MEMAHAMI aliran fesyen 2022 melalui siri pertunjukan fesyen di New York, London, Paris dan Milan, menghuraikan arah yang akan diraikan industri fesyen bagi koleksi 2023.
Kombinasi gaya dari 1980-an dan 1990-an serta lebih sopan diperlihatkan menerusi ciri-ciri polos dan oversize, warna yang terang tetapi harmoni seperti ungu kebiruan dan magenta serta penggunaan corak berani menjadi pilihan sepanjang 2022.
Ulas Pensyarah Kanan, Jabatan Seni Reka Fesyen, Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor, Dr. Rose Dahlina Rusli, beberapa idea utama dijangka akan mempengaruhi trend fesyen bagi 2023 iaitu warna, potongan atau silhouette, perincian dan corak fabrik.
Jelas beliau, pengamal trend warna dan fesyen, Pantone dan Worth Global Style Network (WGSN) telah mengeluarkan lima warna popular untuk musim bunga atau musim panas 2023 yang akan mempengaruhi semua aspek reka bentuk dan fesyen semasa.
“Salah satu trend warna fesyen 2022 dikekalkan menjadi kegemaran yang kukuh untuk 2023 adalah tona lilac atau very perry.
“Warna ini menghiasi segala-galanya daripada pakaian kasual hingga potongan majlis khas. Nampaknya, rona ungu merentasi spektrum yang bakal kekal sehingga tahun depan.
“Tona warna diperbaharui yang dinamakan digital lavender bakal mendapat tempat dalam kalangan pencinta fesyen, khususnya penggemar warna lembut.
“Warna ini akan muncul dalam koleksi fesyen pada 2023. Tiada warna terlarang di sini, dengan campuran warna pastel dan rona permata yang berani, semuanya memainkan peranan dalam mencipta trend fesyen paling menyeronokkan dan digayakan pada 2023,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Bagaimanapun, Rose Dahlina berkata, selain ungu, tranquil blue yang merupakan gandingan antara tona aqua dan marine serta kuning dan earth turut dijangka menjadi trend 2023.
“Warna yang dinamakan verdigris green juga bakal dilihat dalam rekaan fesyen 2023. Menggabungkan warna lain bersama akan mengekalkan tema yang sejuk. Padanan warna neutral atau earth color juga antara yang bakal digunakan dan menjadi pilihan.
“Gabungan warna emas, coklat dan kuning air kelihatan ideal bagi mereka yang lebih menggemari earth color.
“Selain daripada warna yang harmoni dan sejuk, warna pop, luscious red atau tona merah ke jingga juga diramalkan menjadi trend dan sesuai untuk mereka yang lebih berani dan mahukan kelainan. Warna ini membawakan penampilan couture dan memberi semangat kepada si pemakai,” katanya.
POTONGAN SANTAI, LONGGAR
Menyentuh mengenai potongan rekaan yang akan digayakan pada 2023, beliau berkata, rekaan santai dan selesa masih menjadi trend semua peringkat umur.
“Potongan kurung Kedah yang diubah polanya mahupun kurung moden diberi nafas baharu melalui perincian yang lebih terperinci dan eksklusif.
“Bagi yang menggemari keterampilan kasual, denim juga menjadi salah satu trend untuk tahun hadapan. Pemakaian denim cenderung kepada longgar dan santai dengan padanan kemeja atau blaus.
“Kemeja atau blaus sama ada potongan longgar dan besar (oversized) atau sama padan dengan bentuk badan hasil daripada potongan jahitan rapi serta kemas adalah antara gaya rekaan menarik. Ia sealiran trend terbaharu dengan kepelbagaian potongan pola seperti lengan besar, lengan puff dan perincian lebih kreatif,” katanya.
DEKORASI DAN PERINCIAN
Selain itu ujar beliau, kain renda mungkin menjadi asas untuk trend fesyen 2023, tetapi tafsiran rupa berbeza daripada jenama ke jenama mengikut gaya dan kreativiti pereka.
“Ramai pereka antarabangsa cenderung ke arah perincian artisan, ditambah pula dengan teknologi baharu dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Gabungan renda baharu dan pemotongan laser yang rumit memberi penghormatan kepada hasil seni yang ditampilkan.
“Bagi musim hadapan juga, pereka menghasilkan busana yang kaya dengan dekorasi dan perincian. Pelbagai variasi warna dan mewah dihiasi ropol, tatahan labuci dan manik di samping mengekalkan sulaman kerawang yang menjadi trend pada hujung 2022. Penggunaan tessel dan fringe juga bakal ditampilkan bagi menonjolkan sisi feminin pemakai,” katanya.
Tambah beliau, corak cetakan berinspirasikan digital, tema fantasi dan bergabung artistik membawa tahap reka bentuk cetakan kreatif yang baharu.
“Padanan fabrik belang atau petak menjadi trend fesyen lebih menonjol. Penggunaan corak ini yang digabungkan dengan corak lain mewujudkan padanan lebih kreatif. Pakar fesyen meramalkan jalur yang bold atau super stripes akan menjadi salah satu cetakan fabrik utama perlu dicari pada 2023,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, corak floral tidak pernah ketinggalan zaman, khususnya di Asia. Ia adalah salah satu cetakan fabrik abadi yang mendapat sambutan dalam hampir setiap musim.
“Corak skala besar juga diramalkan akan membuat kemunculan semula. Elemen drama yang ditambah pada pakaian tidak dapat ditandingi. Pereka akan datang boleh menggunakan cetakan berskala besar untuk menghasilkan beberapa koleksi tekstil yang menarik,” katanya.
TONA UNGU, KUNING PILIHAN PEREKA
Sementara itu, pereka fesyen, Hatta Dolmat berpandangan sama dengan Rose Dahlina iaitu 2023 memperlihatkan tona ungu dan kuning akan menjadi pilihan label dan pereka fesyen.
“Kalau bercakap mengenai warna ungu atau palet ungu, pastinya terdapat banyak tona warna seperti lavender voile dan ungu cair, manakala warna kuning seperti baby yellow dan bright yellow akan digunakan pada 2023,” katanya.
Namun, kongsi Hatta, warna pink atau fuchsia pink akan terus mewarnai tona 2023. Trend warna ini telah diangkat menjadi warna merah akan datang yang digunakan oleh pereka fesyen Valentino.
“Ia menjadi tumpuan fesyen, tahun lalu sehingga terbawa-bawa ke Malaysia dan menjadi tema pelbagai majlis. Pink juga bukan lagi warna yang aneh untuk lelaki.
“Warna sebegitu dan fesyen daripada warna fuchsia pink dan pink masih akan kekal dibawa ke 2023,” katanya.
GLITTER, LASER CUT DAN LACE
Bagi Hatta, glitter akan mendapat perhatian dan masih berada dalam bayangan fesyen 2023 kerana sesuai untuk pakaian malam, majlis dan sebagainya.
“Glitter pasti akan kekal dan tona semula jadi akan memberi keseimbangan dalam fesyen ready-to-wear, terutama pakaian waktu siang.
“Namun, fesyen laser cut atau lace juga akan menjadi perhatian atau bayangan fesyen 2023,” katanya.
Hatta turut membuat perbandingan dan perkembangan antara fesyen Malaysia dan peringkat global yang mana kebanyakan fesyen tempatan masih lagi berlandaskan syariat Islam, biarpun menggayakan corak dan fabrik seperti printed, chiffon, pleated, lisu, ruffles dan sebagainya.
“Kita masih mengekalkan konsep yang sesuai dengan budaya dan masyarakat. Berbeza dengan peringkat global, mereka lebih berani menggayakan rekaan unik. Mereka berani untuk pakai sehari-hari, terutama bagi 2023,” katanya.










