PETALING JAYA: Gamuda Bhd. (Gamuda) mengukuhkan kedudukannya dalam sektor infrastruktur di Taiwan selepas berjaya memperoleh kontrak kerja-kerja awam dan kemudahan elektromekanikal bagi Projek MRT Laluan Xiaogang-Linyuan di Kaohsiung bernilai RM3.30 bilion (NTD 26.39 bilion).
Menurut makluman kepada Bursa Malaysia, kontrak tersebut dianugerahkan oleh Biro Transit Aliran Massa Kerajaan Bandar Kaohsiung kepada syarikat usaha sama (JV) yang diketuai oleh Gamuda.
Gamuda memegang 70 peratus kepentingan dalam usaha sama berkenaan bersama firma tempatan, Shang Ting yang memiliki baki 30 peratus, sekali gus menjadikan nilai kontrak bagi bahagian Gamuda berjumlah RM2.31 bilion (NTD 18.47 bilion).
Syarikat itu berkata, kemenangan terbaharu ini mengukuhkan lagi peranan penting kumpulan dalam transformasi rel di Kaohsiung, susulan penglibatan berterusan mereka dalam projek MRT Laluan Kuning (Pakej YC01) dan kejayaan terdahulu bagi MRT Laluan Jingga (Pakej C04).
“Projek yang akan dilaksanakan dalam tempoh tujuh tahun empat bulan ini merangkumi pembinaan tiga stesen bawah tanah, satu stesen bertingkat, landasan berkembar bawah tanah sepanjang 3.88 kilometer (km) serta enam laluan lintang,” katanya.
Penganugerahan ini merupakan kontrak ke-10 yang berjaya diraih Gamuda di Taiwan, kurang setahun selepas kemenangan kesembilan mereka membabitkan Terminal LNG Interkontinental Pelabuhan Kaohsiung.
Sejak mula menembusi pasaran Taiwan pada 2002, portfolio Gamuda di negara itu kini merangkumi pelbagai projek infrastruktur rel, marin dan transmisi termasuk MRT Xizhi Donghu, landasan bawah tanah Bandar Taoyuan, Jambatan Marin Guantang serta projek kabel bawah tanah 345kV.
Rakan kongsi Gamuda dalam projek ini, Shang Ting, merupakan firma swasta Taiwan yang mempunyai modal berbayar sebanyak NTD 3 bilion (kira-kira RM380 juta) dengan pengalaman luas dalam pembinaan tempatan dan infrastruktur awam. – UTUSAN










