SEJAK awal kemunculannya, kemudahan baby hatch menerima pelbagai reaksi daripada masyarakat kerana dikatakan menggalakkan zina dan pembuangan bayi.
Baby hatch yang diasaskan oleh pertubuhan bukan kerajaan, Yayasan OrphanCare merupakan sebuah peti khas yang membolehkan ibu yang
enggan dikenali meletakkan bayi mereka dengan selamat selepas kehamilan yang tidak dirancang.
Umumnya bayi diletakkan di baby hatch adalah daripada ibu yang hamil di luar nikah.
Pengurus Advokasi dan Komunikasi Yayasan, Riza Alwi berkata, statistik menunjukkan peningkatan signifikan jumlah bayi yang diletakkan di kemudahan baby hatch di seluruh Semenanjung Malaysia.
“Tahun lepas jumlah bayidiletakkan adalah 55, tetapi setakat Julai tahun ini, kita sudah menerima kira-kira 50 bayi.
“Tetapi jika difikir daripada sudut positif, ia adalah sesuatu yang baik kerana sudah semakin ramai yang sedar kepentingan untuk menyelamatkan nyawa bayi yang tidak bersalah.
“Daripada dibuang atau diletakkan di merata-rata, ibu-ibu ini memilih untuk selamatkan bayi mereka dengan meletakkan mereka di baby hatch. Malah, menurut Polis Diraja Malaysia (PDRM), meletakkan bayi di baby hatch bukan satu jenayah,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sejak ditubuhkan pada 2008, Yayasan Orphancare menyelamatkan seramai 612 bayi di mana 109 daripadanya yang diletakkan di baby hatch
dan 500 lebih adalah daripada wanita yang datang sendiri kepada pertubuhan itu.
Daripada jumlah keseluruhan, 380 bayi telah bersama keluarga angkat dan 217 dijaga sendiri oleh ibu dan keluarga, manakala 15 lagi diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atas sebab-sebab kesihatan.
BUKAN TEMPAT BUANG BAYI
Baby hatch bukan tempat untuk membuang bayi seperti mana yang dianggap oleh sesetengah pihak.
Sebaliknya, ia diwujudkan bagi mengelakkan kes buang bayi selain memberi peluang kepada ibu menyelamatkan bayi mereka selepas kehamilan yang tidak dirancang.
“Ini bukan tempat buang bayi, tetapi untuk selamatkan bayi. Kebanyakan yang hamil adalah mangsa rogol atau pelajar universiti yang masih di usia mentah kerana ada yang datang kepada kami sebelum melahirkan.
“Kita tidak mahu masyarakat salahkan wanita semata-mata kerana ini bukan masalah wanita, sebaliknya ia adalah masalah sosial semasa membabitkan lelaki dan wanita,” katanya.
Justeru, kemudahan itu membolehkan ibu-ibu membuat pertimbangan yang lebih baik terhadap bayi mereka walaupun kehamilan itu tidak dirancang.
Kewujudan fasiliti itu juga bagi membolehkan bayi-bayi itu dapat membesar dalam sebuah keluarga walaupun bukan bersama keluarga
kandung.
“Maksudnya, jika bayi itu ditinggalkan dengan selamat sekalipun di masjid atau dimana-mana, akhirnya bayi itu akan ke rumah anak yatim.
“Tetapi jika diserahkan kepada kami, kami akan mencari keluarga angkat untuk bayi ini kerana misi kami adalah setiap kanak-kanak perlu membesar dalam sebuah keluarga,” kata Riza.

KEKURANGAN PERMOHONAN
Bayi-bayi yang diserahkan kepada yayasan akan diuruskan untuk proses pengangkatan dengan prosedur yang ketat.
Bagaimanapun, Riza menegaskan bahawa yayasan bukan agensi anak angkat sebaliknya bertanggungjawab untuk mencari keluarga kepada bayi-bayi yang ditinggalkan itu.
“Misi kita adalah semua kanak-kanak perlukan keluarga. Tanggungjawab kami bukan menyediakan anak angkat kepada keluarga yang memerlukan tetapi memberikan keluarga kepada bayi-bayi ini.
“Proses pengambilan anak angkat akan mengikut kriteria JKM dan kita juga akan buat lawatan ke rumah bakal keluarga angkat untuk melihat secara keseluruhan sebelum proses pengangkatan diluluskan.
“Namun, buat masa ini kami kekurangan pemohon melayu yang layak (untuk keluarga angkat) kerana kes bayi melayu lebih tinggi berbanding bangsa lain,” jelasnya.
BAYI DITINGGAL SEHELAI SEPINGGANG
Ada yang meletakkan nota beserta nama bayi, ada juga yang meninggalkan bayi yang masih merah itu sehelai sepinggang.
“Mereka ini ada sebabsebab tertentu tidak boleh menjaga bayi-bayi ini. Jadi, mereka datang ke yayasan dan letakkan bayi di dalam peti yang sudah disediakan.
“Loceng secara automatik akan berbunyi jika ada bayi diletakkan, jadi kami boleh tahu. Ada juga yang letak nota beritahu agama dan bangsa bayi tersebut,” katanya.
Bagaimana pun, majoriti bayi yang ditinggalkan adalah sehelai sepinggang. Oleh itu, bayi itu secara automatik akan mengikuti agama rasmi, iaitu Islam.
“Kalau boleh tinggalkanlah sedikit nota bersama bayi supaya kami dapat mengetahui bangsa dan agamanya.
“Selain itu, supaya dapat memudahkan juga urusan pendaftaran kelahiran dan proses pengambilan anak angkat di kemudian hari,”
jelasnya.
Ketika ini kemudahan baby hatch terdapat di sembilan lokasi iaitu di OrphanCare Petaling Jaya, Selangor; OprhanCare Sungai Petani, Kedah dan OrphanCare, Johor Bahru, Johor.
Hasil kerjasama dengan Hospital Pakar KPJ, baby hatch juga terdapat di cawangan hospital berkenaan di Damansara, Selangor, Ipoh, Perak, Seremban, Negeri Sembilan, Kota Bahru, Kelantan dan KPJ Tawakkal, Kuala Lumpur.
Terbaharu, yayasan turut bekerjasama dengan Hospital Pakar AnNur Bangi menyediakan kemudahan baby hatch.
“Sejujurnya kami tidaklah menggalakkan ibu-ibu untuk meletakkan bayi dan beredar begitu sahaja. Kami sangat alu-alukan sekiranya ibu itu datang ke yayasan untuk berbincang atau mendapatkan khidmat nasihat.
“Namun, jika mereka tiada pilihan, baby hatch boleh dipertimbangkan. Kami juga tidak akan tahu identiti siapa yang meletakkan bayi di peti kerana tiada kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan itu.
“CCTV hanya diletakkan dalam peti untuk melihat sekiranya ada bayi yang baharu dimasukkan ke situ,” katanya.
Tingkat kempen kesedaran dalam masyarakat
KEMPEN kesedaran dijalankan tanpa henti oleh yayasan bagi mengurangkan isu sosial dan memberi kesedaran mengenai kewujudan baby hatch.
Program-program kesedaran itu banyak dijalankan di sekolah, universiti dan sektor korporat mengenai gangguan seksual, rogol dan batasan dalam perhubungan.
Selain memberi pencerahan bagaimana dan di mana untuk mendapatkan pertolongan sekiranya berhadapandengan gangguan seksual
dan sebagainya.
Mengenai perancangan masa depan pula, kata Riza, fasiliti baby hatch akan dikembangkan di hospitalhospital kerajaan.
“Kita mahu menepis pandangan masyarakat mengenai baby hatch.
“Lagipun, lagi banyak baby hatch, lagi banyak bayi yang dapat diselamatkan,” katanya.










