke aktiviti seterusnya iaitu Perah High Ropes Obstacles, kami sempat singgah sebentar ke kawasan hutan untuk melihat fenomena unik yang dihasilkan oleh pokok-pokok kapur, iaitu malu-malu Silara.
Berdasarkan penerangan daripada wakil FRIM yang menjadi juru pandu kami pada hari itu, Lim Chung Lu, fenomena malu-malu silara ini turut dikenali sebagai crown shyness.
Uniknya, pokok-pokok yang sama tinggi dan tumbuh bersebelahan itu tidak bersentuhan sesama sendiri= walaupun meliuk-lentok di
tiup angin.
Dari bawah, ia kelihatan seperti kanopi hijau yang cantik. Namun, kata Chung Lu, jika dilihat dari atas pokok ini kelihatan seperti sayur brokoli, sama seperti yang dapat dilihat sekitar Rawang Bypass.
Selesai bergambar kenangan di situ, kami meneruskan perjalanan ke destinasi seterusnya menaiki buggy.

Perah High Ropes Obstacles ini terletak di kampus utama FRIM yang berketinggian sekitar lima hingga 15 meter.
Di sini kami perlu melalui lima cabaran di iaitu postman walk, multivine walk, canopy walk dan dua flying fox.
Lengkap dengan peralatan keselamatan dan pemantauan daripada petugas, saya boleh menghabiskan aktiviti lasak ini dengan tenang.
Walaupun agak sukar untuk meniti tali halus di postman walk dan mengimbangi badan di multivine walk, namun semuanya terasa berbaloi apabila dapat ‘terbang’ sebentar di flying fox.
Dalam setiap sesi, peserta dapat merasai flying fox sebanyak dua kali iaitu sepanjang 100 meter dan 50 meter.
Harganya juga berpatutan iaitu RM700 bagi maksimum 200 peserta.
Percutian singkat ini memberikan saya kepuasan. Bukan sahaja dapat menikmati keindahan alam, malah dapat melakukan aktiviti lasak sambil mengeluarkan peluh.










