PETALING JAYA: Penyanyi, Ning Baizura menasihatkan pendatang baharu untuk mencari keunikan tersendiri dan tidak terlalu mengejar populariti dengan melakukan publisiti murahan terutama di media sosial.
Ning berkata, menjadi seorang anak seni yang relevan bukan sesuatu kejayaan yang mudah dicapai sebaliknya seseorang artis itu perlu meraih peluang dengan menggunakan bakat serta potensi sendiri.
“Sekarang zaman media sosial, jangan gunakan itu untuk tular sahaja. Apa kelebihan kita? Keunikan yang membezakan kita dengan artis lain. Tak perlu jual perkara negatif semata-mata untuk popular sahaja.
“Saya bercakap daripada pengalaman. Kita seharusnya fokus bagaimana mewarnai karya seni. Jadilah seorang yang berfikir sebelum bertindak. Letakkan keutamaan kepada bakat. Usah cari salah orang lain,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Penyanyi yang popular dengan lagu Selagi Ada Cinta ini turut menambah, pendatang baharu perlu berhati-hati sebelum memuat naik hantaran atau kenyataan di media sosial supaya dapat mengelakkan kontroversi murahan.
“Fikir sebaik mungkin. Teliti sama ada apa yang kita muat naik itu hanyalah satu ‘permainan’ yang boleh mengundang pelbagai persepsi negatif. Buat orang terfikir kita hanya cari kontroversi dan populariti.
“Sepanjang tiga dekad dalam industri, macam-macam saya sudah lalui. Belajarlah daripada kesilapan orang lain,” katanya.
Dalam pada itu, Ning berkata, dia berhasrat untuk membuka kelas vokal untuk memberi didikan khususnya kepada penyanyi baharu yang mahu belajar dan memperbaiki teknik nyanyian.
“Saya suka mengajar. Pernah juga menjadi guru vokal kepada beberapa penyanyi baharu. Jadi saya berhasrat untuk membuka kelas vokal untuk memndidik mereka teknik nyanyian yang betul,” katanya.










