Sofia Jane idam kerusi pengarah - Utusan Malaysia

Sofia Jane idam kerusi pengarah

POPULARITI Sofia Jane memuncak selepas membintangi filem Mira Edora pada 1990.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERPENGALAMAN lebih tiga dekad sebagai anak seni, Sofia Jane selayaknya dimahkotakan sebagai primadona unggul, disegani dan berkelas tinggi.

Sehingga saat ini, pelakon yang bermula lewat 80-an ini kekal bertakhta di hati peminat. Kemunculannya, dalam drama mahupun filem, masih menjentik rasa teruja dalam jiwa penonton.

Sepanjang 33 tahun, Sofia selesai menjayakan lebih 18 filem, 12 telefilem, sembilan drama dan lapan pementasan teater.

Detik ini, perjalanan seni ibu empat cahaya mata ini diteruskan kerana Sofia belum sedia untuk meletakkan noktah kepada kerjaya yang dicintainya.

Etika kerja yang diamalkan sejak hari pertama melangkah ke dunia lakonan masih dikekalkan pelakon ini, sampai hari ini.

Menepati masa, memahami kerja menjadi faktor bertahannya Sofia dalam dunia perfileman, selain bakat dan kecantikannya yang masih berkekalan.

Ketika bertemu pelakon ini di Kuantan, Pahang sempena rangka promosi drama Nenek Bongkok Tiga baru-baru ini, Sofia berkongsi rahsia kejayaan.

Katanya, pengalamanlah yang membentuk keperibadian serta jati dirinya sebagai anak wayang yang masih bertahan hingga masa ini.

“Saya manusia paling bertuah kerana saat permulaan masuk ke dalam industri ini, saya berkenalan dengan ramai orang yang sentiasa menepuk bahu serta mengingatkan agar tidak menjadi malas dan manja.

“Merekalah yang mendidik dan membentuk Sofia Jane yang anda lihat pada hari ini. Saya berterima kasih untuk semua itu.

“Cabaran dunia seni lain bentuknya. Sesukar apa sekalipun, saya kena bangkit, teruskan dan selesaikan amanah yang dipertanggungjawabkan,” katanya.

Pada Sofia, kehadirannya dalam bidang seni pada hari ini bukan untuk melepaskan keinginan terhadap kerja-kerja lakonan semata-mata.

Malah, segala ilmu dan pengalaman yang diciduk selama 33 tahun perlu dikongsi dan diturunkan kepada pelapis baharu.

“Bila jatuh, bersegeralah bangkit. Nasihat ini saya kongsikan, bukan sahaja buat pelakon baharu, malah kepada anak-anak saya juga.

“Langit tidak sentiasa cerah. Anda pasti dapat mengharungi dan melepasinya, meskipun hari itu adalah hari malang untuk anda.

“Jangan sesekali berputus asa. cuba lagi, lagi dan lagi,” katanya lagi.

IDAM KERUSI PENGARAH

Soalan dimana kedudukannya dalam industri pada 10 tahun akan datang saya layangkan terus kepada pelakon berdarah kacukan Melayu Inggeris ini.

Tertawa kecil, Sofia menyebut dengan jelas tentang keinginan menjadi seorang pengarah.

“Satu hari nanti, saya mahu duduk di kerusi pengarah. Itu yang ada dalam fikiran kalau ditanyakan kepada saya tentang masa depan saya dalam industri seni.

“Saya pernah melakukannya bagi sebuah filem pendek untuk Kaki Seni beberapa tahun lalu.saya tahu, saya boleh melakukannya.

“Pengalaman yang dikumpul selama 33 tahun ini wajar saya gunakan untuk menjadi sutradara,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.