PERKEMBANGAN teknologi yang semakin berkembang mengurangkan minat generasi muda terhadap karya seni.
Biarpun minat individu terhadap seni tidak boleh dipaksa-paksa namun penghargaan dan sokongan perlu tetap diberikan bagi memastikan penggiat seni tanah air terus mendapat ruang di hati masyarakat.
Pelukis muda, Danielle Lin Xuan-En, 23 menyifatkan nilai karya seni di negara ini masih jauh ketinggalan berbanding negara-negara lain.
Perspektif tersebut katanya, disebabkan pandangan orang ramai terhadap seni itu sendiri sejak di peringkat sekolah rendah lagi.
“Seni di Malaysia ini dilihat kurang dihargai, malah pendidikan seni bukanlah menjadi subjek yang dibanggakan dalam kalangan segelintir ibu bapa.
“Sikap kita terhadap seni bermula dari muda. Di sekolah, subjek ini tidak begitu diberikan perhatian berbanding sains dan matematik. Malah ada dalam kalangan murid dan pelajar menjadikan waktu berkenaan sebagai masa pelajar ponteng kelas,” katanya berkongsi pengalaman dilalui sewaktu di bangku sekolah dulu.
Xuan-En yang bergiat sebagai pelukis surealis, berkata, tanggapan itu menyebabkan seni menjadi topik mencabar dalam memberikan kefahaman khalayak, umum terhadap hasil karyanya.
Seni surealisme, bentuk seni menggabungkan elemen elemen imaginasi, fantasi, dan mimpi manusia.
Biasanya seni lukisan yang dilihat masyarakat tempatan seperti potret dan landskap menjadikan genre baharu seni kontemporari dibawanya itu, sukar untuk difahami.
“Saya mempunyai masalah di mana orang tidak cukup faham seni ini sekaligus ia tidak begitu dihargai.
“Berbanding Malaysia, di negara lain, ramai artis surealis yang boleh ‘cari makan’,” katanya yang menyifatkan ia sebagai cabaran malah percaya setiap artis mempunyai cerita mereka masing-masing.
Mengenai perkembangan teknologi khususnya kecerdasan buatan (AI, teknologi berkenaan dibimbangi mendatangkan kemerosotan nilai seni di mata orang ramai.
“Saya bimbang sekiranya penghargaan kepada seni akan berkurangan sekiranya orang seni beralih kepada AI.
“Dulu pun kita tidak berapa perlukan artis, sekarang ini dengan ada AI lagilah orang tidak perlukan artis,” katanya meluahkan emosi.
Begitupun beliau percaya teknologi itu tidak bertahan lama. Barangkali dalam tempoh 10 tahun akan datang, orang ramai akan mula bosan dengan teknologi berkenaan.
“Kita boleh nampak sekiranya sesuatu itu dihasilkan oleh AI, jadi dalam 10 tahun orang mungkin akan mula rasa bosan,” katanya sewaktu ditemui pada pameran HABIB: Action for the Revival of Traditions and Arts (HARTA) baru-baru ini.
Pada pameran itu, Xuan En menampilkan seni surealisme bertajuk The Requital, bermaksud sinergi dua identiti berasingan seperti perkahwinan namun disuntik de nisi tersirat.
SENI ITU TETAP ADA
Walaupun kewujudannya sering dilupakan, namun seni tidak pernah hilang dari dunia.
Masih ada golongan menghargai titik peluh anak seni yang bertungkus lumus menyiapkan karya buatan tangan ini, biarpun dengan penumbuhan teknologi yang dilihat mampu menggantikannya.
Percaya pada kuasa dan keunikan seni tradisional, Lim Ming Guang, 26 berkata, dengan perkembangan teknologi yang sedia ada, dia yakin ia boleh meningkatkan lagi penghargaan orang ramai terhadap seni buatan tangan.
“Saya kir dengan kebangkitan teknologi sedemikian, akan ada penghargaan terhadap seni yang dibuat oleh manusia kerana ada kelemahan dan sentuhan manusia kepadanya.
“Ia sama seperti mana kita menghargai seni tradisi seperti batik yang kita lihat mati tetapi tidak mati. Ia akan menjadi perkara yang sama,” katanya.

Berkongsi pengalamannya sebagai pelukis baharu, beliau yang menggunakan nama Jakob Van Klang dalam kerjaya seninya berkata, antara cabaran perlu ditempuh adalah dalam memahami selok belok sebagai penggiat seni.
Katanya, ekspresi seni yang dipamerkan juga diilhamkan melalui pengalaman peribadi dan pemerhatian situasi sosial semasa.
“Saya berjaya lakukannya sendiri jadi ia merupakan hasil pembelajaran yang panjang untuk saya dalam kerjaya seni.
“Saya banyak belajar dari penjelasan kurator dan keluar masuk galeri seni seperti Balai Seni Negara dan banyak lagi,” kongsinya yang membawakan hasil seni yang bertajuk Heart Filler yang digambarkan sebagai pengisian bentuk hati berwarna-warni melalui permainan palet cinta yang dijalin menggunakan kaedah anyaman.
KERJAYA SENI
Nilai seni yang dilihat rendah di Malaysia bukan sahaja memberikan kesan kepada pelukis dan artis seni malah kepada kerjaya berkaitan seperti kurator.
Perunding Seni, Nur Sarah Abu Bakar, 39 berkata, antara cabaran terbesar adalah dalam mengubah penerimaan orang ramai terhadap karya seni.
Katanya yang juga kurator bagi pameran galeri itu, persepsi orang ramai terhadap seni yang digambarkan sebagai sesuatu yang mahal dan eksklusif perlu diubah supaya lebih banyak karya tempatan lain boleh diketengahkan.
“Sebenarnya karya seni ini sangat seronok untuk dihargai pada yang berminat untuk datang dan tengok.
“Nak masuk galeri ini ada yang percuma, jadi tak perlu ada rasa takut dan malu. Boleh datang dan nikmatinya,” katanya.
Beliau yang sudah lebih 10 tahun terlibat sebagai kurator berkata, penggiat seni muda tempatan perlu berani untuk mengekspresi dan mencuba untuk menghasilkan karya yang baru.
Katanya, ini adalah kerana, karya yang dipamerkan hanya di Malaysia juga mampu untuk dilihat dan mendapat tempat di negara luar.
“Dengan adanya media sosial, maklumat tersebar dengan sangat pantas sehingga ke luar negara.
“Jadi jangan risau, teruskan fokus dalam menghasilkan karya dan mengekspresikan diri,” katanya.
Sementara itu, HARTA merupakan pameran gambaran seni yang mengkaji persimpangan realiti dan jaringan yang berbeza.











