Maduppa Busarak adalah tarian selamat datang bagi menyambut dan menjamu tetamu.
Tarian ini ditarikan di istana khususnya dipersembahkan di hadapan raja, sultan, bangsawan atau tetamu kehormat istana, sebagai salah satu cara sopan untuk mempersembahkan makanan atau santapan.
Tarian Maduppa Busarak merupakan salah satu tarian etnik Bugis berasal dari Indonesia yang kemudiannya telah diilhamkan di Pontian, Johor sebagai Tarian Mappa Duppa.
Ia digelar sedemikian lantaran sajian diletakkan di atas talam ditutup dengan tudung saji kecil dipanggil ‘busarak’, manakala ‘maduppa’ bermaksud menjemput atau mempersilakan tetamu untuk menikmati hidangan disajikan.
TARIAN INSPIRASI MADUPPA BUSARAK
Mappa Duppa merupakan tarian ciptaan baharu yang diinspirasikan daripada Maduppa Busarak iaitu tarian yang popular dalam kalangan masyarakat Bugis di Pontian, Johor.
Pengasas Tarian Mappa Duppa, Indok Chichuk Daing Haddadek, 78, insan bertanggungjawab membawa masuk tarian ini pada 1980-an ke Kampung Sungai Kuali Kukup, Pontian selepas mengikuti keluarganya ke Makassar, Sulawesi Selatan di Indonesia.
“Bapa asal dari Sulawesi, jadi setiap kali ada majlis akan dipersembahkan tarian ini. Saya tertarik dengan kaedah bagaimana sajian dihidangkan kepada tetamu. Kuih-muih diletakkan di atas talam atau tepak, ditutup dengan ‘busarak’.
“Jadi, saya minta untuk membawa balik cakera padat (CD) supaya dapat berlatih dan diajar kepada orang kampung di sini termasuk saudara-mara, anak dan cucu,” kata kepada Utusan Malaysia.
Pada 2005, Indok Chichuk atau lebih dikenali sebagai bonda dalam kalangan anak tarinya, menggerakkan kumpulan tarian Bugis ‘Tassimaluk’, bermaksud sopan santun.
Mappa Duppa ditarikan secara berpasangan antara lelaki dan wanita, yang mana berbeza dengan tarian asal yang ditarikan oleh wanita sahaja.
“Tarian ini pada asalnya ramai penarinya dalam kalangan anak muda namun apabila masing-masing sudah berkeluarga dan berhijrah, ia tidak lagi aktif ditarikan.
“Saya bersyukur apabila Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Johor dapat mewarisinya. Kalau tidak, tarian itu pasti akan pupus,” ujarnya yang menyatakan tarian berkenaan sering menjadi permintaan pelancong yang datang ke kampungnya dan dipersembahkan di majlis-majlis tertentu.
Kini hanya enam cucunya sahaja menunjukkan minat, namun tidak dapat memberi komitmen sepenuhnya.
NAFAS BAHARU
Tarian ini diberi nafas baharu melalui persembahan Kumpulan Kesenian JKKN Johor menerusi program Inspitari 2014 oleh Hamly Shah Ramli.
Tarian kreasi ini merupakan tarian asal iaitu Tarian Maduppa Busarak yang menghormati tetamu dengan tarian khas bagi menyambut dan menjamu orang yang bertandang.
Penari akan membawa makanan ditutup dengan ‘busarak’ sambil menari dengan lemah gemalai sebagai menggambarkan budaya sopan santun masyarakat Bugis.










