Aktiviti pembelajaran Kelas Rimba didik anak Orang Asli Bateq

Aktiviti pembelajaran Kelas Rimba didik anak Orang Asli Bateq

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SINONIM dengan kehidupan berpindah-randah serta asimilasi dengan survival hutan hujan tropika Taman Negara yang berusia lebih 130 juta tahun, kini anak Orang Asli etnik Bateq mula mengenali alam persekolahan dengan mempelajari asas membaca, menulis dan mengira (3M).

Impian untuk menimba pengetahuan itu akhirnya tercapai apabila seramai 45 kanak-kanak di Kampung Atok yang menghuni di pesisir Sungai Tembeling di Pahang kini belajar di sebuah bangsal kayu hutan dikenali sebagai Kelas Rimba.

Inisiatif yang dirintis pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Bird Group Taman Negara (BGTN) sejak Ogos tahun lalu itu didorong oleh nilai kemanusiaan dan prihatin terhadap isu keciciran anak Orang Asli di pedalaman.

Usaha murni itu turut mendapat kerjasama Ecotourism & Conservation Society Malaysia (Ecomy) dan Rythm Foundation yang menyumbang dana bagi menyediakan kemudahan aktiviti pembelajaran dan kebajikan anak Orang Asli di Kampung Atok.

Kunjungan ke Kelas Rimba, kita akan mendengar anak Orang Asli ceria mempelajari, menyebut dan menulis ABC serta suku kata mudah di samping membilang dan menulis angka, juga diselitkan nyanyian lagu kanak-kanak dalam bahasa Melayu dan Inggeris di samping sesi melukis dan kraftangan.

Tok Batin Kampung Atok, Husin Dayak berkata, pembukaan Kelas Rimba melakar sejarah buat komuniti itu kerana anak-anak dapat belajar berbanding sebelumnya ekoran kehidupan nomad dan dihimpit kemiskinan.

Katanya, pembelajaran Kelas Rimba membuahkan hasil apabila seramai 29 kanak-kanak berjaya memasuki pendidikan formal, iaitu kelas prasekolah dan tahun satu di Sekolah Kebangsaan (SK) Merting, Jerantut yang terletak kira-kira 30 minit dari kampung tersebut pada 19 Mac lalu.

“Saya yakin kemasukan anak-anak ke sekolah dapat memberi motivasi kepada yang lain untuk belajar bagi menjamin kehidupan di masa akan datang.

“Kebolehan 3M yang didedahkan di Kelas Rimba membolehkan anak-anak melangkah ke hadapan hingga mampu memasuki sekolah menengah dan peringkat lebih tinggi,” katanya baru-baru ini.

Menurut Husin, sukarelawan BGTN datang ke kampung itu untuk mengajar pada hari Sabtu dan Ahad.
Sementara itu, Pengerusi BGTN, Roslan Abu Kassim berkata, mereka terpanggil untuk menawarkan khidmat bakti kerana prihatin dengan nasib anak Orang Asli yang sangat dahagakan ilmu.

Katanya, kejayaan Kelas Rimba itu turut dibantu oleh pelancong warga Britain, Sam McCann yang menyumbangkan dana hampir RM13,000 untuk kebajikan anak-anak Orang Asli di kelas itu.

Roslan menjelaskan, tenaga pengajar terdiri daripada sukarelawan BGTN dan belia Orang Asli Taman Negara yang merupakan lepasan sekolah menengah di Kuala Tahan.
“Seramai 29 murid yang sudah bersekolah itu masih mengikuti pembelajaran di Kelas Rimba bersama rakan lain yang masih belum bersekolah dan berkemungkinan akan mendaftar persekolahan pada tahun depan,” katanya.

TERUJA BELAJAR
Murid Orang Asli etnik Bateq, Cicak Gaboi, 9, seronok mengikuti pembelajaran di Kelas Rimba hingga mampu memasuki persekolahan di SK Merting.

Katanya, semangat untuk menuntut ilmu makin membara setelah didedahkan dengan kemahiran 3M di Kelas Rimba selama beberapa bulan.

“Saya berjanji akan belajar bersungguh-sungguh sehingga ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya.

Dalam pada itu, McCann yang merupakan guru sekolah rendah di England melihat usaha kumpulan NGO tersebut mampu memberi sinar baharu buat anak Orang Asli untuk mengenali alam persekolahan.

“Kemahiran 3M membantu mereka menambah pengetahuan mengenai dunia luar sekali gus mengubah sikap komuniti itu dan dapat membuka peluang mereka untuk terlibat dalam pelbagai sektor pembangunan.

“Terima kasih juga kepada sukarelawan yang merupakan hero tidak didendang kerana dapat menjana pengetahuan kepada minoriti Orang Asli etnik Bateq di hutan hujan Taman Negara dan pembangunan ekopelancongan tempatan pada masa akan datang,” katanya dalam catatan di laman Facebook miliknya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya