CARA pembuatan mi hiris yang unik iaitu doh mi dihiris-hiris dan dijatuhkan ke dalam periuk yang mengandungi air mendidih, menarik perhatian ramai.
Mi yang sudah dimasak kemudiannya ditos kelihatan putih memanjang seperti kue tiau dan dimakan dengan sup herba bersama daging atau hirisan ayam, udang dan sawi.
Pengurus Khidmat Pelanggan rangkaian restoran Mee Hiris China Muslim, Syafiqah Zulkifli berkata, mi hiris berbeza dengan kue tiau daripada segi tekstur dan cara pembuatannya yang unik.
“Menggunakan tepung, sedikit garam dan air, ia digaul dan diuli. Cara hirisan juga memerlukan teknik betul. Kalau laju sangat, mi dihasilkan boleh menjadi terlalu nipis dan jika perlahan sangat boleh menjadi tebal,” katanya pada majlis pembukaan cawangan restoran Mee Hiris China Muslim ke 31 di ibu kota baru-baru ini.
Restoran Mee Hiris China Muslim memiliki sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia sejak Julai 2023.
Semua makanan disediakan di pusat dapurnya dan pembekal mempunyai sijil halal. Majlis dimeriahkan dengan nyanyian berunsur patriotik oleh penyanyi, Man Bai.
Tetamu turut berpeluang menaiki bas Hop On Hop Off yang dibaluti gambar Mee Hiris China Muslim. Mereka di bawa mengelilingi lokasi tumpuan pelancong sekitar ibu kota.
Syafiqah berkata, pihaknya sentiasa memastikan setiap hidangan memenuhi pematuhan piawaian kualiti tinggi.
“Kami berdedikasi terhadap pematuhan halal dan keaslian tradisi kulinari Cina bagi meletakkan Mee Hiris sebagai nama dipercayai masyarakat di negara ini,” katanya.
Sempena sambutan Kemerdekaan ke 67, restoran memperkenalkan promosi Mee-rdeka Madness yang membolehkan pelanggan menikmati mangkuk kedua mi hiris pada harga RM6.70.










