MASJID India Muslim Tengku Kelana kekal teguh sebagai tanda perpaduan masyarakat India Muslim khususnya di bandar Klang.
Sejarahnya bermula pada tahun 1904 di mana ia dikenali sebagai Masjid India Selatan yang telah dibina dan ditadbir oleh masyarakat India Muslim yang bermazhab Hanafi.
Ia diasaskan oleh saudagar terkenal dari India iaitu R.E. Mohamed Kassim J.P di atas tapak kurniaan Sultan Selangor yang Keenam, Sultan Ala’eddin Suleiman Shah ibni Almarhum Raja Muda Musa.
Direka bermotifkan tradisi Islam, masjid itu dibina dengan reka bentuk yang mencerminkan zaman kegemilangan Islam di Andalusia dan Mesir.
Walaupun ditadbir sepenuhnya oleh masyarakat India Muslim, pengurusan masjid itu adalah di bawah pemantauan dan penyeliaan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Pejabat Agama Islam Daerah Klang.
FASA PEMBINAAN
Eksekutif Akaun dan Pentadbiran, Hezrul Hasry Sulaiman berkata, masjid tersebut bermula dengan pondok atap kayu satu tingkat yang juga merupakan rumah asas kampung sejak 100 tahun dahulu.
Katanya, masjid itu kemudian dibina semula pada tahun 1973 serta dirasmikan oleh Sultan Selangor yang kelapan, Sultan Salahuddin Selangor yang kelapan, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah ibni Al Marhum Hisamuddin Alam Shah.
“Pembinaan semula adalah bagi memenuhi keperluan asas berikutan pertambahan jemaah saban tahun,” katanya.

Pada 2007, masjid yang memerlukan penambahbaikan daripada segi fasiliti selain penambahan jemaah itu dibina sekali lagi, menjadikan bangunan itu lengkap.
Pembinaan baharu masjid itu dirasmikan semula pada tahun 2009 oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj.
Kini, masjid yang dibina dengan tiga tingkat dan empat menara itu dilengkapi ruang solat, dewan serbaguna, bilik komputer dan perpustakaan.
Dengan keluasan melebih 4,500 meter persegi, masjid tersebut mampu menampung seramai lebih 3,500 jemaah pada satu-satu masa.
KEUNIKAN BINAAN
Sebagai masjid yang ditadbir masyarakat India Muslim, Masjid India Muslim Tengku Kelana menerapkan budaya masyarakat tersebut dalam aktiviti keagamaan.
Antaranya, masjid itu menggunakan bahasa Tamil dalam khutbah Jumaat dan ceramah bagi memudahkan proses penyampaian dakwah Islam.
Menurut Hezrul Hasry, teks khutbah Jumaat diambil dari portal JAIS yang kemudiannya diterjemah kepada bahasa Tamil.
Bagi jemaah bukan India Muslim pula, mereka disediakan dengan ringkasan slaid khutbah yang ditayangkan dalam bentuk video dan diletakkan di beberapa sudut dewan solat utama.
“Tujuan utama para jemaah India Muslim membanjiri masjid ini adalah untuk mendengar khutbah dan ceramah dalam bahasa Tamil selain mengambil bahagian dalam segala aktiviti masjid,” katanya.









