SEAWAL usia 25 tahun, wanita ini sudah berdepan ujian berat apabila dirinya disahkan menghidap kanser ovari.
Kehidupannya sekali lagi diuji apabila diserang kanser payudara, beberapa tahun selepas itu. Bukan sekali, tetapi berulang sebanyak dua kali.
Tempoh 23 tahun berjuang melawan kanser bukan satu perjalanan mudah buat wanita berusia 48 tahun ini.
Malah, ia turut memberikan pengajaran yang tidak ternilai kepadanya sekali gus menjadikan diri lebih kuat.
“Setiap episod menuntut saya untuk menilai semula kehidupan dan menerima perubahan.
“Harapan saya bukan tentang kelangsungan hidup sahaja, tetapi mengenai transformasi dan menghargai kehidupan dengan cara baharu, sama seperti rama-rama yang mengalami proses metamorfosis,” katanya.
Itu adalah salah satu perkongsian pengalaman oleh seorang pejuang kanser dalam sesi perkongsian sempena acara Gift of Time bagi meraikan pemandiri kanser payudara di Pulau Pinnag baru-baru ini.
Hadir sama, Ketua Perkhidmatan Luaran Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM), Dr. Dalilah Kamarudin dan Pakar Perunding Onkologi Hospital Adventist Pulau Pinang, Dr. Ang Soo Fan serta Dr. Kiley Loh. Acara anjuran NCSM dengan kerjasama Novartis Malaysia itu bertujuan memupuk rangkaian sokongan rakan sebaya dalam kalangan pemandiri kanser payudara.
Antara pengisian lain ialah ceramah kesihatan dan aktiviti memupuk keprihatinan.
Pulau Pinang catat kes tertinggi
Penganjuran acara itu di Pulau Pinang adalah kerana negeri itu mencatatkan kes kanser payudara tertinggi di Malaysia.
Berdasarkan statistik, sebanyak 50 kes direkodkan bagi setiap 100,000 wanita.
Berbeza dengan di negara-negara Barat, kanser ini lazimnya dikesan pada warga emas manakala wanita di Asia menghidapnya ketika berusia antara 40 hingga 50 tahun.
Sementara itu, Soo Fan berkata, kaedah rawatan berbeza-beza diperlukan untuk merawat pesakit.
Ia kerana tidak semua kanser mempamerkan sifat yang sama dan boleh diklasifikasikan kepada positif hormon, HER2+ dan triple-negatif.
“Perbezaan ini telah membawa kepada rawatan yang disesuaikan mengikut subjenis kanser payudara, latar belakang, masalah perubatan dan keperluan sosial pesakit,” katanya.
Menurut Kiley, di peringkat tempatan, ramai pesakit kanser didiagnosis pada tahap lanjutan.
Katanya, gabungan rawatan yang betul, kerap bersenaman dan amalan gaya hidup sihat, dapat membantu pemandiri kanser payudara menikmati kesihatan yang lebih baik.










