Adiguru pencen masih berbakti

Adiguru pencen masih berbakti

guru
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WALAUPUN sudah setahun bersara, namun kehidupan tokoh guru berasal dari Terengganu ini tetap sibuk seperti dahulu.

Hingga kini, Saripah Embong, 61, masih ke sekolah untuk berkongsi ilmu dan kepakarannya dalam pelbagai bengkel serta ceramah selain menjadi juri pertandingan inovasi.

Beliau yang merupakan Ikon Adiguru Kebangsaan 2023 juga sering menjadi rujukan para pendidik di seluruh Malaysia.

Terutamanya, dalam bidang inovasi, pengajaran dan pembelajaran (PdP) di samping bagi urusan permohonan Guru Cemerlang Pensyarah Cemerlang (GCPC) dan beberapa anugerah utama di peringkat kebangsaan.

Saripah yang seronok dengan ‘kerjaya’ barunya itu tidak lokek untuk terus menyumbang khidmat bakti kepada masyarakat dan institusi pendidikan.

Terkini, beliau sudah membimbing 10 pasukan inovasi sekolah di Terengganu, Kuala Lumpur dan Perak sebagai persediaan untuk ke pertandingan di luar negara.

“Selain itu, saya juga membantu guru-guru yang ingin memasuki pelbagai anugerah berprestij seperti Princess Maha Chakri diikuti guru inovatif dan adiguru.

“Saya ada puluhan fail, surat dan kertas kerja lengkap pembentangan bagi dijadikan contoh oleh mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Sepanjang lebih 39 tahun perkhidmatannya, Saripah meraih 14 anugerah khas antaranya Adiguru Terengganu 2023, Wanita Aspirasi Terengganu Kategori Pendidikan 2020, Pingat Perkhidmatan Cemerlang (P.P.C) 2018, Tokoh Guru Daerah Kuala Terengganu 2019 dan Ikon Negaraku 2017.

Pencapaian tertingginya apabila membawa pulang Anugerah Princess Maha Chakri 2017 daripada Yayasan Princess Maha Chakri Sirindhorn dan Kementerian Pendidikan Thailand di samping Ikon Guru Kebangsaan 2017.

Malah, penyertaan dalam lebih 40 pertandingan inovasi peringkat negeri, kebangsaan dan negara turut menggondol pelbagai pingat termasuk 20 emas.

“Selagi masih sihat, saya mahu terus menabur bakti dalam dunia pendidikan terutama inovasi,

“Saya berpegang kepada kata-kata Pengerusi dan Pengurus Yayasan Anugerah Princess Maha Chakri iaitu anugerah merupakan suatu permulaan dalam karier seorang guru,” katanya.

 

Kuasai inovasi
Kata Saripah, minat pada inovasi disemai ketika mengikuti Ijazah Sarjana Muda Sains Makanan di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) kira-kira 19 tahun lalu.

Beliau yang merupakan guru sains, matematik dan kemahiran hidup kemudian membudayakan ilmu-ilmu berkenaan dalam PdP.

“Saya berusia 42 tahun ketika itu dan merupakan pelajar tertua di dalam kelas tetapi input-input yang diberikan sangat membantu memupuk minat pada inovasi.

“Pada 2014, saya cuba nasib masuk pertandingan dan pasukan yang dibimbing muncul juara di Perlis diikuti pelbagai kejayaan lain di peringkat kebangsaan dan antarabangsa,” katanya.

Katanya, rahsia kejayaan dalam setiap pertandingan itu dipengaruhi oleh lima formula.

Formula itu ialah dokumentasi yang mantap, pembentangan terperinci, kajian sokongan produk di makmal di samping aspek pembungkusan dan poster.

“Untuk mengukuhkan lagi kajian produk, saya turut melakukan ujian tekanan dan antibakteria di makmal UMT.

“Sekali gus memberi nilai tambah hingga dapat menewaskan pencabar lain,” katanya.
Paling membanggakan Saripah apabila pelajarnya dapat meraih keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), bahkan mampu mendapat tajaan biasiswa ke luar negara.

Terapi zikir, solat hajat
Bimbingan yang diberikan tidak terhad kepada inovasi sahaja, bahkan merangkumi aspek kerohanian pelajar.

“Kalau saya tengok pelajar ada masalah dalam menyiapkan projek, saya suruh mereka balik dan menunaikan solat hajat.

“Saya minta mereka amalkan zikir Astaghfirullah, Subhanallah dan selawat sebanyak 100 kali sehari di samping membaca ayat 1,000 dinar.

“Jika dalaman kita bersih, InsyaAllah segala kerja akan berjalan lancar dan dilimpahkan rezeki tanpa dijangka,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×