BINTANG antarabangsa, Beyonce Knowles, mencipta sejarah selepas diiktiraf sebagai pemenang terbanyak sepanjang penganjuran Grammy sejak anugerah tersebut diperkenalkan pada 1958.
Beyonce atau nama sebenar Beyonce Giselle Knowles,41, menerima anugerah Grammy ke-32 menerusi kemenangan anugerah Album Dance/Elektronik Terbaik untuk album Renaissance pada Anugerah Grammy ke-65, berlangsung gilang gemilang semalam.
Beyonce meleburkan rekod dipertahankan selama 20 tahun oleh konduktor bertaraf legenda, mendiang Georg Solti yang memiliki 31 anugerah Grammy sepanjang hayatnya.
Bekas anggota kumpulan Destiny’s Child itu ketika berucap selepas kemenangan tersebut, berterima kasih kepada keluarganya termasuk bapa saudaranya, mendiang Johny yang banyak menghasilkan busana persembahan di awal kemunculannya dan memperkenalkannya kepada muzik Club yang menjadi inspirasi kepada album Renaissance.
“Saya cuba untuk tidak beremosi, saya hanya cuba menerima kemenangan ini, malam ini,” katanya.
Pada Anugerah Grammy ke-65 yang berlangsung semalam, Beyonce turut membawa pulang bersama beberapa anugerah lain termasuk Lagu Dance/Elektronik Terbaik dan Lagu R&B Terbaik.
Anugerah berprestij tersebut menampilkan pengacara dan pelawak terkenal Travor Noah sebagai hos. Penganjuran pada tahun ini juga diserikan dengan persembahan daripada barisan penghibur berkelas dunia seperti Harry Style, Lizzo, DJ Khaled, Bad Bunny dan ramai lagi.
Album Terbaik milik Harry Style
Anugerah Grammy ke-65 turut menyaksikan pencapaian barisan penyanyi asal Britain yang memenangi pelbagai kategori penganugerah pada malam bersejarah tersebut.

Antaranya adalah, penyanyi kegilaan ramai yang juga bekas anggota kumpulan One Direction, Harry Style mencuri tumpuan dengan beberapa kemenangan termasuk Album Pop Terbaik dan kategori utama, Album Terbaik.
Harry, dalam ucapannya, terinspirasi dengan barisan artis yang turut tercalon dalam kategori berkenaan.
“Saya membesar dengan muzik mereka dan mendengarkannya ketika bersendirian.
“Saya berpendapat setiap artis yang berkarya melakukan apa yang mereka lakukan bukan untuk mendapatkan penganugerahan ini. Jadi malam ini mengingatkan bahawa tiada siapa yang lebih baik daripada yang lain.
“Saya bersyukur, perkara seperti ini tidak selalu berlaku kepada orang seperti saya. Jadi saya amat berterima kasih,” katanya.
Sementara itu, penyanyi kesayangan ramai, Adele tidak pulang dengan tangan kosong apabila memenangi kategori Persembahan Pop Solo Vokal Terbaik untuk lagu Easy On Me.
“Saya mendedikasikan kemenangan ini kepada anak saya, Angelo. Saya menulis baris pertama lagu ini di dalam bilik air selepas membuat keputusan untuk mengubah kehidupannya,” katanya.
Dalam pada itu penyanyi Sam Smith pula tersenyum lega dengan kemenangan untuk kategori Pop Duo/Berkumpulan menerusi lagu duet Unholy yang didendangkan bersama penyanyi, Kim Petras.