RUMAH pusaka Melayu Pahang-Riau berusia 88 tahun ini meraih tumpuan kerana masih mengekalkan tradisi lama.
Ia dibina Taib Abdullah pada 1936 dengan nilai RM2,000 sebelum diwarisi anaknya, Ramli Taib sehingga
ke cucunya.
Taib, peniaga berasal dari Riau, Sumatera, berhijrah ke Tanah Melayu sekitar 1890an.
Mula menetap di Kuala Semantan (Temerloh) dan dikatakan menjadi peneroka asal bagu Kampung Haji Ali Batu 1, lokasi di mana rumah ini didirikan.
Selepas menghembuskan nafas terakhir pada 1942, rumah pusaka ini kemudiannya dihuni anak sulungnya Ramli.
Selepas dua generasi, rumah tersebut kini didiami cucunya, Idham Khalid Ramli, 47, bersama Isteri, Rosnita Abdullah, 42, dan tiga orang anak.
Menurut waris, Anisah Ramli, 62, rumah pusaka itu diserahkan kepada adik kelapan daripada sembilan beradik yang lahir dan membesar di rumah berkenaan.

SEJARAH ASAL
Rumah itu dibina mengikut ciri budaya rumah Melayu Pahang-Riau beratap genting menggunakan pasak tanpa paku.
Ukiran di sekeliling seperti tingkap, pintu, dinding dan tangga rumah dikekalkan untuk tatapan generasi akan datang.
Bentuk rumah yang menyerupai tanjak, menjadi daya tarikan pelancong untuk bergambar.
Anisah berkata, menerusi perkongsian arwah bapanya, 12 tiang utama rumah berkenaan, dibuat daripada kayu cengal atau merbau yang diangkut menggunakan kerbau.
“Rumah ini tidak pernah ditenggelami air walaupun seluruh bandar ditimpa banjir besar sekitar 1971 dan 2021,” katanya.
Ujar Anisah, kediaman itu turut melambangkan zaman kegemilangan arwah datuknya sebagai peniaga.
“Arwah berkawan rapat dengan Tengku Abu Bakar Sultan Abdullah yang kemudian menjadi Sultan Pahang keempat.
“Awal 1970an, perpustakaan mini milik arwah ayah di rumah ini sering dikunjungi penyanyi terkenal Allahyarham Datuk Sudirman Arshad yang tinggal berhampiran kampung.
“Ia juga pernah dilawati Datuk Ishak Mohamad (Pak Sako) dan pelakon terkenal Datuk S. Roomai Noor yang berasal dari Kampung Buntut Pulau dan Kampung Tengah,” katanya.
DAYA TARIKAN
Keunikan rumah ini sering mendapat perhatian orang ramai di sekitar bandar dan pelancong asing.
Pewaris rumah, Idham Khalid, 47, berkata, selain keunikan reka bentuk rumah, antara yang menarik perhatian adalah kereta Toyota Corona bernombor plat CU4637.
Beliau yang mempunyai banyak kenangan sejak kecil di rumah itu berkata, kereta itu disimpan di
bahagian bawah rumah sebagai kenangan tanda kasih terhadap pengorbanan ayah membesarkan mereka sembilan beradik.
“Ramai yang tertarik dengan keunikan bangunan rumah termasuk pelajar Politeknik Sultan Haji Ahmad
Shah, Kuantan yang membuat kajian di lapangan selama sebulan,” katanya.
Anisah turut harap pihak kerajaan mengambil inisiatif memelihara dan memulihara rumah berkenaan kerana ia dipercayai rumah pertama dibina di kampung berkenaan.
Sementara itu, Pengkaji Sejarah Kebudayaan Pahang, Datuk Dr. Aripin Said berkata, rumah limas bumbung lima itu bersesuaian dengan aktivit adat seperti nikah kahwin, dikir rebana, marhaban dan lain-lain.
Ujarnya, sebagai tanda rezeki dan kesyukuran, emas juga biasanya diletakkan dalam salah satu tiang seri selain faktor keselamatan dan warisan keturunan.
“Rumah ini ada ciri-ciri Minang tetapi diubahsuai dengan ciri binaan Pahang tanpa ada pengaruh Barat
yang membuktikan pegangan tuan rumah ini ikut adat tempatan.
“Kepelbagaian reka bentuk rumah turut menunjukan kekayaan seni bina rumah Melayu Nusantara tanpa menjejaskan struktur Rumah Pahang,” katanya.










