Teh boba, kopi punca ramai remaja anemia

Teh boba, kopi punca ramai remaja anemia?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEH boba merupakan antara minuman kegemaran pelbagai peringkat usia dari kanak-kanak hingga dewasa.

Keenakan minuman itu menjadikan budaya minum teh boba kini sebahagian daripada gaya hidup masyarakat terutama remaja.

Selain ketagih teh boba, golongan itu juga dikesan gilakan kopi dan minuman bercoklat yang mengandungi kafeine.

Bukan sahaja di bandar, malah trend tersebut turut merebak ke luar bandar.

Tanpa sedar, trend itu hakikatnya memberi kesan buruk kepada kesihatan remaja jika terus dijadikan amalan.

Timbalan Dekan Akademik (Sains Kesihatan) dan Hal Ehwal Pelajar, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Barakatun Nisak Mohd. Yusof berkata, pengambilan minuman berkafeine menjadi antara punca peningkatan kes anemia dalam kalangan remaja.

Minuman tersebut boleh menghalang penyerapan zat besi pada makanan.

Kajian turut mendapati zat besi hilang 62 peratus apabila seseorang makan bersulam teh manakala bagi kopi pula 35 peratus.

“Apabila remaja makan hidangan lengkap, nasi bersama lauk-pauk seperti ayam misalnya, tetapi bersulam dengan teh boba, maka zat besi daripada protein itu tidak dapat diserap dengan baik kerana adanya kafeine.

“Walaupun segelintir individu makan makanan berkhasiat tetapi ia akan terbuang sebegitu sahaja
disebabkan minuman berkenaan,” katanya ditemui pada Persidangan Saintifik Perubatan Keluarga Ke-25 di Sepang, baru-baru ini.

Anemia boleh berlaku disebabkan pelbagai faktor termasuk kekurangan nutrien seperti protein, zat
besi, vitamin C, vitamin E, vitamin B12, vitamin B6, kuprum, riboflavin dan asid folik bagi
pembentukan sel darah merah serta haemoglobin.

Malaysia kini berdepan masalah beban berganda malpemakanan susulan peningkatan kadar obesiti, bantut dan anemia terutama dalam kalangan kanak-kanak dan remaja berusia antara lima
hingga 19 tahun.

 

LETIH, INGATAN TUMPUL
Ramai remaja tidak menyedari mereka mengalami anemia sedangkan memiliki gejala-gejala seperti letih pada setiap masa, pening, sesak nafas apabila melakukan aktiviti fizikal, kulit pucat, kadar denyutan jantung laju di samping kurang daya ingatan dan berat badan.

Barakatun yang juga dietitian di Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS) UPM berkata, dalam jangka pendek, kekurangan zat akan menyebabkan mereka mudah letih.

Pada masa sama, zat yang tidak mencukupi turut memberi kesan kepada kognitif seperti kesukaran belajar.

“Corak pemakanan remaja sama seperti corak pemakanan ibu bapa mereka. Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) mendapati mereka tidak makan sayur dan buah mencukupi di samping pengambilan makanan tinggi gula.

“Dakwaan kononnya usia muda menghalang remaja daripada sakit kronik tidak benar kerana banyak kajian di Malaysia menunjukkan ia adalah sebaliknya.

“Remaja tidak imun kepada penyakit kronik, bahkan sangat terdedah disebabkan
perubahan gaya hidup,” katanya.

MINUM SELEPAS EMPAT JAM

Minuman berkafeine seperti teh boba dan kopi disarankan diminum sekurang-kurangnya empat jam selepas makan.

Namun tidak disarankan diminum setiap hari, bagi mengelak risiko lain termasuk sindrom kardiometabolik dan gangguan tidur.

Kardiometabolik merujuk kepada faktor risiko yang meningkatkan kemungkinan mengalami penyakit jantung dan diabetes jenis 2.

“Remaja dilihat sukakan teh boba, tetapi saya harap pengambilannya dapat
dikurangkan mungkin hanya seminggu sekali dan bukan sebagai amalan harian.

“Air paling bagus semestinya air masak atau jus buah tinggi vitamin C dan bukan minuman buah yang tinggi kandungan gula,” kata Barakatun Nisak.

Dalam perkembangan sama, remaja dinasihatkan menjaga pola pemakanan di samping mengambil
makanan seimbang yang tinggi protein seperti daging, ayam, ikan, telur dan susu.

Remaja perlu makan buah-buahan dan sayur-sayuran yang secukupnya.

Kajian NHMS pada 2017 mendapati seramai 70 peratus remaja tidak mengambil sarapan pagi, manakala masing-masing 50 peratus pula bagi makan tengah hari dan malam.

Paling menyedihkan, 31 peratus tidak makan secara teratur pada pagi, tengah hari dan malam.

Barakatun Nisak menjelaskan, selain disiplin dalam pemakanan, remaja disarankan melakukan aktiviti fizikal sekurang-kurangnya sejam sehari di samping mengurangkan masa skrin dan mendapat
waktu tidur mencukupi.

 

REMAJA HILANG 10 TAHUN KEHIDUPAN

Fakta ini mungkin menakutkan ramai, tetapi hakikatnya remaja boleh kehilangan 10
tahun kehidupan dewasa mereka jika didiagnos penyakit tidak berjangkit disebabkan pemakanan
sejak di peringkat awal usia.

Barakatun Nisak berkata, jangka hayat golongan itu mungkin lebih
pendek berbanding sepatutnya berikutan mengalami penyakit seperti jantung, kencing
manis, darah tinggi dan sebagainya.

“Contohnya, saya melihat pesakit semuda 11 tahun menderita kencing manis jenis 2 akibat masalah berat badan berlebihan sejak kecil.

“Jika corak pemakanan anak-anak tidak dibendung, mereka berisiko mendapat
penyakit kronik apabila dewasa dan mungkin hilang 10 tahun tempoh hidup,” kongsinya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya