TANAH MERAH: Tawaran upah sebanyak RM60 sehari dipercayai menjadi punca dua lelaki terjebak dalam kegiatan memproses dan menjual air ketum secara haram sejak dua tahun lalu terbongkar selepas diserbu Pasukan Gerakan Am (PGA) semalam.
Serbuan pukul 3 petang di Kampung Bechah Tok Kamal itu membawa kepada rampasan daun dan air ketum, pil yaba serta pelbagai peralatan yang digunakan untuk memproses minuman itu.
Komander Briged Tenggara, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, hasil siasatan awal mendapati kedua-dua suspek berusia 23 dan 36 tahun itu menjalankan kegiatan tersebut secara sepenuh masa dengan bekerja di bawah arahan seorang lelaki.
Katanya, kedua-dua suspek dipercayai bertanggungjawab memproses air ketum setiap hari bermula pukul 1 petang hingga 7 malam dengan kapasiti pengeluaran dianggarkan mencecah 200 bungkus sehari.
“Bagi setiap urusan, kedua-dua suspek akan berhubung dengan individu dikenali sebagai Sardi yang dipercayai menjadi dalang utama kegiatan tersebut dan mereka menerima bayaran sebanyak *RM60 sehari.
“Suspek dipercayai mula aktif dalam kegiatan memproses dan menjual air ketum sejak Februari 2024 secara sepenuh masa,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Ahmad Radzi memberitahu, pemeriksaan dilokasi telah menemukan 190 liter air ketum, 30 kilogram daun ketum, pil yaba serta pelbagai peralatan pemprosesan yang dianggarkan bermula RM9,490.
Kataya, kes tersebut kini diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952, Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama,” ujarnya.-UTUSAN









