Abai prasekolah, anak-anak ketinggalan

Abai prasekolah, anak-anak ketinggalan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALITI pendidikan di peringkat prasekolah di negara ini didapati masih tercorot dalam kalangan negara ASEAN.

Laporan Bank Dunia pada Mei tahun lalu mendedahkan bilangan kemasukan kanak-kanak ke prasekolah hanya sebanyak 85.7 peratus sekali gus meletakkan Malaysia di kedudukan ketiga terbawah selepas Laos dan Kemboja.

Angka itu jauh ketinggalan berbanding Vietnam, Thailand, Indonesia, Brunei, Singapura dan Filipina yang mencatatkan jumlah melebihi 94 peratus.

Setiausaha Kluster Pendidikan dan Modal Insan Majlis Profesor Negara (MPN), Dr. Anuar Ahmad
tidak menolak kemungkinan situasi itu terjadi disebabkan pengabaian ibu bapa terhadap soal pendidikan prasekolah.

Golongan itu termasuk yang tinggal di luar bandar, masyarakat Orang Asli dan miskin bandar.

“Kesempitan hidup menyebabkan mereka tidak mampu menyediakan pembelajaran terbaik, sedangkan, pendidikan awal amat penting dalam mempersiapkan kanak-kanak berusia empat hingga enam tahun dalam pelbagai segi sebelum melangkah ke tahun satu.

“Menganggap prasekolah tidak penting boleh menyebabkan anak-anak menjadi mangsa masalah keciciran 3M iaitu membaca, mengira dan menulis,” katanya.

Pendidikan prasekolah adalah satu bentuk program pendidikan dibangunkan untuk kanak-kanak berumur empat hingga enam tahun bertujuan mendedahkan mereka kepada suasana pembelajaran sebelum memasuki alam persekolahan secara rasmi.

Anuar yang juga pensyarah kanan pendidikan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), berkata, apabila masuk tahun satu, anak-anak malang itu akan lebih ketinggalan kerana kebanyakan rakan sebaya sudahpun menguasai ilmu itu ketika di tadika.

Lebih menyedihkan ada segelintirnya dikesan gagal dalam kemahiran 3M secara berpanjangan disebabkan kapasiti murid ramai dalam kelas dan silibus banyak.

Hakikat itu selari dengan laporan terbaharu Bank Dunia bertajuk Bending Bamboo Shoots: Strengthening Foundation Skills yang memberi gambaran pembelajaran murid Malaysia ketinggalan berbanding pelajar Vietnam.

Hanya 58 peratus murid didapati mahir membaca menjelang akhir tahun lima, jauh lebih teruk berbanding rakan serantau.

Laporan turut menyebut pelajar negara ini menghabiskan 12.5 tahun di sekolah tetapi hasil pembelajarannya bersamaan 8.9 tahun sahaja.

Jika dibandingkan dengan Singapura, pelajar menghabiskan 13.9 tahun di sekolah dan hasil
pembelajaran bersamaan 12.8 tahun.

UBAH FIKIRAN IBU BAPA, ELAK GURU TERBEBAN
Anuar turut menyeru ibu bapa untuk mengubah pemikiran mereka terhadap kepentingan prasekolah
dalam kehidupan anak-anak.

Katanya, perubahan minda itu dapat menggalakkan golongan sasar untuk mencintai ilmu di samping
memudahkan kerjasama dengan guru bagi berkongsi kemajuan dan perkembangan pendidikan si kecil.

Selain peranan ibu bapa, beliau turut menggesa kerajaan meningkatkan kualiti pembelajaran di sekolah bagi menangani isu keciciran murid yang makin membimbangkan itu.

Ia meliputi langkah mengurangkan beban tugas guru ke arah cara kerja pendidikan yang lebih mementingkan kesejahteraan dan pembelajaran murid.

“Masalah utama dihadapi golongan pendidik sekarang adalah terpaksa menguruskan terlalu ramai murid dalam satu-satu masa.

“Kelas sesak, silibus pula terlalu banyak dan akhirnya ada murid yang terlepas pandang oleh guru.

“Dalam usaha menambah baik kualiti pendidikan negara, kerajaan perlu mengurangkan beban tugas bukan pengajaran golongan ini agar mereka dapat lebih fokus kepada murid-murid,” katanya.

Kementerian Pendidikan memberi jaminan memperluaskan kelas prasekolah di seluruh institusi di bawahnya bagi memastikan isu keciciran murid dapat ditangani.

Pelbagai inisiatif turut dirangka bagi mereformasikan pendidikan negara termasuk penstrukturan semula sistem prasekolah, Kurikulum Persekolahan 2027 dan intervensi kurikulum.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×