Saringan kanser serviks seawal usia 21 tahun bagi wanita aktif seksual

Saringan kanser serviks seawal usia 21 tahun bagi wanita aktif seksual

KANSER serviks iaitu sejenis kanser yang bermula pada bahagian pangkal rahim. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ANTARA penyakit yang menjadi kerisauan wanita adalah kanser serviks iaitu sejenis kanser yang bermula pada bahagian pangkal rahim.

Bagaimanapun, saringan kanser serviks mampu menyelamatkan nyawa jika dilakukan pada peringkat awal dan secara berkala. 

Pensyarah Jabatan Perubatan dan Kesihatan Awam Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Azmawati Mohammed Nawi berkata, kebanyakan wanita kurang kesedaran untuk melakukan saringan secara berkala kerana berasakan diri sihat. 

AZMAWATI MOHAMMED NAWI

Katanya, bagi wanita yang aktif seksual, saringan itu seharusnya bermula pada umur 21 tahun dan dilakukan secara berkala setiap tiga tahun sehingga wanita mencecah usia 65 tahun. 

“Kekerapan ulangan saringan bergantung kepada jenis saringan dilakukan serta dapatan keputusan saringan yang diperoleh. 

“Ketiadaan simptom menyebabkan kebanyakan wanita tidak menyedari perkembangan abnormal sel serviks pada peringkat awal,” katanya. 

Laporan Tahunan Institut Kanser Negara 2020, mendedahkan kanser serviks menyumbang kepada 0.05 peratus kadar kematian dengan satu daripada 144 wanita didiagnos penyakit itu. 

Kadar pesakit bermula 50 tahun ke atas turut meningkat iaitu sebanyak 76 peratus kes dikenalpasti pada peringkat lewat tahap dua hingga empat. 

MUDA LEBIH RISIKO 

Kajian mendapati wanita berumur 18 tahun ke bawah yang memulakan hubungan seksual lebih berisiko untuk mendapatkan kanser serviks. 

Azmawati berkata, ini merupakan faktor utama kepentingan mendapatkan saringan pada peringkat awal. 

“Kajian menunjukkan wanita yang memulakan hubungan seksual sebelum umur 18 tahun mempunyai risiko lebih tinggi mendapat kanser serviks berbanding wanita dewasa. 

“Dengan itu, rutin saringan kanser serviks secara berkala seawal usia muda penting ditekankan supaya pengesanan awal dapat dilakukan dan langkah pengurusan awal dapat dimulakan sekiranya perubahan sel abnormal serviks berjaya dikenal pasti,” katanya. 

Kajian turut mendedahkan wanita yang tidak melakukan saringan pada usia muda lebih cenderung mendapatkan kanser serviks kerana wanita muda merupakan golongan yang kurang melakukan saringan kanser serviks sedangkan kejadian pra kanser banyak berlaku dalam kalangan tersebut. 

Dr. Azmawati berkata, wanita muda yang mula melakukan saringan kanser serviks secara berkala lebih awal mempunyai kadar diagnosis tahap 1 lebih tinggi dengan peratusan sebanyak 19.31 peratus berbanding wanita berumur 40 tahun iaitu 14.97 peratus. 

Menerangkan laporan Tinjaun Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2020, Dr. Azmawati berkata, peratusan wanita yang menjalani saringan kanser seviks di Malaysia dalam tempoh lima tahun (2014-2018) masih di bawah 40 peratus. 

Ujarnya secara amnya, kadar saringan ini masih jauh untuk mencapai saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu kadar saringan sebanyak 70 peratus populasi wanita berkelayakan. 

SARINGAN AWAL KANSER 

Antara saringan kanser serviks ditawarkan adalah saringan Papanicolaou smear (Pap smear) dan ujian papillomavirus manusia (HPV). 

Pap smear adalah saringan sitologi mengesan kanser serviks dengan mengenal pasti tisu potensi pra kanser dan lesi kanser pada serviks (pangkal rahim). 

Profesional kesihatan terlatih akan memasukkan sejenis alat spekulum ke dalam faraj untuk membuka ruang penglihatan kepada serviks. 

Spatula digunakan untuk mengambil sel-sel di permukaan serviks dan sel berkenaan akan diletakkan atas slaid kaca untuk dihantar ke makmal bagi ujian lanjut. 

Ujian jenis HPV pula merupakan sejenis saringan kanser serviks yang dapat mengenal pasti kehadiran virus HPV yang menjadi punca utama kanser serviks dalam kalangan wanita. 

Saringan ini hanya ditawarkan kepada wanita aktif seksual pada umur 30 hingga 49 tahun dan diulang secara berkala setiap lima tahun. 

Ujian tersebut boleh dilakukan secara kendiri dan wanita hanya perlu mendapatkan kit saringan daripada fasiliti kesihatan. 

Ujar Dr. Azmawati, saringan kendiri ujian HPV dilihat lebih mendekati golongan wanita yang risau akan rasa sakit, malu atau trauma untuk melakukan saringan pap smear sebagai halangan untuk saringan kanser serviks. 

SIMPTOM DAN RAWATAN 

Seperti kanser lain, kanser serviks turut mempunya simptom yang boleh dikenalpasti namun kebanyakan hanya disedari ketika di peringkat terakhir. 

Antaranya seperti berlaku pendarahan antara haid, ketika ataupun selepas hubungan seks dan selepas menopaus. 

Tambah Dr. Azmawati, pesakit juga boleh didatangi lelehan berbaru daripada faraj sehingga mendatangkan ketidakselesaan atau sakit ketika melakukan hubungan intim. 

“Sekiranya simptom ini berlaku pada seseorang, individu tersebut perlu mendapatkan rawatan segera. 

“Kebiasaannya pesakit akan diberikan rawatan radioterapi atau kemoterapi,” katanya.

Kaedah pembedahan hanya akan dibuat berdasarkan cadangan doktor melalui keputusan saringan dengan faktor pembedahan turut bergantung pada lokasi dan tahap kanser dihidapi. 

Tegas Dr. Azmawati, persepsi terhadap pesakit kanser serviks ini juga perlu dibetulkan. 

Katanya, ini adalah kerana seseorang wanita itu masih berisiko untuk mendapat jangkitan HPV walaupun hanya mempunyai satu pasangan. 

“Persepsi tentang pesakit kanser serviks mempunyai tabiat seksual seperti terlalu aktif dan kerap bertukar pasangan perlu dibetulkan. 

“Walaupun seseorang wanita itu mempunyai seorang pasangan sahaja, mereka masih berisiko mendapat jangkitan HPV yang boleh mengakibatkan kanser serviks,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×