Selepas kejayaan drama Projek: Anchor SPM pada 2020, pengarah, Anwari Ashraf kembali dengan sebuah lagi naskhah dinanti ramai, Projek: High Council.
Kali ini, Anwari bergandingan dengan pengarah, Zulaikha Zakaria mengetengahkan naskhah fiksyen yang diinspirasikan daripada kisah benar melibatkan isu gengsterisme di sekolah asrama.
Menjelaskan tentang isu yang dipaparkan secara terperinci, Anwari berkata, meskipun bersifat fiksyen, drama tersebut mengambil inspirasi daripada pelbagai kisah yang berlaku di sekolah asrama.
“Ia mengetengahkan isu diskriminasi, buli dan keganasan dalam kalangan pelajar asrama. Kami harap drama ini dapat membantu mengenal pasti mengapa masalah itu masih berlarutan.
“Kami berharap Projek: High Council juga dapat membuka mata pihak berkaitan untuk mengambil langkah sewajarnya bagi menyelesaikan isu tersebut,” katanya.
Jelas Anwari, Projek: High Council berbeza dengan Projek: Anchor SPM, terutama dari segi penggambaran yang disifatkannya jauh lebih mencabar.
“Jadual penggambaran untuk drama ini lebih padat dan kami terpaksa memanfaatkan semua sumber yang ada untuk mencapai apa yang kami sasarkan dalam produksi ini.
“Namun, hubungan semua warga produksi ibarat sebuah keluarga. Itu pengalaman yang sangat menggembirakan,” ujarnya.
Dalam pada itu, pengarah bersama, Zulaikha memaklumkan, mereka terpanggil untuk membawa kelainan dengan mengetengahkan realiti yang berlaku di sekolah berasrama lelaki.
“Drama ini mendedahkan perkara yang popular dalam kalangan pelajar asrama lelaki, selain rahsia yang membelenggu mereka.
“Memandangkan drama ini mengambil senario di sekolah lelaki, jadi apa yang dipaparkan banyak berhubung kait dengan sekolah berkenaan,” katanya.
Pengalaman sebagai pengawas bantu hidupkan watak – Nadhir Nasar
Membawa peranan sebagai Naim, pelakon yang sedang meniti populariti, Nadhir Nasar, tidak menolak watak tersebut mempunyai banyak persamaan dengan dirinya.
Katanya, pengalaman memegang jawatan pengawas ketika di sekolah menengah membantunya untuk mendalami watak tersebut.
“Saya pernah menjadi pengawas sekolah dari Tingkatan Satu sehingga Tingkatan Lima. Mungkin pengalaman itu membuatkan pengarah tertarik untuk menawarkan saya watak tersebut.
“Watak ini memang banyak persamaan dengan diri saya yang pernah menghuni asrama. Apa yang dipaparkan dalam drama ini pernah berlaku dahulu,” katanya.
Kata Nadhir, dia merujuk kepada watak animasi diminatinya untuk menghidupkan karakter Naim.
“Watak Naim mempunyai persamaan dengan karakter anime popular, Itachi Uchiha dalam drama animasi, Naruto.
“Itachi ada sifat kepimpinan seperti Naim,” katanya.
Ujar Nadhir lagi, drama ini juga memberi ruang untuk dia meneroka kemahiran lain, termasuk menjayakan aksi pertarungan yang belum pernah dilakukannya.
“Dalam drama ini, ada beberapa babak pertarungan yang saya lakukan sendiri. Sebenarnya, drama ini membuka banyak ruang untuk saya teroka kemampuan diri.
“Ini adalah cabaran kerana apabila meningkat usia nanti, mungkin saya tidak lagi menerima watak seperti ini. Jadi, saya berusaha melakukan yang terbaik,” katanya.
Proses yang membanggakan – Mierul Aiman
Antara pemegang peranan utama dalam drama ini adalah juara Hero Remaja 2022, Mierul Aiman yang diberi tanggungjawab membawakan watak Fakhri.
Cerita Mierul, dia menggunakan pengalamannya ketika bergelar pelajar di Sekolah Menengah Sains Selangor (SMSS), beberapa tahun lalu untuk menghidupkan karakter yang diamanahkan.
“Saya tinggal di asrama dari Tingkatan Satu hingga Lima. Kemahiran survival yang saya pelajari di sekolah tersebut saya gunakan untuk menghidupkan watak Fakhri.
“Banyak pengajaran yang saya peroleh seperti nilai kasih sayang yang sangat ditekankan. Perkara itu juga dititikberatkan ketika menuntut di SMSS dahulu,” ujarnya.
Kata Mierul lagi, bukan mudah untuk menghidupkan watak Fakhri dengan pengalaman lakonan yang baru setahun jagung.
“Ia adalah proses yang membanggakan. Saya memikul tanggungjawab besar untuk membina watak ini kerana ia sangat berbeza dengan karakter sebenar saya.
“Pengarah sangat membantu, malah mereka tidak penat berkongsi ilmu. Saya masih baharu, jadi tidak banyak ilmu lakonan.
“Pengarah memberikan pendekatan yang sangat kukuh. Ada babak yang sangat berat dan sukar untuk saya lakonkan.
“Tetapi, Anwari menggunakan pendekatan berbeza bagi membolehkan saya melunaskan babak tersebut dengan berkesan,” katanya lagi.
Jadi mangsa buli senior – Amir Ahnaf
Pelakon tinggi lampai, Amir Ahnaf berkongsi pengalaman menarik ketika menjayakan watak antagonis, Kahar.
Dedah Amir, dia mengalami kecederaan ketika menjayakan satu babak pertarungan dalam drama bersiri tersebut.
“Ia berlaku ketika saya melakonkan babak pertarungan di koridor sekolah. Sebagai pelakon, sepatutnya kami peka dengan persekitaran, lebih lagi ketika melakukan babak pertarungan.
“Dahi saya terkoyak kerana terkena kotak elektrik ketika melakukan aksi tersebut. Mungkin silap saya juga kerana terlalu mendalami karakter sehingga lupa keadaan sekeliling,” kongsinya.
Kata Amir, ilmu seni mempertahankan diri yang dipelajari membantunya menjayakan babak pertarungan yang banyak dipertontonkan dalam drama ini.
“Saya belajar ilmu persilatan ketika berumur 13 tahun sebelum beralih kepada Muay Thai. Ilmu seni mempertahankan diri yang ada benar-benar membantu.
“Watak Kahar bukan senang untuk dilakonkan, tetapi ia menarik. Meskipun raut wajahnya bengis, dia sebenarnya kesunyian.
“Watak Kahar juga banyak bermain dengan emosi kerana berdepan pelbagai konflik, termasuk masalah keluarga dan sekolah. Bagi saya, karakter ini sangat menarik,” jelasnya.
Ujar pelakon ini, pengalaman dibuli ketika di sekolah asrama dahulu juga banyak membantunya untuk menghayati watak.
“Pengalaman dibuli adalah normal bagi pelajar sekolah, lebih-lebih lagi jika tinggal di asrama.
“Antara yang tidak boleh saya lupakan apabila dipaksa cuci baju pelajar senior, pakai baju berkolar setiap masa dan banyak lagi.
“Saya ceduk pengalaman itu untuk direalisasikan dalam drama ini,” katanya.










