Biar rentak ‘kura-kura’, yang penting konsisten - Utusan Malaysia

Biar rentak ‘kura-kura’, yang penting konsisten

PELARI Kura-Kura ditubuhkan Jun tahun lalu dengan ahli hampir mencecah 5,000 pengikut termasuk di laman media sosial.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kebelakangan ini semakin ramai orang suka bersukan dan melakukan aktiviti beriadah seperti berlari.

Sudah pastilah murah dan mudah menjadikan ia antara sukan yang diamalkan ramai orang tanpa mengira usia dan jantina.

Namun, hakikatnya masih banyak yang menganggap sukan larian hanya untuk mereka yang muda, berumur antara belasan tahun sehingga awal 40-an sahaja.

Tanggapan tersebut tidak benar sama sekali, walaupun ada beberapa kes yang mencatatkan kematian mengejut akibat fungsi jantung yang terhenti ketika sedang berlari.

Bagi Aminuddin Abdul Shukor,60, beliau terlibat dalam aktiviti larian sejak tahun 2017 dan kini hampir enam tahun memerah keringat bagi memastikan tahap kesihatan yang lebih baik.

“Saya bukanlah seorang atlet sebelum ini. Tetapi selepas disahkan doktor ada simptom awal terkena darah tinggi, kencing manis dan buah pinggang serta mempunyai tahap kolesterol yang tinggi, saya terus mula berlari.

“Pada mulanya jarak larian saya pendek iaitu lebih kurang lima kilometer (km) . Kemudian saya mula menambah jarak sehinggalah kepada 20 km,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini sewaktu menyertai larian anjuran Pelari Kura-Kura.

Aminuddin yang merupakan salah seorang ahli kelab berkenaan berkata, aktiviti larian dilakukan ketika hujung minggu atau sewaktu ada masa terluang.

“Saya biasanya berlari sama ada dengan rakan-rakan atau secara sendirian. Setiap Ahad saya akan pastikan aktiviti larian ada dalam jadual harian saya.

“Apa yang paling penting konsisten dan tahu keadaan badan sendiri termasuk masa-masa tertentu untuk berehat atau meneruskan aktiviti larian,” ujarnya.

Sehingga kini, Aminuddin sudah menyertai beberapa acara larian dalam negara dan berhasrat menyertai acara maraton penuh iaitu 42 km pada masa akan datang.

KEMATIAN MENGEJUT

Mengenai kes kematian mengejut membabitkan pelari, Aminuddin berkata, perasaan bimbang tetap ada terutama bagi dirinya yang sudah dimamah usia.

Malah beliau tidak berselindung melahirkan kerisauan sekiranya situasi sama turut dialaminya.

“Saya risau juga dengan serangan cardia arrest (jantung terhenti) yang boleh menyerang pada bila-bila masa. Sebab itulah kalau berlatih dalam jarak jauh, saya suka berlari secara berkumpulan,” katanya.

Sebagai langkah persediaan Aminuddin turut menjalani pemeriksaan kesihatan tahunan bagi menilai tahap kesihatan dirinya.

“Aktiviti larian sebagai sesuatu yang bagus untuk kesihatan. Ia juga mudah serta boleh dilakukan hampir di mana-mana sahaja.

“Atas sebab itu jugalah saya menyertai kelab larian sebab boleh berlari dalam satu kumpulan. Aktiviti yang dilakukan dalam bentuk kumpulan ini lebih seronok dan menceriakan. Tidaklah rasa bosan sangat,” jelasnya.

MAHU TURUNKAN BERAT BADAN

Bagi Anuar Ahmad, 29, beliau beraktiviti atas tujuan menurunkan berat badan sejak setahun lalu.

Tanpa diduga, larian menjadi rutin harian yang digemari pula.

“Ada kala saya merasakan hari saya tidak sempurna apabila tidak berlari,” katanya.

Anuar yang merupakan salah seorang pengasas Kelab Pelari Kura-Kura menjelaskan kelab berkenaan ditubuhkan Jun tahun lalu dengan ahli hampir mencecah 5,000 pengikut termasuk di laman media sosial.

Menariknya, tiada syarat tertentu diperlukan untuk menyertai kelab berkenaan.

“Kami mengalu-alukan pelari lama dan baharu dengan harapan dapat berkongsi ilmu.

“Apa yang penting ia dapat dijadikan salah satu platform untuk berkongsi maklumat dan minat,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×