PENCINTA kucing yang baru berjinak dengan hobi memelihara si bulus, boleh merujuk Kelab Kucing Malaysia (KKM) bagi mengelakkan daripada menjadi mangsa penipuan ketika membeli baka kucing import.
Presiden KKM, Khalid Rashid berkata penipuan tidak terhad kepada penipuan jenis baka, tetapi juga sewaktu proses jual beli berlangsung yang membabitkan prosedur operasi ‘standard’ (SOP) untuk mengimport kucing terutama dari negara-negara Eropah.
“Penipuan boleh dielakkan jika pembeli mendapatkan nasihat daripada pakar atau pihak yang lebih arif seperti KKM.
“Rujuklah kepada pihak yang mempunyai maklumat tentang kucing import seperti KKM yang mana kita mempunyai akaun media sosial seperti Facebook dan Instagram untuk sebarang pertanyaan dan rujukan,” katanya pada Program Royal Pets
Fiesta Plaza Shah Alam baru-baru ini kes penipuan dilaporkan media pada 28 Ogos tahun lalu melibatkan seorang guru wanita yang kerugian RM37,750 selepas terpedaya dengan iklan yang menawarkan penjualan kucing Munchkin yang ditawarkan dengan harga serendah RM600.
Mangsa yang pada mulanya membayar deposit RM300 diminta membuat bayaran tambahan kononnya bagi tujuan lesen perhilitan, kos penerbangan antarah negara dan lesen import kucing dari negara luar ke Malaysia.
Kes terbaru awal bulan ini, berlaku di Sarawak melibatkan seorang wanita tempatan terjerat dengan penipuan sindiket e-dagang melibatkan urusan pembelian kucing baka bulu pendek, British Shorthair menerusi aplikasi Whatsapp dan mengalami kerugian sebanyak RM9,200.
Khalid berkata, jika peminat kucing menjadi ahli KKM, pihaknya akan memudah cara pengeluaran Sijil Pendaftaran Kucing Baka Baik yang menyimpan data lima generasi setiap kucing baka berkualiti dari negara luar.
“Bagi menambah ilmu ‘membela’ kucing, kami juga sering berkempen kepada tersebut manfaat yang mereka perolehi sebagai ahli KKM.
“Menerusi cara tersebut setiap ahli berpeluang untuk mengikuti program seperti seminar dan pameran kucing yang melibatkan sesi perkongsian ilmu,” katanya.
LAWAT PAMERAN KUCING

Khalid menasihatkan peminat kucing yang ingin membeli baka seperti Munchkin, British Short Hair dan Maine Coon untuk pergi sendiri ke negara luar tersebut dan membawa ia masuk ke Malaysia dengan prosedur yang lebih telus.
Tambahnya lagi, dalam dunia Kecerdasan Buatan (AI) kini, peminat dinasihatkan menghubungi pihak berautoriti untuk melancarkan proses membawa baka kucing import yang tulen.
“Selalulah melawat pameran kucing bagi membolehkan kita mengenali jenis-jenis kucing dengan lebih dekat.
“KKM akan memberi panduan dan menjadi pemudah cara bagaimana sesuatu baka kucing import boleh dibawa mengikut kos sebenar,” katanya.
ROYAL PETS
Sementara itu, Program Royal Pets Fiesta Plaza yang dianjurkan selama dua hari, memuatkan pelbagai pengisian antaranya pameran kucing import dan domestik, petting zoo dan haiwan eksotik.
Ia turut menjadi platform untuk orang ramai khususnya pecinta haiwan kecil itu mengenali jenis baka dan kaedah penjagaan serta permakanannya. Kata Khalid, pameran seumpama itu, membuka peluang kepada orang ramai bertanya terus kepada pempamer ciri-ciri sebenar kucing import yang mereka hajati.
“Sambutan menggalakkan daripada pelbagai golongan tidak kira kanak-kanak mahu pun golongan dewasa,” ujarnya.
Sementara itu, Pengurus Kanan Plaza Shah Alam, Azura Mokhtar berkata, sebagai peminat kucing pintu Plaza Shah Alam sentiasa terbuka melibatkan pameran haiwan comel yang ‘mesra’ dengan manusia itu.
“Pameran sebegini sudah sebati dengan peminat kucing dan lain-lain haiwan peliharaan di bandaraya ini. Jika kita lihat pengunjung yang hadir adalah orang yang sama seperti program sebelum ini.
“Kerjasama pihak KKM untuk mengadakan program sebegini di Plaza Shah Alam sentiasa dialu-alukan. Bukan mudah untuk mengawal selia haiwan seperti kucing dan haiwan seperti ayam,arnab, ikan, ular, sugar glider, burung dan lain-lain dalam kompleks komersial seperti di sini.
“Dengan sedikit caj, kanak-kanak dapat bermain dengan pelbagai jenis haiwan dengan kawalan pempamer,” jelasnya.
Selain pameran haiwan, pihaknya turut bekerjasama dengan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) untuk mempromosi fasiliti baharu melibatkan kucing, Catopia di Seksyen 14 di sini.
“Plaza Shah Alam sentiasa bersedia bekerjasama dengan pihak MBSA untuk menguaruarkan Catopia sebagai kemudahan untuk kucing menghilangkan stres kerana terkurung duduk di dalam rumah,” katanya.










