Alyah mahu lebih banyak lagu ketuhanan

Alyah mahu lebih banyak lagu ketuhanan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENGANJAK usia 42 tahun, Datin Alyah berkongsi isi hatinya yang mahu menghasilkan lebih banyak lagu ketuhanan supaya dapat memberikan mesej positif kepada pendengar.

Apatah lagi, pengalaman dijangkiti virus Covid-19 menyebabkan dia bimbang dilanda kegelisahan.

Hasratnya kini hanya mahu menghasilkan karya yang memberikan impak bagus kepada masyarakat.

Walaupun terkenal dengan lagu balada, penyanyi Sesal Separuh Nyawa itu menjadikan genre tersebut sebagai pilihan, terutama ketika membuat persembahan pentas.

“Saya masih menyanyikan lagu balada, terutama ketika membuat persembahan untuk majlis tertentu.

“Namun, untuk merakamkan lagu baharu, saya lebih menitikberatkan karya positif sebab mahu memberi mesej yang bagus kepada pendengar,” ujarnya.

Menurut Alyah, perasaan ingin menghasilkan karya sedemikian lebih berkobar-kobar selepas menerima maklum balas positif pendengar.

“Apabila kita menyumbang sesuatu yang positif, kita akan terpanggil untuk meneruskan usaha itu. Melihat maklum balas positif yang diterima lagu Thank You Allah dan membaca pelbagai komen peminat, hati saya tersentuh,” katanya.

Alyah bakal mengeluarkan single ketuhanan baharu, Kepada-Mu yang ditulis bersama komposer, Firdaus Rahmat. Single tersebut akan dilancarkan pada Ramadan nanti.

WAJAH RAMADAN

Alyah ditemui pada majlis pelantikannya sebagai Wajah Bufet Ramadan Hotel Tenera 2023 di Bangi, Selangor, baru-baru ini.

Isteri kepada maestro muzik, Datuk Ramli MS itu juga bakal membuat persembahan sempena Ramadan ini di hotel tersebut pada tarikh yang akan diumumkan kelak.

Mengulas pelantikannya, Alyah berkata, ini merupakan pengalaman pertama dia terlibat dengan program persembahan sempena Ramadan.

“Saya tidak pernah buat apa-apa kempen ketika Ramadan. Kalau menjayakan persembahan sempena Minggu Setiausaha, itu biasa. Saya akan buat persembahan selama dua hari pada Ramadan nanti,” katanya.

Menurut Alyah, dia mengetahui tentang bufet Ramadan di hotel itu sejak berkunjung dengan ahli keluarga, tahun lalu.

Katanya, kemudahan yang disediakan juga sangat mesra warga emas dan bersesuaian bagi mereka yang datang berkeluarga.

“Bila datang berbuka puasa di sini, kita juga dapat menjalankan kewajipan seperti solat fardu dan tarawih berjemaah. Memang seronok suasana di sini. Orang tua juga suka, di samping ada sedikit hiburan.

“Memandangkan Ramadan adalah bulan untuk kita mengumpul pahala, kewajipan terhadap suruhan Allah SWT tidak akan terabai dengan pelbagai kemudahan yang ada,” kongsinya.

Hotel Tenera bakal menyajikan lebih 200 menu hidangan, termasuk masakan kampung bertemakan Sentuhan Ramadan sambil pengunjung dihiburkan dengan alunan lagu Melayu dan Inggeris.

Pengunjung dapat menikmati suasana berbuka seperti di bazar Ramadan dengan lebih 30 gerai makanan yang menyajikan hidangan kegemaran ramai seperti rendang ayam cili padi, urat keting asam pedas, siput sedut masak lemak dan pelbagai lagi.

Lebih menarik, pihak hotel juga menyediakan kemudahan parkir percuma kepada semua pelanggan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×