Seni bina berinspirasikan keindahan budaya etnik Batek dan Sarawak yang direka dua pelajar universiti berjaya meraih hadiah emas Anugerah Pereka Muda Asia (AYDA) 2022.
Zachary Ding Tok dari City University dan Young Hui Qi dari Universiti UCSI, masing-masing meraih kemenangan bagi kategori seni bina dan reka bentuk dalaman, sekali gus dan membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000 berserta piala.
Mereka turut layak mewakili negara ke pertandingan akhir di peringkat antarabangsa di Vietnam, tahun depan bagi merebut gelaran Pereka Muda Asia Tahunan yang turut menawarkan hadiah ke Sekolah Graduan Seni Reka Harvard, Amerika Syarikat (AS) selama tiga minggu.
Zachary, 20, yang berasal dari Belaga, Sarawak berkata, keindahan budaya dan tradisi 27 etnik di Sarawak memberikan idea kepadanya untuk membina ‘Kamek’ iaitu Pusat Komuniti Kebudayaan dan Penyelidikan Sarawak.
“Kamek bermaksud ‘saya’ dalam bahasa Sarawak. Terletak di antara Sungai Taboh dan Sungai Santubong yang menjadi titik tumpuan masyarakat di Bandar Baru Samariang kerana ia lokasi berpotensi dikelilingi pelbagai etnik Sarawak.
“Kamek terdiri daripada tiga bangunan utama, mengandungi ruang pameran dan aktiviti berkaitan tradisi serta budaya etnik antaranya seperti Iban, Bidayuh, Orang Ulu, Penan, Kelabit dan Melanau. Rekaan setiap ruang dan struktur berkait dengan elemen budaya tertentu setiap etnik.
“Paling menarik, di tingkat bawah dibina sungai tiruan yang menghubungkannya dengan Sungai Taboh. Pelancong boleh ke bangunan ini dengan menaiki bot iaitu pengangkutan tradisional etnik Sarawak dan disambut oleh ‘Alut Hab’ iaitu ruang dengan rekaan unik berinspirasikan tatu Iban iaitu ‘Bunga Terung’, lambang kebebasan, pengetahuan dan kebijaksanaan,” katanya.
Sruktur bangunan dibina menggunakan rotan dan kayu balak bagi menghasilkan suasana hangat di setiap ruang sambil menikmati seni tempatan seperti ‘Lan Berambeh’, persembahan muzik dan kraftangan tradisional.
Ruai atau beranda rumah panjang turut diterapkan dalam binaan ini, di mana penghuninya menghabiskan kebanyakan masa terluang di sini.
Menggunakan buluh dan rotan terpakai, ia mengembalikan nostalgia rumah panjang yang semakin dilupakan generasi muda.
Zachary berkata, dia mengambil masa antara lima hingga enam bulan untuk mendapatkan idea dan menyiapkan binaan berkenaan.
Anak sulung daripada dua beradik itu turut berazam menambah baik rekaannya untuk dipertandingkan di peringkat antarabangsa pada Mei 2023.
“Berdarah kacukan Cina dan Orang Ulu, suatu kelebihan kerana saya tahu tradisi Orang Ulu serta orang bandar. Setiap ruang yang saya buat ada kaitan dengan tradisi.
“Ramai golongan muda sudah semakin lupa dengan tradisi mereka dan paling menyedihkan, mereka juga gagal bertutur dalam bahasa nenek moyang dengan baik. Rekaan binaan ini adalah untuk orang muda kembali kepada asal usul mereka,” katanya.
Kepupusan etnik Batek jadi inspirasi
Young Hui Qi, 21, menghasilkan rekaan Paradox Unity iaitu pusat pemulihan meditatif budaya untuk etnik Batek yang tinggal di hutan hujan Kelantan, Terengganu dan Pahang.
“Etnik Batek semakin pupus dengan populasi sekitar 1,000 orang saja pada masa ini. Sekiranya dibiarkan tanpa sebarang tindakan, etnik ini lama-kelamaan akan pupus bersama budaya dan tradisinya yang unik.
“Ini disebabkan proses globalisasi dan pencerobohan hutan yang mengancam tempat tinggal mereka secara fizikal dan emosi. Mereka percaya hutan adalah dunia mereka di mana mereka bebas bercucuk tanam dan menjalani kehidupan ringkas dengan keperluan asas,” katanya.
Anak kelahiran Kuala Lumpur ini berkata, pusat berkenaan bermatlamat menghidupkan semula dan mengekalkan budaya Orang Asli Batek.
Rekaan taman pemulihan dan ruang meditatif dalam projek ini memberikan inspirasi untuk melihat hubungan dengan alam semula jadi.
Teknik binaan berdasarkan budaya etnik itu turut diterapkan dalam seni bina pusat ini seperti penggunaan atap rumbia dan ukiran.
Ada muzium bagi mengiktiraf sejarah komuniti ini, budaya dan bahasa ibunda serta pusat perdagangan barter bagi mempromosikan budaya perniagaan dalam kalangan etnik.
“Projek ini bukan saja bermatlamat menghasilkan keseimbangan budaya dan semangat etnik Batek, tetapi turut berfungsi sebagai strategi kesedaran menjaga alam sekitar dan menjadikannya sebagai pusat aktiviti budaya serta pelancongan,” katanya.
Mengenai persediaan ke pertandingan berkenaan tahun depan, katanya impian itu sudah lama ada dalam dirinya.
Menyedari persaingan sengit pada pertandingan itu kelak, terutama peserta dari Jepun yang terkenal dengan rekaan ringkas dan minimalis, Hui Qi berharap mampu mencapai kejayaan yang boleh membanggakan keluarga, universiti dan AYDA Malaysia.










