PBB kutuk penempatan haram Yahudi di Tebing Barat - Utusan Malaysia

PBB kutuk penempatan haram Yahudi di Tebing Barat

JENTOLAK Israel merobohkan rumah keluarga Palestin di kampung Qilqes, beberapa kilometer dari penempatan Israel di Beit Hagai, selatan bandar Hebron di Tebing Barat.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, mengutuk perluasan tanpa henti penempatan haram Yahudi di Tebing Barat yang diduduki Israel.

Menurut laporan suku tahunan mengenai Tebing Barat kelmarin, Guterres menegaskan tindakan tersebut menyumbang kepada krisis perpindahan penduduk paling buruk di wilayah itu sejak 1967.

Beliau berkata, peningkatan pos penempatan peneroka ha­ram Yahudi mencetuskan lonja­kan keganasan dan menyekat akses rakyat Palestin ke tanah mereka.

“Perkembangan ini memburukkan ketegangan, mengukuhkan lagi pendudukan haram Yahudi melemahkan hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri. (Ia) mengancam kewujudan sebuah negara Pa­les­tin yang sepenuhnya bebas dan berdaulat,” kata Guterres.

Beliau turut memberi amaran terhadap rancangan Israel untuk membangunkan ka­wasan yang dikenali sebagai E1 di Te­bing Barat. Beliau menyatakan penempatan baharu itu akan memutuskan hubungan antara bahagian utara dan selatan wilayah tersebut.

“Oleh itu, ia akan memberi kesan serius terhadap persempadanan wilayah Palestin dan menjadi ancaman kepada penyelesaian dua negara,” kata­nya.

Laporan itu turut mengecam kekebalan terhadap keganasan peneroka haram Yahudi  dengan menunjukkan ia sering berlaku di hadapan atau sokongan pasukan keselamatan Israel.

“Keganasan peneroka, sekatan akses, perobohan dan operasi keselamatan berpanjangan meningkat dalam beberapa tahun kebelakangan ini, mengakibatkan krisis perpindahan terbesar di Tebing Barat sejak 1967,” kata Guterres.

Dalam satu kenyataan bersama sebelum mesyuarat Majlis Keselamatan PBB mengenai Tebing Barat, lima anggota Eropah dalam majlis itu, Perancis, United Kingdom, Greece, Latvia dan Denmark mengecam aktiviti penempatan tersebut.

“Kami menyeru kerajaan Israel supaya menghentikan per­luasan penempatan dan kuasa pentadbiran, memastikan akaun­­tabiliti terhadap keganasan oleh peneroka serta menyiasat dakwaan terhadap pasukan Israel,” kata wakil tetap Perancis ke PBB, Jerome Bonnafont. – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN