TANGAN dan pena penulis punyai impak besar kepada kehidupan manusia. Lihat sahaja legasi para ilmuwan Islam silam. Walaupun usia mereka hidup di dunia dahulu tak mencecah pun 100 tahun, legasi ilmu yang mereka tulis sentiasa hidup memberi pengajaran dan manfaat sehingga kiamat. Inilah pelaburan pahala yang sangat menguntungkan.
Baru-baru ini dalam Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PKABL 2024), karya novel dikatakan mengungguli carta jualan. Ini satu perkembangan baik kerana ia menunjukkan minat membaca tetap ada pada jiwa rakyat Malaysia.
Teknik penceritaan juga sangat dekat dengan jiwa manusia. Tambahan pula genre novel yang membawa mesej melalui penceritaan juga satu teknik yang Allah gunakan dalam al-Quran (Hud 11: 120, Yusuf 12: 111).
Saya peminat novel sejak remaja kerana mesej disampaikan melalui teknik penceritaan lebih mudah dirasa. Antara novel yang membekas di jiwa saya sejak remaja ialah Senandung Anak Laut karya Ruslan Ngah (1998), Ayat-ayat Cinta karya Kang Habib.
Apabila meningkat dewasa saya suka novel yang mengangkat perjuangan pendidikan seperti karya Andrea Hirata Laskar Pelangi, Sang Pemimpi, Buku Besar Peminum Kopi, Orang-Orang Biasa dan Guru Aini. Saya juga lebih memahami masalah sakit mental secara praktikal setelah membaca novel Yang Paling Patah Antara Kita, karya Ainul Farihah.
Untuk mesej agama, saya suka novel Be Eshme Elohim hasil adaptasi kisah pemuda pejuang agama tauhid dalam surah al-Buruj (Surah 85 al-Quran) dan Novel Imtihan (Tsaraw) yang diinspirasi daripada hadis sahih mengenai ujian Allah kepada tiga orang kurang upaya (Sahih alBukhari, 3464 & Sahih Muslim, 2964).
Kedua-dua novel ini karya Dr. Maszlee Malik bekas Menteri Pendidikan.
Untuk menghargai perjuangan para sahabat terutama Abu Bakar al-Sidd iq menjaga kesucian agama daripada berbagai ancaman luaran dan dalaman selepas kewafatan Rasulullah SAW, saya cadangkan anda membaca Madinah Takkan Rebah 1 & 2 karya Muhammad Lokman Makhtar. Pendek kata, seorang penulis mampu menjana pahala berpanjangan dengan hasil tangan mereka.
KURANG SOPAN
Pun begitu, terdengar juga khabar angin kencang berkenaan kebanjiran novel ‘kurang sopan dan kurang adab’ dalam pasaran yang terlalu berani dan lancang menceritakan adegan ranjang, normalisasi rogol, cabul serta hubungan terlarang secara terbuka dan terperinci sehingga ia mampu ditiru.
Apa yang merisaukan, pembaca novel sebegini agak terbuka sehingga melibatkan remaja yang sangat rapuh mekanisme penapisan mindanya.
Penulis dan penerbit patut melihat isu ini dengan sudut pandang lebih luas menjangkau kehidupan dunia dan akhirat.
Tuaian dunia akan dikutip sama ada secara suka atau duka di akhirat kelak. Produk kotor bernajis memang mampu mencetus ketagihan kerana ia ditambah perisanya oleh iblis dan syaitan. Jangan pula kita menjadi ‘tangan’ iblis menormalisasi kegiatan maksiat secara bertulis.
Lihat amaran Allah berkenaan tangan kotor sebegini menerusi firmanNya yang bermaksud: (Azab seksa) yang demikian itu ialah disebabkan apa yang telah dilakukan oleh tangan kamu sendiri, kerana sesungguhnya Allah tidak sekali-kali berlaku zalim kepada hamba-Nya. (alAnfal: 51).
Nada sama Allah jelaskan dalam banyak ayat lain (Ali ‘Imran 3:182 & al-Hajj 22:10).
Jangan sampai legasi tersebut disambung talinya orang lain yang melihat untung yang naik mencanak melalui produk kotor sebegini.
Renung juga sabda Nabi SAW bermaksud: Dan sesiapa yang merintis (mencetus) dalam Islam satu amalan yang buruk, lalu diamalkan amalan tersebut (secara meluas) selepasnya, maka ditulis baginya dosa seperti dosa orang yang mengamalkannya selepasnya tanpa dikurangi sedikitpun dosa mereka itu. (Sahih Muslim, 2059).
JAUHI MAKSIAT
Jauhi legasi malang pencetus berbagai maksiat seksual yang mungkin anda tuai selagi produk anda dibaca dan mencetus pemikiran gelap berbagai pihak. Cukuplah legasi malang pencetus dosa berpanjangan dimiliki Qabil seorang.
Ingat sabda Nabi SAW bermaksud: Mana-mana jiwa yang dibunuh secara zalim, maka dosa penumpahan darah itu akan tertanggung ke atas anak Adam yang pertama kerana dia adalah ‘orang pertama yang memulakan jenayah membunuh’, (Sahih al-Bukhari, 3335).
Berdasarkan hadis ini, Nabi SAW mahu menyelamatkan kita daripada menjadi pencetus dosa yang diikuti orang lain sama ada ia dosa membunuh, menormalisasi maksiat dan sebagainya.
Jika keuntungan jualan menjadi pendorong anda untuk meneruskan kegiatan tidak sihat ini, ingatlah teguran Allah dalam firmanNya bermaksud: Katakanlah (wahai Muhammad): Tidak sama yang buruk dengan yang baik, walaupun banyaknya yang buruk itu menarik hatimu. Oleh itu bertaqwalah kepada Allah wahai orang yang berakal fikiran, supaya kamu Berjaya. (al-Maaidah: 100).
Sebab penurunan ayat ini berkait rapat dengan pengharaman muktamad terhadap arak dan judi pada zaman Nabi. Setelah pengharaman itu diwartakan melalui ayat 90 – 91 surah alMaaidah, seorang lelaki Badwi pengusaha arak Madinah berasa resah kerana lubuk untungnya sudah ditutup.
Dia lantas bertemu Nabi SAW untuk mendapat kebenaran terus menjual arak. Sedikit hasilnya mahu dibersihkan melalui jalan sedekah. Dengan tegas Allah menolak permintaan tersebut dengan turunnya ayat di atas (Tafsir al-Munir).
Hidup di dunia tidak percuma atau kosong, ada audit dan kira bicara di akhirat yang akan kita syukuri atau kesali kelak (al-Mukminun 23: 115-118).
Saya merayu kepada penulis dan penerbit novel agar cakna dosa pahala dan untung rugi akhirat.
Ayuh amalkan doa Nabi SAW ini agar ia mampu mengekang nafsu yang sukar untuk kenyang meraih untung walaupun laluannya gelap dan menggelapkan hidup orang lain. Doa Baginda SAW bermaksud: Ya Allah! Aku mohon perlindungan dengan-Mu dari ilmu yang tidak memberi manfaat, dari hati nurani yang tidak tunduk (kepada kebesaran, keagungan Allah), dari nafsu yang tak kenyang dan dari doa yang tidak diperkenankan. (Sahih Muslim, 2722).
Empat perkara ini sangat relevan dengan kehidupan manusia. Dia tahu dengan ilmunya betapa perbuatannya tidak elok dan membahayakan orang lain, namun ilmunya tak mampu memberinya manfaat atau menghalangnya daripada terus mengganas. Hati nuraninya susah tunduk kepada nasihat dan teguran yang benar.
Nafsunya juga tidak pernah kenyang meraih untung walaupun caranya salah. Kesan akhirnya, doanya sukar dimakbulkan Allah.
Semoga doa ini mampu meluruskan kembali fitrah kita yang mudah tergelincir daripada landasan kemanusiaan kerana sedikit habuan dunia.










