KES demam denggi di negara ini masih belum dapat dikawal dengan baik walaupun kadar mortaliti atau kematian mencatatkan angka menurun di bawah 0.10 peratus sejak tahun 2021.
Negara masih belum mencapai sasaran pengurangan kes denggi sebanyak lima peratus setiap tahun seperti ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Pengerusi Advokasi Pencegahan Denggi Malaysia (DPAM), Datuk Dr. Zulkifli Ismail berkata, walaupun kadar kematian dapat dikurangkan tetapi nyamuk yang menjadi punca denggi masih tidak dapat dikawal.
“Sasaran WHO adalah mencapai penurunan kepada 0.8 peratus kematian pada tahun 2020, 0.5 peratus pada 2023 dan 2025, seterusnya sifar kematian menjelang 2030.
“Bagi mencapai sasaran ini, pembabitan pelbagai sektor diperlukan selain strategi pengurusan denggi yang komprehensif. Ini kerana kes fataliti dan kematian dalam sesebuah negara menunjukkan tahap keberkesanan pengurusan kes denggi,” katanya sewaktu ditemui pada majlis pelancaran vaksin denggi keluaran Takeda, syarikat biofarmaseutikal baru-baru ini.

Turut hadir, Pengurus Besar Negara, Takeda Malaysia dan Singapura, Dr. Lynette Moey dan Ketua Hal Ehwal Perubatan,Takeda India dan Asia Tenggara (I-SEA), Dr. Goh Choo Beng.
Semua pihak perlu memainkan peranan menerusi strategi pengurusan integrasi untuk mengawal pembiakan nyamuk.
Ia bukan saja membabitkan pembabitan Kementerian Kesihatan tetapi pelbagai kementerian lain seperti Kementerian Alam Sekitar selain bantuan profesional seperti penasihat teknikal klinikal dan entomologis.
Dr. Zulkifli berkata DPAM bekerjasama dengan lapan organisasi termasuk Persatuan Pediatrik, Persatuan Penyakit Berjangkit dan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) bagi tujuan meningkatkan kesedaran serta pencegahan denggi.
Perubahan minda dalam kalangan masyarakat, penting untuk memastikan kebersihkan persekitaran dan mengawal nyamuk.
VAKSIN DENGGI
Pada masa yang sama, usaha juga perlu dilakukan bagi mengawal penyakit ini daripada menjadi teruk termasuk memastikan pesakit tidak meninggal dunia. Ini termasuk mendapatkan vaksin melindungi diri daripada demam denggi.
Agen virus denggi terdiri daripada serotaip DEN 1, DEN 2, DEN 3 dan DEN 4. Jangkitan oleh salah satu serotaip, menyebabkan imuniti seumur hidup terhadap serotaip itu saja. Seseorang itu juga dapat dijangkiti oleh serotaip yang lain.
“Serotaip ini berbeza mengikut sesebuah negara. Serotaip yang mendominasi di Malaysia buat masa adalah DEN2. Pada 2021, serotaip DEN4 mendominasi. Di Singapura, DEN1 dan 3 pada tahun 2023, DEN1 pada tahun 2013 dan 2014.
“Serangan denggi biasanya memuncak setiap empat tahun sekali. Ini berlaku apabila ramai yang imun kepada DEN1, DEN3 pula akan mengambil alih. Seterusnya DEN 1 mengambil alih apabila tahap imun dalam kalangan orang ramai meningkat,” katanya.
KESAN SERANGAN
Serangan demam denggi pertama mungkin tidak terlalu teruk menyebabkan pesakit terlantar sekitar dua hari dan kembali sihat untuk bekerja.
Bagaimanapun, serangan kali kedua biasanya akan lebih teruk berbanding yang pertama dan menyebabkan pesakit perlu dirawat di hospital selama beberapa hari.
Dr. Zulkifli berkata, jangkitan ketiga tidak seteruk yang kedua tetapi kadangkala serangan oleh DEN 4 boleh menjadi teruk.
“Pada masa ini, lebih ramai orang dewasa muda mengalami demam denggi menyebabkan ketidakupayaan, kehilangan kerja dan kesan ke atas ekonomi secara keseluruhan.
“Ini kerana orang dewasa ada yang menghidap penyakit lain seperti kencing manis dan kolesterol tinggi. Platelet mungkin jatuh, mula berlaku pendarahan dan kegagalan hati, buah pinggang dan akhirnya membawa maut,” katanya.
Bagi kanak-kanak, serangan demam denggi pada masa kini tidak seteruk yang berlaku sekitar tahun 80an, di mana ketika itu, ramai kanak-kanak dimasukkan ke wad dan meninggal dunia.
Dr. Zulkifli berkata, orang ramai tidak perlu takut dengan kesan vaksin seperti kesan vaksin Covid-19 kerana cara pembuatan vaksin denggi, berbeza dengan vaksin Covid-19.
“Vaksin denggi lebih kurang sama dengan vaksin in uenza yang sudah wujud sejak berdekad lalu dan tiada isu keselamatan membabitkan vaksin influenza setakat ini, sejak ia diperkenalkan.
“Vaksin denggi berasaskan virus denggi DEN 2 yang dilemahkan, menyediakan ‘tulang belakang’ genetik untuk ke empat-empat serotaip virus denggi bagi melindungi daripada demam denggi,” katanya.











