Patuh syarat, Aliff Aziz enggan Bella terluka lagi - Utusan Malaysia

Patuh syarat, Aliff Aziz enggan Bella terluka lagi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SESEKALI pelakon lelaki ini menunduk, seperti memberi bayangan penyesalan yang terbit dalam hati. Dia sedar, mungkin kekhilafan diri dan kelalaian dalam menjaga perhubungan menjadi asbab segala-galanya berlaku.

Kanvas seni Aliff Aziz yang semakin jernih, berkocak semula gara-gara pendedahan isterinya, Bella Astillah. Kehadiran ‘orang ketiga’ yang merupakan seorang pelakon wanita cukup menggemparkan industri seni.

Tetapi, mahu atau tidak, itulah yang perlu Aliff hadap. Dia perlu telan semua itu dan menjawab setiap satu persoalan yang timbul. Meleraikan kekusutan dan menjelaskan, benarkah wanita itu adalah Sophia AlBarakbah?

“Saya tidak akan menafikan apa sahaja yang Bella katakan. Sebagai isteri, dia mempunyai hak dan cukup rasional sebelum mendedahkan perkara tersebut. Tanpa saya beritahu nama pun, anda semua tahu siapa pelakon wanita itu.

“Keadaan Bella juga sedang fragile. Tetapi Alhamdulillah, kami berdua matang dalam berbincang. Tidak seperti dulu, kami semakin rasional dalam mencari kata sepakat. Isu ini memang memberi tekanan kepada saya.

“Saya menghormati tindakan dan kenyataan Bella. Dia tidak akan suka-suka menimbulkan sesuatu isu. Dia tidak suka benda tidak penting. Saya tidak mahu cakap lebih, nanti disalah tafsir,” katanya.

Aliff berkata demikian ketika sidang media drama terbaharu di slot Akasia, Ku Akad Kau Dengan Bismillah, kelmarin.

Bakal bersiaran 6 Februari ini, drama arahan Osman Ali itu juga merupakan gandingan pertama Aliff dan Sophia.

Tidak menyangka kontroversi tersebut menjadi sehangat ini, Aliff menganggap apa yang berlaku sebagai teguran untuknya. Dia sedar, setiap benda yang baik juga pasti ada ujiannya.

Lantas, di mana silapnya? Bagaimana keakraban di lokasi sebagai pasangan teraju utama bertukar kepada kontroversi dan dakwaan ‘cinta lokasi’?

“Saya sendiri tidak tahu, di mana silapnya. Adakah cara melayan? Bercakap? Semua sedia maklum, saya sudah berkahwin dan dia juga ada pasangan. Mungkin ada kesilapan yang saya sendiri terlepas pandang.

“Perkara ini adalah tamparan dan teguran buat saya. Bila menjalani penggambaran, saya lalai menjaga ikhtilat. Selepas menang Gegar Vaganza, dapat tawaran berlakon dan kerjaya seni semakin baik.

“Tetapi, Tuhan tetap beri ujian. Cuma, buat masa sekarang, saya perlu menghabiskan penggambaran. Itu sudah tertakluk dalam kontrak dan saya perlu profesional. Saya faham, bukan hanya kami tetapi kru produksi juga tertekan,” katanya.

Tidak menolak rekod terdahulunya memungkinkan pelbagai persepsi negatif akan segera bermain di fikiran netizen apabila dia terlibat dalam ‘skandal’ orang ketiga kali ini, Aliff terbuka menelan segala kecaman dan pendapat.

“Saya faham situasi masyarakat yang mungkin menyalahkan saya atas pelbagai kontroversi lampau. Mereka mempunyai hak untuk berkata-kata. Akan ada perkara yang benar dan ada yang sengaja digembar-gemburkan.

“Nama pun pendapat, ada betul dan salahnya. Saya sedang memperbaiki diri. Apa sahaja yang saya lalui, kita lihat dari sudut pandang seorang manusia yang penuh kesilapan dan tidak sempurna.

“Orang akan sentiasa punya pendapat sendiri dan saya menghormatinya,” jelas Aliff, memaklumkan penggambaran Ku Akad Kau Dengan Bismillah masih berbaki hampir sebulan lagi.

Menghormati permintaan isteri untuk tidak lagi berlakon dengan Sophia, bapa kepada dua anak itu percaya, semua itu adalah demi kebaikan dan keyakinan Bella terhadap dirinya.

“Tidak ada isteri yang mahu perkara tidak baik untuk suaminya. Bella juga begitu, dia mahu yang terbaik untuk saya. Jadi, saya menghormati syarat tersebut. Tiada alasan untuk katakan tidak.

“Kalau itu mampu memberi kepercayaan dan mengembalikan keyakinan, saya hormati permintaannya. Jika dia mahu ke set penggambaran untuk menemani saya juga tidak mengapa, asalkan hatinya tenang dan berasa selamat,” kongsinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN