LAS VEGAS: Pelakon, Vanessa Hudgens mahu majlis perkahwinan tidak terganggu dengan kesibukan tetamu bermain telefon bimbit sehingga lupa untuk berkomunikasi antara satu sama lain.
Pelakon yang memilih seorang pemain besbol profesional, Cole Tucker itu berkata, dia terharu apabila tetamu yang hadir lebih menghargai momen istimewa itu dan berbual sesama sendiri.
“Saya memilih perkahwinan yang cukup privasi dan tetamu yang hadir perlu menyimpan telefon mereka.
“Sungguh mengagumkan kerana ketika sesi makan malam, saya melihat sekeliling dan semua orang bercakap antara satu sama lain.
“Keluarga dan rakan kami berkumpul mewujudkan hubungan sebenar. Dapat melijat itu bersama mereka yang dekat dengan kami, bagi saya itu momen yang ajaib,” ujarnya dalam satu temubual bersama media.
Pelakon dan penyanyi yang popular menerusi siri filem, High School Musical itu mendirikan rumah tangga dengan secara tertutup di Azulik City of Arts,Tulum, Mexico pada penghujung minggu lalu.
Ditanya mengapa dia memilih destinasi itu sebagai lokasi perkahwinan, Hudgens berkata, muzium itu dirasakan cukup dekat dengan hati mereka.
“Saya tahu bahawa ini adalah tempat kami. Rasa seperti dibawa ke Utopia. Ini adalah perasaan berbeza, belum pernah saya lalui sebelum ini.
“Lokasi ini cukup magis dan penuh rasa cinta. Berada di sini membuatkan saya seperti baru sahaja jatuh cinta,” kongsinya.
Pada hari perkahwinannya, Hudgens tampil anggun dengan hasil rekaan pereka fesyen terkenal, Vera Wang.
Untuk rekod, Hudgens, 34 tahun mula menjalinkan hubungan cinta dengan Cole, 27 pada penghujung tahun 2020.- UTUSAN