‘Sibuk merancang, zakat dah bayar ke?’ - Utusan Malaysia

‘Sibuk merancang, zakat dah bayar ke?’

ALLAH mensyariatkan zakat yang menjadi mekanisme keseimbangan sosial dan ekonomi dalam masyarakat. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Akhir tahun, pelbagai perkara menjengah masuk fikiran kita sebagai individu atau ibu bapa seperti rancangan bercuti sebelum masuk tahun baharu atau merancang persiapan kewangan anak memasuki sesi persekolahan tahun hadapan.

Pun begitu, satu perkara yang wajib diberi perhatian adalah perihal ‘hak orang lain’ pada harta atau pendapatan tahunan kita.

Sikap peka ini mendapat pujian Allah ketika Dia mengangkat darjat orang bertakwa dalam firman-Nya bermaksud: (Orang bertakwa dianugerahi syurga kerana mereka memperuntukkan) pada harta mereka, hak (bahagian) untuk orang miskin yang meminta dan orang miskin yang menahan diri (daripada meminta). (al-Dzariyat: 19)

Jika kita membuat potongan zakat bulanan, angkatlah pujian itu pada Allah yang menggerakkan kita berbuat demikian.

Pun begitu, peringatan ini tetap berguna kepada pembayar zakat yang menggunakan mekanisme potongan tahunan.

Langkah Pusat Zakat – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) mengerakkan kempen dakwah Year End Zakat (YEZ 2023) sepanjang bulan ini wajar dipuji dan dipanjangkan ke seluruh Malaysia.

Kempen ini berguna ‘mengejutkan’ pembayar zakat yang mungkin terleka atau lupa membayar zakat pada waktunya lebih-lebih lagi bila desakan kewangan selalunya bertembung di akhir dan di awal tahun 2024 ini.

Islam agama realistik milik Allah pencipta manusia. Manusia sebagai makhluk sosial memerlukan sistem yang baik untuk menjamin kesejahteraan hidup mereka.

Dengan itu, Allah mensyariatkan zakat yang menjadi mekanisme keseimbangan sosial dan ekonomi dalam masyarakat.

Islam mengajar harta bukan mutlak milik kita walaupun alamat atau gerannya didaftarkan dengan nama kita. Kita hanyalah pentadbir sementara terhadap amanah pinjaman harta tersebut.

Firman Allah bermaksud: Berimanlah kamu kepada Allah dan rasul-Nya serta belanjakanlah (pada jalan kebajikan) sebahagian dari harta benda (pemberian Allah) yang dijadikannya kamu menguasainya sebagai wakil. Maka orang yang beriman di antara kamu serta mereka membelanjakan (sebahagian dari harta itu pada jalan Allah), mereka tetap beroleh pahala yang besar. (al-Hadid: 7)

ELAK BAKHIL

Apabila terdapat seruan Allah selaku ‘Pemilik Sebenar’ harta itu agar ia dilepaskan haknya kepada orang lain dalam bentuk zakat atau sedekah, maka kita selaku peminjam sepatutnya patuh tanpa soal.

Ini antara hikmah zakat diwajibkan kepada Muslim. Allah mahu mendidik Muslim agar kurang simpulan jiwanya dengan harta.

Tambahan pula kadar nisbah pemulangan kembali zakat dituntut Allah tidaklah besar berbanding nilai keseluruhan harta kita, cuma 1/40.

Allah tahu, manusia yang sangat pekat ikatan jiwanya pada harta akan melonjak kebakhilannya jika kadar pulangan dituntut Allah sangat besar.

Allah berfirman yang bermaksud: (Ingatlah) bahawa kehidupan dunia (yang tidak berdasarkan iman dan taqwa) hanyalah ibarat permainan dan hiburan dan jika kamu beriman serta bertaqwa, Allah akan memberikan kamu pahala amal kamu dan Dia tidak meminta kepada kamu harta benda kamu (melainkan dengan kadar sedikit sahaja dalam bentuk zakat atau sedekah). (Tabiat kamu wahai manusia) jika Tuhan meminta kepada kamu harta benda kamu serta mendesak kamu memberikan-Nya (dalam jumlah yang besar), nescaya kamu akan berlaku bakhil kedekut, dan kebakhilan itu akan melahirkan kemarahan dan kebencian kamu. (Muhammad: 36-37)

Allah turut menegaskan betapa perbezaan darjat dan kekuatan ekonomi di dunia menjadi sebab kasihan belas tercurah antara orang yang berbeza darjatnya.

Firman Allah bermaksud: Kami bahagi antara mereka segala keperluan hidup mereka dalam kehidupan dunia ini, (setengahnya Kami jadikan kaya raya dan setengahnya miskin menderita); dan juga Kami telah menjadikan darjat setengah mereka tertinggi dari darjat setengahnya yang lain; (semuanya itu) supaya sebahagian dari mereka senang mendapat kemudahan menjalankan kehidupannya dari (bantuan) setengahnya yang lain. Dan lagi rahmat Tuhanmu (yang meliputi kebahagiaan dunia dan akhirat) adalah lebih baik dari kebendaan dan keduniaan semata-mata yang mereka kumpulkan. (al-Zukhruf: 32)

Perbezaan ini menjadi sebab yang kaya mengasihani yang susah dan yang susah mendoakan kebahagiaan si kaya.

KITARAN SIHAT

Kitaran sihat ini akan menyuburkan keharmonian masyarakat.

Inilah ditegaskan Baginda SAW ketika menyatakan peranan zakat melalui hadis baginda: Maka sampaikan kepada mereka bahawa Allah telah mewajibkan ke atas mereka sedekah (zakat) pada harta mereka, yang diambil daripada orang kaya dalam kalangan mereka dan diberikan kepada orang miskin dalam kalangan mereka. (Sahih al-Bukhari, 1395).

Segera menunaikan zakat, semoga usaha dan kecaknaan ini membawa keberkatan kepada kita semua.

Jangan bertangguh sehingga terlepas peluang. Rugi jika kelekaan kita menunaikan rukun Islam ketiga ini menjadi sesalan kemudian hari.

Ia seperti kisah dialog berikut bermaksud: Pada suatu hari) Abdullah bin ‘Abbas r.a berkata: Sesiapa punyai harta yang mampu membawanya untuk menunaikan haji ke rumah Allah (Kaabah), atau harta yang diwajibkan zakat ke atasnya, akan tetapi dia tidak menunaikan keduanya maka dia akan minta dihidupkan kembali setelah mati datang menjengah (supaya dia boleh menunaikan apa yang terlepas).

Berikutan kenyataannya itu seorang lelaki menegurnya: Wahai Ibn Abbas! Takutlah kamu kepada Allah (dengan kenyataan pelik ini). Sebenarnya yang minta pulang ke dunia setelah mati itu hanya orang kafir dan bukannya orang Islam. (Lelaki ini merujuk kepada rayuan orang kafir untuk kembali ke dunia dalam surah al-Mukminun: 99-100). Abdullah ibn Abbas kemudiannya berkata – Aku akan baca ayatnya sebagai bukti kataku itu:
Wahai orang beriman! Janganlah kamu dilalaikan oleh (urusan) harta benda dan anak-pinak kamu daripada mengingati Allah (dengan menjalankan perintah-Nya seperti membayar zakat dan menunaikan haji). Dan (ingatlah), sesiapa yang melakukan demikian, maka mereka itu orang yang rugi.

Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian daripada rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang daripada kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka dia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya: Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku – ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku jadi orang yang soleh. (al-Munafiqun: 9-10), (Sunan al-Tirmidzi, 3238).

Penulis adalah Timbalan Pengarah Hal Ehwal Pelajar, Pusat Bahasa, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya