SIAPA sangka ulser kecil yang timbul di hujung lidahnya, rupa-rupanya kanser yang merubah seluruh kehidupan wanita ini. Bekas pesakit kanser lidah, Normah Hasan, 56 menyifatkan kanser sebagai mimpi ngeri buat dirinya, namun berkat kesabaran beliau mengharunginya, kanser itu berjaya merubah hidupnya menjadi insan yang lebih positif.
Mengulas mengenai titik mula beliau di sahkan kanser kira-kira 10 tahun lalu, kata Normah pada mulanya, dia membeli ubat jeli di farmasi berdekatan rumahnya bagi merawat pedih ulser.
Malangnya kesakitan ditanggung berterusan selama seminggu.
Gusar dengan situasi itu, dia segera meminta suaminya, Azmi Amran,64 membawanya berjumpa doktor di ke klinik.
Namun ubat diberikan oleh doktor berkenaan, turut tidak meredakan kesakitan dialami, sebaliknya kesakitan luka akibat ulser itu dirasakan semakin parah.
“Saya ke klinik sama sekali lagi dan doktor memberikan surat rujukan untuk membuat temujanji dengan seorang Doktor Pakar Mulut di Hospital Pakar Ampang Puteri,” katanya.
KANSER LIDAH
Sampel tisu di atas permukaan lidah Normah diambil bagi mengetahui punca ulser.
Normah mengakui risau menunggu keputusan ujian makmal kerana gerak hatinya merasakan ulser dihidapi itu, lebih daripada sekadar ulser.
Takdir sudah tertulis dan Normah reda bila doktor mengesahkan dirinya didiagnosis kanser lidah, seminggu selepas sampel tisu diuji.
“Hancur luluh hati saya mendengar perkhabaran itu. Namun saya reda menerimanya.
“Saya mengumpul segala kekuatan dan bersikap positif, namun pada hakikatnya saya teramat sedih. Ketika itu raut wajah suami saya berlagak tenang walaupun dia menyembunyikan perasaannya sebenar,” katanya mengimbau kenangan.
Doktor menyarankan Normah menjalani rawatan susulan seperti kemoterapi, radioterapi dan pembedahan untuk merawat penyakitnya.
Normah meneruskan rawatan di Hospital Kuala Lumpur kerana kepakaran doktor dimiliki selain kos yang tidak terlalu membebankan pesakit.
BIMBANG MEREBAK
Kes Normah dirujuk dan di ambil oleh Doktor Zakinah yang merupakan pakar perubatan telinga, hidung dan lidah (ENT).
“Sebagai permulaan, saya disarankan membuat beberapa siri ujian perubatan klinikal untuk mengetahui tahap keadaan kanser lidah.
“Ini kerana dikhuatiri sel kanser akan semakin aktif dan boleh merebak ke bahagian anggota badan penting yang boleh mengancam nyawa,” katanya.
Selama empat hari beliau berulang alik di hospital untuk melengkapkan pemeriksaan sebelum proses pembedahan dijalankan.
Normah turut dirujuk dengan beberapa bahagian pakar perubatan lain seperti pakar surgery dan konstruktif, pakar bedah mulut, pakar saraf dan pakar bius.
“Saya diminta memasuki wad sehari lebih awal sebelum menjelangnya hari pembedahan. Saya sempat meluangkan masa dengan suami dan empat cahaya mata sambil meminta maaf jika nyawa saya tidak panjang dalam dewan bedah. Pada masa itu, kami menangis semahunya,” katanya berkongsi pengalaman.
PEMBEDAHAN 22 JAM
Pembedahan memakan masa selama 22 jam berjalan dengan lancar.
Selepas pembedahan, Normah ditempatkan di Unit Rawatan Rapi ( ICU ) dan tidak pasti berapa hari ditidurkan sebelum dipindahkan ke wad Kaji Saraf.
Kata Normah, dalam proses rawatan, setiap satu jam, kahaknya dibuang.
“Saya menahan kesakitan kerana seluruh badan terasa bergegar disusuli muka menjadi bengkak dan air liur sentiasa keluar. Doktor pakar turut turun padang membuat rondaan pemeriksaan kawasan mulut dan lidah dengan menggunakan sejenis alat khas,” katanya.
Normah tidak dapat memakan dan minum seperti biasa.
Dia hanya dibenarkan meminum susu khas menerusi tiub dipasang pada bahagian rongga hidung.
Selepas sebulan, Normah dibenarkan keluar dan dia perlu menjalani rawatan pemulihan kimoterapi dan radioterapi.
RAWATAN SUSULAN
Normah ditempatkan dalam bilik khas di mana pancaran cahaya laser bertumpu bahagian sel kanser.
Disinilah banyak ujian, dugaan dan cabaran yang perlu Normah lalui.
Antara kesan sampingan dilaluinya ialah kulit menjadi kering, kulit kehitaman, badan lemah, hilang selera makan, gangguan pembuangan najis dan keletihan ketara.
Namun beliau menyifatkan dirinya sebagai bertuah kerana dikelilingi insan yang mendoakan kesembuhan daripada awal sehingga kini.

Peranan suami, keluarga, sanak saudara serta kawan kawan memberikan sokongan dan dorongan tanpa berbelah bahagi sangat dihargai dalam usahanya melawan penyakit.
“Mereka banyak membantu daripada segi wang ringgit, masa dan tenaga ketika di awal saya jatuh sakit.
“Mereka sentiasa ada di saat saya memerlukan bantuan. Saya kira ujian seperti ini adalah cara Allah SWT menjadikan kita lebih baik berbanding sebelum ini. Dia lebih tahu apa yang terbaik untuk kita sebagai hambaNya,” kata Normah.
Biarpun penyakit dialami Normah beransur pulih, beliau terus giat menjalani rawatan dan tidak pernah culas menghadiri temujanji bersama doktor pakar sejak 2015 sehingga kini.
Mengulas mengenai kekuatan dirinya dalam mengharungi kanser, kata Normah dia tidak mempunyai sebarang rahsia.
Namun dia mempraktikkan amalan ibadah khusus sebagai salah satu cara beroleh ketenangan selain menjaga pemakanannya.
Normah turut menitipkan pesanan kepada masyarakat agar sentiasa berwaspada dengan tahap kesihatan diri.
“Jika tidak sihat, segera berjumpa dengan doktor. Jangan dibiarkan begitu sahaja. Mencegah lebih baik daripada merawat. Kesihatan adalah nikmat yang tidak terhingga dan ternilai,” katanya.







