Balik kampung: Perlu persediaan mental - Utusan Malaysia

Balik kampung: Perlu persediaan mental

Persiapan mental bukan untuk pemandu sahaja, sebaliknya semua yang berada dalam kenderaan. GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kepulangan yang dinanti kadangkala bertukar menjadi tragedi. Banyak kes kemalangan menyayat hati dilaporkan tatkala menjelang Aidilfitri dek kerana beribu kenderaan memenuhi jalan raya menuju pulang ke kampung halaman untuk berkumpul bersama keluarga.

Statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut mencatatkan peningkatan kes kemalangan secara signifikan saban tahun.

Jika dilihat perbandingan pada tahun sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, berlaku peningkatan hampir 19,000 kes dengan 548,598 pada 2018 dan 567,516 pada tahun 2019.

Bukan ingin menuding jari kepada sesiapa, tetapi sudah tiba masanya setiap individu memainkan peranan masing-masing bagi mengurangkan wujud lebih banyak pusara di lebuh raya.

Pensyarah Pusat Kajian Psikologi dan Kesejahteraan Manusia (PsiTra), Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Azahah Abu Hassan Sha’ari berkata, persediaan mental, perkara paling penting perlu diambil kira sebelum memulakan perjalanan jauh.

Ramai terlepas pandang mengenai perihal ini, sedangkan ia memberi pengaruh sangat besar sepanjang pemanduan.

“Keadaan lalu lintas boleh mempengaruhi mood. Dari awal lagi kita harus persiapkan mental seperti bersedia dan sabar, kerana maklum, di musim perayaan kita akan berdepan dengan kesesakan lalu lintas.

“Persiapan ini bukan untuk pemandu sahaja, sebaliknya semua yang berada dalam kenderaan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Fahami diri sendiri

Mengenai promosi tol percuma menyebabkan kadar kemalangan kerana ramai yang berpusu-pusu pulang pada waktu yang sama, kata Azahah, ia terlalu subjektif.

Kerana isu yang lebih besar adalah pemahaman individu terhadap ciri biologi diri mereka sendiri.

“Kita perlu tahu kita punya biological clock. Maksudnya kita kena tahu waktu mana kita rasa cergas dan waktu mana rasa mengantuk.

“Kalau ramai yang cakap lebih baik memulakan perjalanan pada waktu tengah malam, tapi kita rasa kita tidak mampu memandu waktu itu, jangan ikut supaya kita dapat kurangkan risiko,” jelasnya.

Pada masa sama, persediaan menyeluruh turut perlu dilakukan terutamanya dalam aspek kenderaan supaya pergerakan menuju ke destinasi berjalan lancar.

“Selenggara kenderaan antara yang penting untuk dilakukan. Kadang-kadang kesesakan bukan disebabkan oleh tol tetapi kerana ada kereta rosak di tepi jalan.

“Ambil tahu juga ramalan cuaca dan jalan-jalan alternatif lain yang boleh digunakan kerana semua ini akan lebih memudahkan,” katanya.

Pemakanan elak microsleep

MICROSLEEP adalah keadaan yang berlaku apabila pengaliran oksigen ke otak berkurangan hingga menyebabkan rasa mengantuk. Musuh paling ditakuti pemandu ini dikatakan antara punca berlaku kemalangan.

Pengamal perubatan, Dr. Muhamad Hazwan Nazri berkata, bagi mengelakkan microsleep, pemandu perlu meneliti aspek pemakanannya sebelum memulakan sesuatu perjalanan jauh.

Katanya, ini berikutan makanan mempengaruhi kecerdasan dan fokus individu.

“Pengambilan makanan daripada sumber protein seperti ayam, daging atau ikan, membantu tubuh kekal fokus. Begitu juga minuman berkafein yang boleh membantu individu untuk lebih fokus,” katanya.

Ada juga beberapa makanan tambahan yang boleh dipertimbangkan sebelum memulakan perjalanan jauh. Namun, kesannya adalah secara tidak langsung.

“Jika hendak ambil makanan tambahan untuk tahan mengantuk boleh ambil yang ada kandungan kafein, guarana atau ginseng.

“Ia akan bantu kita untuk kekal fokus. Apa-apa sahaja yang buat pengaliran darah ke otak meningkat akan membantu tubuh untuk berfungsi dengan baik,” katanya.

Pemandu juga perlu ambil tahu tanda-tanda awal microsleep supaya perkara tidak diingini dapat dicegah daripada awal.

Antara tanda perlu diperhatikan adalah menguap, mata memandang ke hadapan tetapi fikiran mula melayang ke tempat lain serta penglihatan menjadi seakan-akan kembang.

“Kalau ada tanda ini, berehatlah seketika. Paling penting, kurangkan risiko seperti tidak memandu berseorangan dan dalam keadaan lewat malam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya