Jati diri remaja Orang Asli perlu diperkasakan dengan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan pendidikan, amalan gaya hidup dan minda sihat.
Ini termasuk menghindari pengaruh dan tingkah laku negatif yang boleh menjejaskan masa depan mereka seperti merokok, pengambilan dadah dan alkohol.
Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Datuk Dr. Asmayani Khalib berkata, kesedaran tingkah laku berisiko dalam kalangan remaja Orang Asli adalah aspek yang perlu diutamakan.
Katanya, bagi membentuk masyarakat Orang Asli yang seimbang antara kesihatan jasmani dan kerohanian, amalan cara hidup sihat perlu diterapkan dalam diri remaja kerana mereka adalah aset penting negara.
“Remaja sihat merangkumi fizikal dan minda. Bagi memastikan remaja di negara ini mendapat akses kepada kemudahan kesihatan berkaitan, sektor Kesihatan Remaja diwujudkan bagi merancang dan memperkukuhkan program serta perkhidmatan kesihatan remaja,” katanya pada Program Pemerkasaan Remaja Orang Asli Di Negeri Selangor yang diadakan di Hospital Orang Asli Gombak (HOAG), baru-baru ini.
Turut hadir, Pengarah HOAG, Dr. Izandis Mohamad Sayed, Presiden Persatuan Promosi Kesihatan Malaysia, Dr. Manimaran Krishnan Kaundan dan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli Malaysia (JAKOA), Saiful Zahlan Muhamad Azmi.
Dr. Asmayani berkata, kerjasama pelbagai agensi dan badan bukan kerajaan penting bagi meningkatkan pengetahuan, sikap dan amalan remaja Orang Asli terhadap tingkah laku kesihatan berisiko.
Penganjuran pelbagai aktiviti yang bersifat edutainment seperti sukan, pertandingan, pameran interaktif dan pemeriksaan kesihatan dapat menarik minat remaja menyertainya.
Program berkenaan membabitkan remaja dari Kampung Orang Asli Batu 12, Gombak; Rasau Hulu, Petaling; Bukit Tampoi, Sepang; Hulu Tamu, Hulu Selangor; Bukit Tadom, Kuala Langat dan Taman Desa Kemandul, Kuala Langat.
Sementara itu, Dr. Manimaran, berkata remaja Orang Asli juga tidak terkecuali terpengaruh dengan aktiviti tidak sihat, malah Kajian Morbiditi Kebangsaan mendapati 1 daripada 10 remaja, termasuk Orang Asli di negara ini merokok dan minum alkohol.
“Program ini kali pertama dijalankan dan banyak lagi program dirancang, termasuk memberikan latihan kepimpinan kepada remaja Orang Asli supaya mereka boleh menjadi ejen perubahan.
Program ini dijalankan dengan kerjasama institusi pengajian tinggi seperti Universiti Selangor dan Institut Darul Ehsan supaya mereka memiliki ciri kepimpinan, boleh berkomunikasi dan dapat membantu kita dalam mengarusperdanakan orang Asli.
“Menerusi aktiviti rekreasi dan sukan juga boleh meningkatkan keyakinan mereka untuk bersaing. Bakat mereka perlu dicungkil dan dipupuk seperti kemahiran bersukan yang secara tidak langsung boleh menjadi kerjaya mereka, seterusnya keluar daripada kepompong kemiskinan,” katanya.
Pada program itu, remaja didedahkan dengan pengetahuan asas penjagaan kesihatan menerusi gerai-gerai didirikan seperti gaya pemakanan sihat, cara melakukan teknik pernafasan atau CPR, pendedahan mengenai bahaya dadah seperti ganja dan peluang pendidikan ke peringkat universiti.
‘Banyak cabaran belajar’
Mahasiswa Kejuruteraan Perisian, Universiti Malaya, Garien Luther Panggau, 20, berkata, terdapat banyak halangan diharungi remaja Orang Asli melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.
Justeru katanya, kerajaan perlu aktif menggalakkan mereka meneruskan pengajian ke peringkat universiti, termasuk menyediakan infrastruktur seperti sekolah berasrama berhampiran kawasan penempatan.
“Antara sebab mereka keciciran dalam pendidikan adalah masalah pengangkutan bukan saja di pedalaman, tetapi juga di pinggir bandar seperti Kampung Batu 12, Gombak. Kedudukan sekolah yang jauh dan masalah pengangkutan, membuatkan mereka hilang semangat untuk belajar.
“Buka sekolah di tengah kawasan perkampungan dan sediakan khidmat untuk pergi ke sekolah atau buat asrama. Ramai yang terpaksa bekerja sebaik tamat sekolah kerana perlu membantu ibu bapa mereka menambah pendapatan bagi membolehkan adik-beradik lain ke sekolah,” kata mahasiswa Orang Asli Semelai ini.
Bagi meningkatkan jati diri, mata pelajaran seperti sejarah Orang Asli perlu dimasukkan ke dalam kurikulum supaya mereka bangga dengan asal usul masing-masing.
Meningkatkan peluang melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi, Garien dan mahasiswa lain menubuhkan Persatuan Mahasiswa Orang Asli (PMOA) dengan 180 ahli sejak dua tahun lalu dan dilancarkan secara rasmi pada awal tahun ini.
“Antara aktiviti dijalankan adalah mempromosikan peluang melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi. PMOA turut mempromosikan program latihan kemahiran (TVET) untuk remaja yang tidak berpeluang ke universiti. Ramai yang tidak tahu mengenai program TVET, sedangkan ia antara pilihan untuk menyediakan kemahiran mereka ke alam pekerjaan,” katanya.
Sementara itu, pelajar Tingkatan Lima, Norhasni Husaini, berharap khidmat pengangkutan ditambah.
“Setakat ini, bas sekolah disediakan JAKOA ada satu saja untuk membawa pelajar ke sekolah rendah dan menengah. Selalunya bas itu akan padat dan kena tunggu lama untuk pergi dan balik sekolah. Kena keluar awal pagi untuk menunggu bas kalau tidak lambat ke sekolah. Balik sekolah pun kena tunggu satu jam lagi untuk sampai ke rumah,” katanya.










