Pujuk anak dengan gajet ibarat ‘pembunuh senyap’

Pujuk anak dengan gajet ibarat ‘pembunuh senyap’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kebanyakan anak kecil yang sedang menangis atau mengamuk pasti senyap selepas dihulurkan gajet.

Nampak mudah sahaja untuk menenangkan mereka, bukan?

Namun, ia bukanlah seperti yang disangka kerana tabiat berkenaan sekiranya dibiarkan boleh menjadi ‘pembunuh senyap’ anak kecil.

Ahli terapi keluarga, Adlil Rajiah Mohd. Nasir berkata, memberi gajet kepada anak yang mengamuk mungkin menenangkan mereka dalam jangka masa pendek, tetapi merugikan dalam jangka panjang.

Menurut sebuah kajian oleh American Academy of Pediatrics, penggunaan skrin yang berlebihan boleh mengganggu perkembangan kemahiran sosial dan emosi anak.

Misalnya, kajian yang diterbitkan dalam jurnal itu mendapati anak yang menggunakan gajet lebih dari dua jam sehari mempunyai risiko mengalami masalah tingkah laku dan emosi berbanding yang menggunakan gajet kurang dari satu jam.

“Kajian juga menunjukkan anak yang terlalu bergantung pada gajet untuk menenangkan diri mungkin mengalami masalah perkembangan emosi dan sosial.

“Penggunaan gajet yang berlebihan terutama sebelum tidur boleh mengganggu pola tidur anak. Kajian juga ada menunjukkan cahaya biru yang dipancarkan oleh skrin boleh mengganggu penghasilan melatonin iaitu hormon yang mengawal kitaran tidur,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Tambahnya, tabiat menghulurkan gajet untuk menenangkan anak juga mempunyai risiko 45 peratus lebih tinggi untuk menunjukkan tingkah laku agresif.

Selain itu, penggunaan skrin berlebihan juga boleh mengurangkan masa untuk aktiviti fizikal dan interaksi sosial yang penting untuk perkembangan tingkah laku sihat.

“Anak yang kurang berinteraksi dengan rakan sebaya cenderung lemah kemahiran sosial dan lebih sukar untuk mengurus konflik dengan baik.

“Jika masa bersama gajet lebih banyak ia bermakna anak kurang masa kemahiran, bersama keluarga, berinteraksi atau bermain di luar,” katanya yang juga penulis keibubapaan.

Bantut tumbesaran
Amalan itu jika diteruskan dalam jangka masa panjang berisiko untuk membantutkan tumbesaran normal anak.

Penggunaan gajet yang berlebihan boleh mengganggu perkembangan kognitif, sosial dan fizikal anak.

“Sebagai contoh, kajian oleh University of Alberta mendapati anak yang menghabiskan lebih dari dua jam sehari di hadapan skrin berisiko 7.7 kali ganda untuk mengalami masalah tumpuan.

“Di samping itu, kajian National Institutes of Health menunjukkan anak yang menggunakan gajet lebih dari dua jam sehari mempunyai risiko 23 peratus lebih tinggi untuk mengalami kelewatan perkembangan bahasa,” jelasnya lagi.

Penggunaan skrin yang berlebihan juga boleh mengganggu tidur si kecil.

Anak yang tidur kurang dari 10 jam sehari lebih cenderung untuk mempunyai masalah tingkah laku dan kognitif.

 

Kaedah alternatif
Selain memberikan gajet, sebenarnya terdapat pelbagai lagi kaedah alternatif yang lebih ampuh dan sihat untuk menenangkan anak yang meradang atau menunjukkan perasaan.

“Ibu bapa perlu bertenang dan tidak memberikan reaksi berlebihan. Anak-anak cenderung untuk meniru tingkah laku mereka.

“Cuba dengar dan fahami keperluan anak yang mengamuk. Beri perhatian, duduk bersamanya dan tanya soalan jika perlu. Mendengar dan memahami perasaan anak dapat mengurangkan frekuensi tantrum sebanyak 60 peratus,” katanya.

Ibu bapa juga boleh mengalihkan perhatian anak terhadap benda lain selain gajet.

Antaranya, dengan melakukan aktiviti menarik seperti membaca buku, bermain permainan fizikal atau membuat kraf.

Katanya, mengalihkan perhatian anak daripada gajet ke aktiviti fizikal dapat meningkatkan kemampuan kognitif dan mengurangkan kebimbangan.

Anak yang terlibat dalam aktiviti fizikal mempunyai risiko 17 peratus lebih rendah untuk mengalami masalah kebimbangan dan kemurungan.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×