Nabila Razali mahu peminat raikan kerja seni, bukan kisah peribadi

Nabila Razali mahu peminat raikan kerja seni, bukan kisah peribadi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAIKAN sudah cukup lama menelan segala pahit yang dirasai, penyanyi, Nabila Razali, kesal apabila segelintir pencinta industri hiburan lebih memberikan fokus kepada isu panas atau kontroversi, berbanding kerja seni seseorang artis.

Menurut penyanyi berusia 31 tahun ini, berdasarkan pemerhatiannya selama 10 tahun dalam industri hiburan, kerja seni yang dihasilkan seakan terpinggir, terutama apabila seseorang artis kebetulan terpalit isu kontroversi.

Kata Nabila, perkara itu membuatkan dia kecewa kerana lazimnya, untuk menghasilkan single atau album baharu, artis perlu melaburkan sejumlah wang besar.

“Bila kita buat keputusan untuk keluarkan produk misalnya, lagu baharu, kita mahu orang tahu mengenainya. Itu yang saya mahukan.

“Tetapi, kalau asyik beri tumpuan pada kisah peribadi atau kontroversi, macam mana pula dengan produk yang dihasilkan? Penat kami keluarkan duit dan kudrat untuk pastikan produk itu berjaya, tetapi dibayangi pula dengan cerita lain.

“Kita sudah memasuki 2023, kena ubah perkara ini. Saya akur, selebriti tidak boleh lari daripada gosip dan kontroversi, tetapi jika apa yang diperkatakan itu cuma isu kecil, tidak perlulah dipanjang-panjangkan,” katanya.

Sejak menceburi bidang seni, Nabila berterusan dihimpit kecaman, terutama daripada haters yang menganggap, dia tidak boleh menyanyi dengan baik.

Luah Nabila, dia sedar memiliki banyak kelemahan, namun telah berusaha memperbaiki agar graf kerjaya seninya memperlihatkan kematangan.

“Saya sudah tidak mahu pandang belakang. Memang saya ada kelebihan dan kelemahan. Tetapi, sudah banyak penambahbaikan telah dilakukan.

“Namun, orang masih orang fikir tentang kisah peribadi dan negativiti. Sudah-sudahlah, ia bukan masalah anda. Apa kata, nikmati sahaja apa yang artis kita cuba buat. Meriahkan industri seni dengan lagu, muzik atau fesyen.

“Raikannya bersama dan bukan menjatuhkan satu sama lain,” katanya.

Nabila yang baru muncul dengan single duet bersama Khai Bahar, Selagi Ku Ada, berkata dia mahu memberikan lebih fokus pada muzik untuk tahun ini, selain berlakon.

Khai puji Nabila

Melayangkan pertanyaan sama kepada Khai, penyanyi berusia 29 tahun itu berkata, Nabila dari kaca matanya adalah seorang artis yang kuat.

Ia dapat dilihat ketika Nabila berdepan gelombang kecaman tiada noktah daripada netizen yang suka mencari kesalahan.

“Kalau lihat perjalanan seninya, ada banyak peningkatan dalam cara nyanyian Nabila. Dia rajin memperbaiki kelemahan yang ada, meskipun tahu ramai orang mengecam.

“Itu antara sebab saya kagum dengannya. Dia tidak pernah putus asa. Sebagai sahabat, saya tahu, Nabila perlu sokongan kuat daripada orang sekeliling. Paling utama, sokongan peminat,” ujarnya.

Berkongsi mengenai Selagi Ku Ada, kata Khai, ia adalah hasil ciptaan sepenuhnya komposer dan penyanyi, Amylea Azizan.

Lagu ini juga merupakan runut bunyi drama, Kerana Cinta Itu Ada lakonan Nabila bersama Aedy Ashraf yang sedang bersiaran di slot Akasia di TV3.setiap Isnin hingga Jumaat, pukul 7 malam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya