PETALING JAYA: Pempengaruh yang juga suami kepada penyanyi, Shila Amzah, Ubai, mengakui sebak mengenang lebaran pertama tanpa ibu tercinta, Rohani Jamal.
Menurut Ubai atau Muhammad Ubaidillah Mohd, 26, dia sempat menziarahi pusara ibu sendirian dan mendoakan arwah sebelum Ramadan tempoh hari.
“Perasaan raya pertama tanpa ibu memang berbeza. Sehari sebelum Ramadan sebenarnya saya ada pergi ke kubur arwah emak dan bermonolog.
“Shila menunggu hari untuk melahirkan anak, jadi saya cakap dengan arwah ‘mak, cucu pertama mak akan lahir’. Emak saya anak sulung, dan bayi saya nanti adalah cucu pertama. Jadi sebak sikit.
“Selain itu, perkara yang saya rindukan ialah momen berbuka pada hari puasa terakhir. Selepas itu, kami semua akan masak sama-sama. Lauk yang paling ditunggu ialah rendang ayam pencen. Sayalah yang letak sudu dalam kuali.
“Kemudian, semestinya waktu bersalaman di pagi raya,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Walaupun pemergian ibu pada Julai tahun lalu akibat kanser ovari meninggalkan kesan yang besar kepada keluarga, namun Ubai tetap mahu hari raya dirai dengan suasana meriah.
“Tahun ini kita beraya di rumah arwah mak di Petaling Jaya. Selain saya dan Shila, adik dan ayah saya pun akan ada sekali.
“Raya ini, Shila akan masak. Insya-Allah, kami semua akan wujudkan suasana dan aura hari raya,” katanya.
Bakal menimang cahaya mata sulung hasil perkahwinan bersama Shila Amzah tidak lama lagi, Ubai sedang membuat persiapan secukupnya dengan bertanya kepada orang yang lebih berpengalaman.
“Sebelum ini jadi bapa anak terus besar. Kali ini saya akan jaga bayi daripada kecil. Selain buat kajian di internet, saya juga ada bertanya Shila cara nak potong tali pusat.
“Kawan-kawan pun ada cakap nanti ada masanya kita tak cukup tidur jaga anak. Jadi saya sudah bersedia daripada sekarang,” tambahnya.
Untuk rekod, pada 5 Ogos tahun lalu, Shila dan Ubai sah bergelar suami isteri dengan sekali lafaz. Terdahulu, Shila pernah bernikah dengan Haris Idraki Elias dan bercerai pada Februari 2022. Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan seorang anak iaitu Seth Uwais.










