Merakam kenangan dalam potret raya

Merakam kenangan dalam potret raya

HARI Raya adalah hari yang dapat mengumpulkan seluruh ahli keluarga untuk merakam momen ceria sebagai kenangan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KENANGAN, nilainya amat tinggi dan sangat bermakna buat individu. Merakamkan momen berkumpul bersama keluarga dengan memakai busana tradisional Melayu sedondon pada sambutan Hari Raya Aidilfitri misalnya, adalah antara masa terbaik untuk mengabadikan kenangan itu. 

Tidak keterlaluan jika ia dianggap ‘acara wajib’ untuk dijadikan kenangan sekali dalam setahun itu. 

Tambahan pula dengan adanya pelbagai rangkaian media sosial, ia menjadi platform untuk mereka memuat naik gambar bagi tatapan ramai sekaligus mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri. 

Memuatkan artikel berkaitan…

Kini bagaikan sudah menjadi trend, setiap kali hari raya pasti ada gambar-gambar raya sekeluarga yang menjadi tumpuan di media sosial. 

ORANG ramai kini beralih kepada perkhidmatan fotografi di studio untuk mendapatkan hasil yang lebih berkualiti.

Berikutan permintaan yang begitu menggalakkan ini, banyak studio ketika ini mengetengahkan pelbagai idea kreatif dan dekorasi menarik sebagai ruangan untuk bergambar berbanding sebelum ini.

Pengusaha studio gambar BB Shutter Studio, Noor Asreykuzairey Salim, menampilkan empat dekorasi berkonsepkan Laman Nenda yang menawarkan suasana  kampung, dekorasi Kesuma yang menampakkan suasana klasik, Kuntom bagi konsep moden dan dekorasi Suri bagi yang mahukan konsep minimalis. 

Sejak dari awal Ramadan hingga kini, beliau menerima lebih daripada 200 tempahan. 

Ujarnya, perkembangan media sosial digital memberi kesan positif terhadap permintaan memberangsangkan itu. 

“Orang ramai ingin bergambar untuk dijadikan kad ucapan digital yang dihantar kepada rakan-rakan bagi menggantikan kad ucapan Hari Raya,” katanya. 

PENGUSAHA BB Shutter Studio, Noor Asreykuzairey Salim (kanan) bersama pasukannya.

Dalam pada itu dokumentasi visual atau foto pada Hari Raya Aidilfitri mengandungi banyak aspek penting yang tidak kita sedari, bukan sekadar merakam memori. 

Ia merupakan satu nilai sejarah dalam tradisi masyarakat yang turut menjadi sumber maklumat dan dokumentasi tentang budaya perkembangan masyarakat Islam dalam meraikan Hari Raya Aidilfitri. 

Dokumentasi foto raya ini turut memperlihatkan kepada perkembangan busana raya yang semakin berubah daripada segi rekaan hinggalah kepada aksesori kelengkapan pakaian pada hari tersebut. 

Foto-foto Hari Raya Aidilfitri dapat menjadi sumber sejarah sosial berharga, tentang kehidupan masyarakat Islam seperti interaksi antara anggota keluarga, tradisi silaturahim dan aktiviti-aktiviti yang dilakukan saat merayakan Aidilfitri. 

BERPAKAIAN sedondon untuk memeriahkan hari yang istimewa mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan dan menjadi masa yang paling sesuai untuk bergambar bersama.

Aspek-aspek melalui fotografi Hari Raya Aidilfitri ini, mampu membentuk sebuah jalinan makna yang utuh. 

Ia bukan hanya menjadi media untuk mengabadikan momen indah tetapi juga mengekspresikan nilai-nilai luhur, tradisi dan budaya masyarakat Islam. 

Itulah pentingnya mencipta kenangan yang pastinya akan tersemat rapi dalam ingatan sepanjang hayat. 

Sekeping foto raya mampu mengimbau memori yang pelbagai dan mahal harganya bagi setiap orang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini