Mytrees@Melaka selaras inventori pokok

Mytrees@Melaka selaras inventori pokok

AB. RAUF Yusoh (kanan) menunjukkan maklumat inventori pokok selepas mengimbas kod QR pada majlis pelancaran aplikasi Mytrees@Melaka di Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Sebanyak 40,174 data inventori pokok di negeri ini telah didaftar masuk dalam Mytrees@Melaka sejak sistem berkenaan mula dilaksanakan pada 2017.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, sasaran tahunan pelaksanaan inventori itu adalah sebanyak 5,000 pokok setahun.

Katanya, Mytrees@Melaka merekodkan maklumat inventori pokok-pokok utama sebagai rujukan kepada agensi pelaksana yang terdiri daripada empat pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Perhutanan.

“Orang awam juga dapat mengakses sistem berkenaan melalui dua kaedah iaitu melayari portal dan aplikasi mudah alih yang boleh dimuat turun secara percuma di Google Play Store dan App Store.

“Antara maklumat yang disediakan seperti kadar penyerapan gas karbon dioksida, kawasan taburan pokok utama, status penyelenggaraan, penilaian pokok dan kawasan yang berisiko.

“Selain itu, sistem ini memudahkan PBT dan Jabatan Pertanian memantau keadaan dan aduan berkaitan pokok. Orang awam boleh memaklumkan keadaan kesihatan pokok dengan mudah dan pantas supaya tindakan segera dapat diambil pihak berwajib,” katanya dalam sidang akhbar selepas pelancaran portal dan aplikasi Mytrees@Melaka di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini, semalam.

Tambah Ab. Rauf, Melaka menjadi negeri pertama yang menyelaraskan penggunaan satu sistem inventori pokok kepada semua PBT.

Menurutnya, setiap pokok yang didaftarkan mempunyai nombor pendaftaran dan kod respon pantas (QR) sendiri.

“Kod QR ini sebagai kad pengenalan kepada setiap pokok yang telah didaftarkan. Antara maklumat yang dipaparkan seperti nama saintifik dan tempatan, lokasi, usia, koordinat dan tarikh daftar.

“Sebagai permulaan sebanyak lapan pokok di sekitar kawasan Victoria Fountain dan Bangunan Stadthuys di Banda Hilir telah dipilih untuk penandaan kod QR. Antara pokok terlibat adalah batai laut, semambu dan madras thorn,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.