Wang Kelian yang terletak di Banjanakawan

Wang Kelian: Lembah yang kian hilang

PAPAN tanda perkampungan Wang Kelian, Padang Besar, Perlis. - UTUSAN/SYED AZLAN HIZAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEJAK diasaskan lapan tahun lalu, Perlis Nature and Wildlife (PNW) yang diketuai, Syamil Abd Rahman,38, banyak menghabiskan masa dan kudrat melakukan kajian atau penyelidikan berkaitan alam semula jadi di negeri ini khususnya di Wang Kelian, Padang Besar yang menyimpan 1,001 khazanah berharga.

Meskipun tidak berpeluang melanjutkan pelajaran sehingga ke peringkat universiti namun tidak menghalang Syamil yang terlalu mencintai khazanah alam semula jadi itu mempelajari dan menerokai sendiri selok belok kekayaan khazanah semula jadi Perlis itu.

Pengalaman keluar masuk hutan, menerokai gua selain melakukan penyelidikan khususnya berkaitan spesies unik beruk kentoi tanpa sebarang dana selama ini menjadikan anak jadi Perlis itu mempunyai pengalaman dan pengetahuan yang cukup luas selok-belok khazanah alam semula jadi itu.

Dia yang mendedikasikan pengetahuan yang diperolehi dari penerokaan alam semula jadi itu bukan hanya sekadar ingin memupuk kepentingan memelihara dan memulihara kekayaan biodiversiti tetapi bagi membuka peluang baharu untuk ekonomi berasaskan pelancongan eko dan desa di Perlis itu.

Usaha Syamil selama ini akhirnya berjaya dipotretkan menerusi penghasilan sebuah dokumentari khas bagi memperkenalkan keunikan biodiversiti alam semula jadi di Wang Kelian, Padang Besar yang menyimpan pelbagai khazanah berharga sejak beratus juta tahun.

Penerbitan dokumentari bertajuk ‘Wang Kelian: Lembah Yang Kian Hilang’ berdurasi selama 30 minit itu dilaksanakan hasil usaha Roots & Shoots dan PNW dengan mendapat sokongan geran daripada Think City di bawah Program Pemangkin Ekonomi Budaya.

Projek yang diketuai Peter Ong itu juga turut menerbitkan sebuah buku bagi menceritakan tentang kekayaan biodiversiti dan geodiversiti yang menjadi nadi kepada kehidupan masyarakat di kawasan itu sejak sekian lama.

Penerbitan dokumentari dan buku yang memakan masa tiga bulan itu merangkumkan pelbagai spesies flora dan fauna di Wang Kelian selain sejarah, warisan, geodiversiti dan arkeologi selain kisah hidup masyarakat setempat yang turut dilampirkan.

Kata Syamil, dia sebenarnya sudah lama ingin mempotretkan keunikan Wang Kelian itu namun tidak mempunyai dana sehingga didatangi Peter seorang jurugambar profesional yang datang mengajak bekerjasama menghasilkan buku itu.

Ujarnya, bermula pada tahun 2020 ketika Peter yang merupakan seorang jurugambar hidupan liar datang ke Wang Kelian untuk merakamkan beruk kentoi bagi projek monyet yang dijalankan di bawah organisasi Roots & Shoots Malaysia.

“Peter menggunakan segala saluran dan maklumat yang ada bagi membantu mendapatkan gambar beruk kentoi yang akhirnya menemukan dia dengan saya. Saya sebenarnya menjadi satu-satunya pengkaji beruk kentoi di Malaysia.

“Kerja-kerja di lapangan bermula ketika musim kering Januari 2023 dan berakhir pada Mac 2023. Setiap hari selama dua bulan yang turut dibantu oleh sukarelawan PNW dan The Habitat Foundation yang memulakan tugas rakaman, temu ramah dan eksplorasi seawal pukul 8 pagi sehingga lewat malam.

“Sepanjang projek tersebut dijalankan, mereka turut menerima tetamu dari pelbagai bidang kepakaran antaranya primatologis, jurugambar hidupan liar dan unggas, serta ahli biologi terkemuka.

“Syukur kerana selama ini saya tidak berpeluang mengenali lebih dekat dan bersua secara bersemuka dengan rakan-rakan yang senada dalam bidang ini dan disebabkan jalinan kerjasama dengan Peter, mereka hadir memberi sokongan,” katanya yang merujuk kepada kehadiran ramai nama-nama besar dari Malaysia Primatoligist Society,MareCet, Jane Godall’s Institute Singapura, NEST dan beberapa jurugambar hidupan liar terkenal.

Sebagai rekod, Syamil juga banyak membantu jabatan-jabatan, agensi serta badan bukan kerajaan (NGO) dalam mempromosikan negeri ini khususnya berkaitan eko pelancongan.

Tambah Syamil, Wang Kelian yang terletak di Banjawan Nakawan telah berusia 500 juta tahun dan sememangnya mempunyai pelbagai spesies endemik serta sukar ditemui di lokasi lain dalam negara ini.

Katanya, menerusi penghasilan dokumentari dan buku tersebut, ia diharap dapat memberi pendedahan kepada orang ramai tentang perspektif keunikan yang terdapat di kawasan berkenaan.

“Malah penghasilan dua produk ini juga diharap dapat menarik perhatian dunia tentang keistimewaan di Wang Kelian yang mempunyai kekuatan tersendiri dari aspek geopelancongan, ekopelancongan dan arkeologi.

“Banyak spesies unik dapat ditemui di Wang Kelian dengan antaranya seperti beruk kentoi yang hanya ada di Wang Kelian. Saya juga sangat bersyukur disebalik jatuh bangun PNW sejak tujuh tahun lepas, masih terdapat barisan rakan-rakan seperjuangan yang sanggup bersama sehingga kini,” katanya.

Sementara itu, Peter berkata, bagi menyiapkan dokumentari tersebut, mereka mengambil masa selama satu bulan manakala penghasilan buku berkenaan pula memakan masa selama dua bulan.

Katanya, Ilustrasi bagi buku tersebut dilukis secara langsung dari lapangan oleh pelukis terkenal Jeniffer P. Linggi manakala filem dokumentari 30 minit itu pula diarahkan oleh Myles Storey iaitu seorang jurufilem yang mempunyai pengalaman bekerja dengan BBC UK.

Katanya, pelbagai cabaran ditempuhi khususnya dalam merakamkan gambar beberapa spesies unik khususnya beruk kentoi yang memerlukan ketelitian dan masa.

“Ia memerlukan kesabaran dan pernah paling lama sehingga seminggu gambar spesies yang ingin kita rakamkan gambar itu tidak muncul. Itu antara cabarannya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya