MENCIPTA rekod sebagai stesen radio pertama bersiaran secara langsung dari atas kapal persiaran mewah, Genting Dream bukan kerja mudah.
Ia menuntut pengorbanan berbulan-bulan lamanya bagi memastikan segala perancangan berjalan seperti dijadualkan.
Rekod bersiaran selama dua jam dari pukul 8 hingga 10 pagi dicipta Suria FM ketika pelayaran kapal mewah milik Resorts World Cruises berlabuh di perairan Pulau Pinang, 10 Januari lalu.
Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abd Majid atau dikenali DJ Lin berkata, rekod Malaysia Book of Records (MBR) boleh terbatal sekiranya siaran langsung itu tergendala, walaupun hanya satu saat.
Disebabkan itu, perasaan DJ Lin bercampur-baur sehingga tidak lena tidur sehari sebelum rekod dicipta kerana bimbang segala kemungkinan boleh berlaku.
“Umpama mimpi dalam mimpi, saya terharu, teruja dan bersyukur kerana rekod ini berjaya dicapai. Kejayaan ini adalah sejarah yang tercipta kerana bukan mudah untuk bersiaran di kawasan laut, apatah lagi pelbagai gangguan boleh berlaku.
“Wakil MBR turut hadir bagi memantau sepanjang dua jam bersiaran dan menentukan tiada sebarang gangguan kerana satu saat sahaja tergendala, ia dianggap gagal dan rekod boleh terbatal,” katanya.
Rekod tersebut dilakar ketika segmen Morning Morning Suria yang menampilkan tiga penyampai iaitu Ajak, Shuib dan Suraya.
Segmen yang turut disiarkan secara langsung di Facebook itu menampilkan tetamu jemputan iaitu Siti Nordiana, Amir Masdi dan Andi Bernadee.
Pelayaran membelah samudera selama empat hari turut membawa lima individu bertuah yang memenangi peraduan Suria 15 Tahun sepanjang November dan Disember lalu.
BAWA PENYAMPAI TUNAI UMRAH
Mengulas lanjut, DJ Lin berkata, sejak dilantik sebagai Pengurus Besar Suria FM pada Januari 2018, dia meletakkan sasaran supaya radio itu mampu mencapai sebarang rekod MBR, melibatkan mana-mana penyampai atau konsep rancangan.
Kongsinya, kejayaan itu lebih bermakna apabila dilakar ketika pembukaan tahun baharu, selain Suria FM turut meraikan sambutan 15 tahun dalam industri penyiaran negara.
“Pencapaian ini seperti pemanas enjin sebab kita sudah aturkan pelbagai program lagi seperti Jelajah Suria di seluruh negara.
“Suria FM juga meraih pencapaian terbaik apabila dinobatkan sebagai stesen radio ketiga paling popular dengan peningkatan jumlah pendengar melebihi 3.5 juta seminggu.
“Musim 2022 adalah tahun gemilang buat kami menerusi tinjauan kajian radio dan keuntungan syarikat juga mengatasi tahun sebelumnya.
“Walaupun masih dalam peringkat perbincangan, saya ingin kongsikan, kami akan beri penghargaan kepada barisan penyampai dengan membawa mereka menunaikan umrah ketika Syawal nanti,” katanya.
MAMPU BERSAING
Walaupun tidak disokong rangkaian stesen televisyen seperti jenama radio lain, Suria FM mampu membuktikan ‘saiz yang kecil’ mampu duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan stesen terkemuka lain.
Perasaan itu dikongsikan DJ Lin yang setia bersama Suria FM sejak zaman awal penubuhan stesen radio tersebut.
DJ Lin yang terkenal menerusi segmen Suria Cinta sudah melalui pelbagai dugaan hebat dan jatuh bangun sebagai penyampai, mahupun ketika menduduki kerusi pengurusan.
“Sebenarnya, Suria FM sangat kerdil, tetapi faktor itu tidak pernah mematahkan semangat kami untuk membuktikan segala perancangan mampu dicapai dengan fokus dan hala tuju yang betul.
“Saya beruntung kerana mempunyai pasukan yang penuh bersemangat dan sentiasa bekerjasama sehingga mampu menjadikan impian ini sebagai realiti,” katanya.
SHUIB SAMBUNG KONTRAK
Kemasukan Shuib sebagai penyampai baharu bagi segmen pagi yang merupakan nadi untuk stesen radio ibarat patah tumbuh hilang berganti.
Apatah lagi, gandingannya bersama Suraya dan Ajak melakar sejarah dalam dunia penyiaran ketika bersiaran di atas kapal persiaran mewah.
Menurut DJ Lin, dia sangat terharu melihat komitmen tidak berbelah-bahagi, khususnya melibatkan barisan penyampai, sekali gus menjadi pembakar semangat untuk bersaing secara lebih agresif dengan stesen radio lain.
“Bukan senang menguruskan penyampai radio dalam kalangan selebriti, tetapi saya bersyukur mereka semua sentiasa merendah diri dan boleh duduk berbincang untuk menaikkan stesen radio.
“Kontrak Shuib juga disambung setahun lagi, bermula bulan ini. Selain itu, kita ada beberapa idea di luar kotak untuk mencipta rekod lain pula.
“Kalau tidak dapat buat tahun ini, mungkin tahun depan sebab untuk mencipta rekod memerlukan perancangan rapi dan teliti,” ujarnya.
KERJASAMA BERMAKNA
Bagi pihak Resorts World Curises dan anak kapal Genting Dream, Presidennya, Michael Goh amat berbesar hati kerana menjadi sebahagian daripada pencapaian terkini dalam MBR.
Katanya, persahabatan dan kerjasama antara pihak syarikat dengan Suria FM bermula sejak pertengahan November lalu.
“Kerjasama ini tepat pada masanya kerana kapal ini juga akan berlayar dari Pelabuhan Klang sehingga awal 2024 dengan menawarkan pelbagai pelayaran percutian ke Pulau Pinang, Singapura dan Phuket.
“Inisiatif ini membolehkan kami terus mengembangkan dan mempromosikan percutian pelayaran sebagai pilihan rakyat Malaysia, terutama pasaran Melayu kerana kami menawarkan hidangan makanan dan minuman halal yang diperakukan,” jelasnya.










