Dari dunia korporat ke sangkar unggas - Utusan Malaysia

Dari dunia korporat ke sangkar unggas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MINAT mendalam terhadap pelbagai spesies burung, mendorong Mujahid Zulkfle, 29, melepaskan jawatan sebagai pengurus syarikat di ibu kota dan nekad pulang ke kampung bergelar penternak unggas.

Pemuda asal Kampung Bukit Gasing, Marang, Terengganu, yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Muamalat dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah ini tidak pernah menyesal tinggalkan dunia korporat, meskipun kerjayanya kini tidak lagi glamor.

Segala-galanya bermula sejak lima tahun lalu setelah dia mengambil keputusan berhenti kerja di Kuala Lumpur untuk berkecimpung secara serius dalam dunia penternakan unggas yang dirasakan begitu dekat dengan jiwanya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Berkongsi cerita, Mujahid berkata, minatnya dalam dunia ternakan unggas mula bercambah setelah dia membantu ahli keluarganya yang membela beberapa spesies burung.

“Sewaktu zaman belajar dan bekerja di Kuala Lumpur setelah tamat pengajian, saya tidak lepaskan peluang untuk turut uruskan ternakan unggas jika pulang ke kampung. Malah, bidang yang diceburi itu memberi kepuasan tersendiri.

“Berbekalkan minat, saya akhirnya membuat keputusan menetap di kampung bagi menternak unggas secara lebih serius, sekali gus menjadikannya sebagai kerjaya walaupun tidak pernah mempunyai cita-cita sebagai penternak.

“Pada peringkat awal, pelbagai kata-kata diterima, termasuk pandangan sinis, namun saya terus melangkah ke depan. Saya jadikan semua itu sebagai semangat bagi membuktikan bidang ternakan unggas juga satu kerjaya hebat,” katanya.

Mujahid berkata, ketika ini antara spesies unggas diternak berhampiran rumah ialah burung puyuh, burung kuang, merpati showking, burung kakak tua baka sun conure, ketitir bali, ayam mutiara dan dia turut melakukan pembiakan baka.

PERLU PERMIT

“Harga setiap spesies dijual berbeza-beza. Contohnya, burung puyuh telur, mini dan chukar dijual dengan harga serendah RM2 hingga RM1,000 seekor, manakala burung kuang antara RM500 dan RM1,500 sepasang.

“Bagi burung baka sun conure pula dijual dengan harga RM2,000 sepasang. Ada spesies-spesies tertentu perlu dapatkan permit daripada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

“Walaupun pendapatan bulanan diperoleh tidak menentu, kerjaya ini memberikan kepuasan tersendiri. Bagaikan satu terapi apabila dapat bersama haiwan ternakan,” ujarnya.

Beliau tidak punyai jadual atau waktu khusus bagi mengurus pelbagai spesies unggas diternaknya, namun setiap hari akan luangkan masa memantau serta memberikan makanan.

Menternak unggas baginya, tidak terlalu sukar kerana cabaran penyakit tidak tinggi, selain mudah untuk dibiak.

Tambah Mujahid, penternakan unggas sebenarnya mempunyai potensi besar kerana pemintaannya tinggi di pasaran, termasuk luar negara.

“Permintaan terhadap unggas tinggi hingga saya sendiri tidak mampu penuhinya. Bukan sahaja datang dari negeri di Semenanjung Malaysia, tetapi juga Sabah dan Sarawak.

“Malah, pernah juga dapat permintaan dari Filipina dan Vietnam, tetapi tidak dapat ditunaikan kerana faktor penghantaran. Ketika ini, saya hanya mampu bekalkan unggas kepada pelanggan di Semenanjung Malaysia sahaja.

“Paling tinggi permintaan buat masa ini adalah spesies burung kuang. Biasanya pelanggan akan membelinya sepasang. Ada yang datang ke rumah dan ada juga yang saya buat penghantaran kepada pelanggan,” ujarnya.

Mengenai perancangan masa depan, Mujahid berhasrat menternak burung merak sebagai unggas tambahan.

“Keputusan menyertai bidang ternakan berbaloi. Justeru, saya harus melakukan yang terbaik untuk terus maju dalam bidang ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×