Special Force Anarchy bukan klon Money Heist

Special Force Anarchy bukan klon Money Heist

Special Force Anarchy terbitan Disney+ Hotstar dengan kerjasama Skop Productions menampilkan Puteri Aishah sebagai pelakon utama. GAMBAR SADDAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGI mereka yang pernah menonton drama popular, Money Heist yang disiarkan di saluran Netflix, barangkali naskhah arahan Syafiq Yusof ini boleh dimasukkan dalam senarai tontonan baharu anda.

Judulnya sahaja, Special Force Anarchy (SFA) sudah memberi nilai tarikan kepada drama bersiri terbitan Disney+ Hotstar dengan kerjasama Skop Productions ini, khususnya buat penonton yang sentiasa dahagakan naskhah aksi dengan plot twist tersendiri.

Meskipun dikatakan memiliki inti pati cerita mengenai heist atau rompakan, ia tidak bermaksud naskhah tempatan ini meniru drama dengan idea asal Alex Pina yang begitu popular itu.

Hal itu ditekankan Syafiq, 31, yang mengakui, DNA untuk SFA sudah bermain di kotak fikirannya, lama sebelum Money Heist disiarkan.

“Money Heist memang popular, fakta itu tidak dapat dinafikan. Setiap kali produksi menghasilkan karya membabitkan cerita rompakan, pasti ada yang mengaitkannya dengan drama tersebut.

“Tetapi, untuk SFA ini, tidak ada istilah meniru. Untuk pengetahuan ia garapan asli yang diinspirasikan daripada karya saya terdahulu iaitu filem KL Special Force yang dihasilkan pada 2018.

“Dalam erti kata lain, idea untuk naskhah ini sudah lama wujud, sebelum Money Heist disiarkan. Jadi, tiada persamaan di situ,” katanya.

Berkongsi lanjut kata Syafiq, menerusi SFA, dia menerapkan titik fokus kepada pasukan khas polis, khusus watak polis wanita sebagai teraju.

“SFA berbeza kerana ia menekankan kepada watak polis wanita sebagai teraju, berbanding kebanyakan filem dan drama tempatan yang kerap menjadikan lelaki sebagai hero.

“Hero drama ini adalah Iman, seorang polis muda yang berani lakonan Puteri Aishah. Siri TV ini turut menekankan strategi polis menentang strategi penjahat,” katanya.

Tambah Syafiq lagi, siri ini juga menuntutnya dan pasukan produksi meletakkan usaha berganda, terutama dari sudut kesan khas visual.

“Penggambaran dijalankan di Kuala Lumpur, di kawasan yang mempunyai banyak bangunan tinggi. Ia sebenarnya menyukarkan kami kerana fokus utama bukan berlatarkan Kuala Lumpur, sebaliknya kota ciptaan lain.

“Jadi, kesan visual khas perlu digunakan untuk memadam bangunan ikonik ibu negara agar nampak seperti lokasi di negara fiksyen yang digelar Tenggara.

“Beberapa bangunan turut diubah suai menggunakan teknik imej janaan komputer atau CGI untuk menukar papan tanda dan logo bangunan. Contohnya, bangunan Bank Republik Tenggara dan Balai Polis Tenggara yang kami hasilkan,” katanya.

Tak mudah kendalikan senjata api – Puteri Aishah

Memegang watak Iman, pelakon, Puteri Aishah, mengakui bertuah dapat bekerja di bawah arahan pengarah muda yang dikaguminya.

Kata Puteri, SFA juga mencabar dirinya melakukan banyak aksi lasak yang buat kali pertama dilakonkan.

“Kalau cakap tentang cabaran, banyak. Salah satunya apabila kena buat aksi lasak sendiri. Sepanjang kerjaya, saya tidak pernah buat aksi lasak yang berlebihan. Dalam SFA, saya kena berlari, menembak dan semua itu tidak mudah.

“Saya juga baru tahu, tidak mudah mengendalikan senjata api. Penat rupanya pegang pistol sebab berat. Mujur saya banyak mendapat tunjuk ajar daripada pelakon senior seperti Hasnul Rahmat.

“Dia banyak ajar saya bagaimana untuk memegang senjata api dengan betul kerana dia pernah menyertai program Khidmat Negara pada era 1990-an,” katanya.

Puteri Aishah turut berbangga diberi peluang terlibat dalam SFA yang baginya, unik dan berbeza daripada naskhah pernah ditonton peminat drama dan filem tempatan.

Peluang terlibat dengan produksi bertaraf antarabangsa itu disifatkan sebagai rezeki terpijak.

“Saya bersyukur dan sangat berterima kasih kepada seluruh tenaga produksi kerana mendapat peluang keemasan ini.

“Kebetulan, memang sudah lama saya memasang hasrat untuk bekerjasama dengan Syafiq dan menjayakan naskhah aksi. Akhirnya, impian itu tercapai jua,” katanya.

Disulam budaya tempatan – Hasnul Rahmat

Memuji cara Syafiq dalam menggarap naskhah ini, kata Hasnul, dia yakin SFA dapat diterima dengan baik penonton yang meminati genre aksi bertaraf antarabangsa.

Syafiq katanya, memiliki kelebihan kerana tahu bagaimana untuk mengadun semua elemen menjadi satu, pada masa sama menyuntik elemen budaya masyarakat tempatan.

“Memang dia anak Datuk Yusof Haslam, tetapi saya mengenalinya menerusi filem yang dia telah hasilkan. Dia seorang yang berdikari dan ada progres yang bagus setiap kali tampil dengan karya baharu.

“Bila dapat tawaran untuk membintangi SFA, saya terima kerana dia pengarah yang bagus. Bagi saya, SFA ada warna dan aura tersendiri. Cerita ini tidak sama dengan mana-mana naskhah berlatarkan kisah rompakan yang pernah ditonton.

“Apabila dia menyulamkan budaya masyarakat, Syafiq benar-benar faham apa yang dia mahukan. Ini sebuah naskhah yang asli,“ katanya.

Hasnul menjelaskan dia mempunyai naluri sama ada sesebuah naskhah itu mampu pergi jauh atau sebaliknya kerana sudah hadam dengan asam garam dunia perfileman.

“Biasanya, selepas dua tiga hari masuk set penggambaran, kita dapat menghidu sama ada naskhah dijayakan itu bagus atau sebaliknya.

“Saya dapat rasakan perkara yang sama di set penggambaran drama ini. Namun, saya tidak ceritakan kepada Puteri Aishah kerana tidak mahu dia cepat selesa. Sebab kalau selesa dan yakin, ia akan mengganggu fokusnya untuk memberikan yang terbaik,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya