'Unik aroma gaharu hingga diberi jolokan wangian syurga' - Utusan Malaysia

‘Unik aroma gaharu hingga diberi jolokan wangian syurga’

GAHARU hanya dihasilkan oleh beberapa spesis pokok hutan tropika dan yang paling terkenal adalah daripada genus Aquilaria atau lebih dikenali sebagai karas.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pesona gaharu memikat manusia sejak berabad lamanya dek reputasinya dalam mencipta suasana tenang sesuai untuk kerohanian dan kemampuannya yang dikatakan boleh menyembuhkan banyak jenis penyakit.

Aromanya yang memikat pernah mendorong pelaut-pelaut zaman purba untuk mengharungi badai dan taufan dalam usaha mencari sumber gaharu.

Gaharu hanya dihasilkan oleh beberapa spesis pokok hutan tropika dan yang paling terkenal adalah daripada genus Aquilaria atau lebih dikenali sebagai karas.

Memuatkan artikel berkaitan…

Malaysia sebagai pengeksport gaharu kedua terbesar di dunia, selepas Indonesia, menyaksikan peningkatan penanaman gaharu.

Sehingga Disember 2019, lebih 200 syarikat dan individu berdaftar dengan Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) sebagai penanam karas dengan keluasan ladang mencapai hampir 2,500 hektar dan jumlah pokok mencapai 2.3 juta.

Ada juga syarikat dan individu mendaftar sebagai pengeksport, pengilang gaharu dan pengusaha produk gaharu di seluruh Malaysia.

Produk gaharu paling biasa dieksport ialah kepingan kayu, kayu blok, minyak pati, serpihan kayu dan habuk.

Kepingan kayu boleh diproses lagi menjadi pelbagai produk sekunder, manakala minyak pati boleh digunakan untuk membuat minyak wangi.

‘WANGIAN SYURGA’

Kayu berkualiti baik mempunyai aroma unik hingga mendapat jolokan wangian syurga dengan bau yang berbeza apabila dibakar perlahan-lahan atau disuling menjadi minyak pati.

Haruman tahan lama menunjuk­kan kualiti unggul dan mempe­ngaruhi gred dan harga.

Penggu­naan gaharu dalam budaya pelbagai masyarakat dari seluruh pelusuk dunia memberikan ia nama berbeza seperti oud, agarwood, aloeswood dan chen xiang antara lainnya.

Penanaman Aquilaria di Malaysia pada mulanya diusahakan oleh orang perseorangan dan pekebun kecil, kemudian diikuti ladang berskala besar oleh syarikat perladangan dan pemain industri antrabangsa.

Ada lima spesis Aquilaria biasa ditanam secara berleluasa di ladang, termasuk dua spesis tempatan iaitu Aquilaria malaccensis di Semenanjung Malaysia dan Aquilaria beccariana di Sabah.

Manakala spesis esotik adalah Aquilaria sinensis (China) dan Aquilaria subintegra (Thailand). Turut ditanam adalah Aquilaria crassna (diimpot dari negara Thai, Kemboja, Laos dan Vietnam).

Dalam memilih spesis untuk ditanam penanam perlu mengambil kira beberapa kriteria termasuk sasaran pasaran, kesesuaian penanaman spesis di sekitaran baharu, sumber anak pokok atau benih dan pengurusan ladang yang menjamin pertumbuhan pokok sehingga usia optimal untuk diinduksi bagi penghasilan gaharu.

Ini faktor penting mesti dipertimbangkan pengusaha bagi mendapatkan hasil menguntungkan, terutamanya kerana penanaman komersial untuk penghasilan gaharu merupakan proses kompleks yang memerlukan pelan pelaburan jangka panjang.

Gaharu yang pada mulanya dituai dari pokok yang tumbuh liar di hutan sebagai aktiviti ekonomi lestari segelintir masyarakat kampung dan orang asli di Malaysia, kini menjadi industri global yang signifikan atas sebab nilainya yang melampaui emas.

EKSPLOTASI BERLEBIHAN

Namun, permintaan tinggi itu telah mendorong eksploitasi berlebihan dan menjejaskan penjanaan semula pokok dalam hutan semulajadi.

Walaupun gaharu di Malaysia memasuki pasaran global, isu-isu fundamental seperti pembalakan haram ibu pokok dan kebanjiran pendatang asing yang mencuri gaharu di hutan simpan, harus diberi keutamaan.

Pembentukan gaharu dalam pokok karas adalah sukar dikesan, menyebabkan pencari gaharu menggunakan jalan mudah dengan menebang ibu pokok untuk menuai gaharu sedangkan kebarangkalian untuk menemui gaharu adalah sangat rendah di hutan semulajadi.

Eksploitasi menyebabkan penurunan ketara dalam populasi pokok karas dan menjejaskan bekalan gaharu daripada hutan semula jadi.

Atas sebab khuatir pokok karas diancam kepupusan, spesis Aquilaria disenaraikan di bawah Senarai Merah Spesis Terancam, Kesatuan Antarabangsa Pemuliharaan Alam Semulajadi (IUCN) pada 1998 dan Apendiks II Konvensyen Perdagangan Antarabangsa bagi Spesis Terancam (CITES) pada tahun 2005.

Sebagai langkah pemuliharaan, penanaman Aquilaria ditubuhkan secara besar-besaran bagi memenuhi permintaan dagangan gaharu di pasaran domestik dan antarabangsa.

Kerajaan juga harus mempergiatkan usaha konservasi spesis Aquilaria, memantau aktiviti pengutipan gaharu liar dan membangunkan industri gaharu yang mampan dan mesra alam.

Tindakan pemuliharaan dan pengurusan berkesan, penting untuk memastikan kelestarian gaharu di negara ini dan manfaatnya kepada ekonomi dan masyarakat di sini.

ROZI MOHAMED adalah Pensyarah Kanan, Jabatan Sains Perhutanan dan Biodiversiti, Fakutli Perhutanan dan Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia (UPM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini