Rupa atau bakat: Polemik tanpa noktah - Utusan Malaysia

Rupa atau bakat: Polemik tanpa noktah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ANTARA cantik dan bakat, mana satukah yang dimahukan penonton? Lumrah manusia lebih mudah tertarik kepada sesuatu yang menarik, cantik dan menawan, namun apakah kriteria itu memadai apabila membicarakan mengenai kerja seni?

Definisi kacak atau cantik itu subjektif dan terlalu luas skopnya untuk diperdebatkan. Malah, tafsiran setiap individu terhadap kecantikan juga berbeza.

Rentetan itu, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) dan Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (Wham) mengambil inisiatif menganjurkan forum bagi membincangkan topik hangat, Antara Cantik dan Bakat: Di Manakah Magis Pengukuh Kredibiliti?

Memuatkan artikel berkaitan…

Berlangsung di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), forum dikendalikan Fahrin Ahmad itu bertujuan menyemarakkan sambutan Festival Filem Malaysia Ke-32 (FFM32) yang bakal diadakan di Teater Encore, Melaka pada 2 Disember ini.

Sikap juga penting – Md. Nasir

Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Prof. Dr. Md. Nasir Ibrahim, yakin rupa paras dan bakat perlu bergerak seiring untuk seseorang menempa nama sebagai pelakon.

Namun katanya, sikap juga memainkan peranan penting untuk berjaya dalam bidang lakonan.

“Muka sudah ada, tetapi perlu diingat bakat juga kena sentiasa digilap. Bukan semua orang dilengkapi ‘pakej semula jadi’ kerana itu kurniaan Tuhan.

“Kalau tiada rupa menawan, masih ada peluang untuk menjadi pelakon sekiranya tidak berhenti menggilap bakat,” katanya.

Mengulas lanjut, Md. Nasir berkata, bukan hanya paras rupa dan bakat, sikap juga memainkan peranan penting dalam membentuk pelakon yang bagus.

Sekiranya tiga elemen ini diterapkan dalam kehidupan seseorang pelakon, sudah tentu mereka mampu melangkah jauh dalam bidang seni.

“Kalau ada rupa dan bakat, tetapi sikap tidak bagus, usaha itu tidak akan menjadi. Individu itu tidak boleh pergi jauh.

“Pelakon dulu sangat menjaga aspek disiplin kerana sikap juga penting untuk berjaya.

“Berbeza pelakon sekarang yang ada bersikap sombong. Sebagai pelakon baru, mereka boleh menggilap bakat lakonan dengan menimba ilmu dengan mereka yang lebih berpengalaman,” katanya.

Rupa, bakat harus seiring – Yusof Haslam

Pengarah berkaliber, Datuk Yusof Haslam berpendapat, rupa dan bakat harus seiring untuk mendapat tempat dalam industri perfileman.

“Bercakap soal rupa dan bakat, ia subjektif kerana semua manusia mahukan yang cantik.

“Sebagai pelakon dan pengarah, mata kita adalah kamera. Kita akan tengok cara pelakon itu berjalan dan bercakap.

“Isteri saya sendiri adalah penasihat dan penonton pula mewakili masyarakat. Jika tidak, saya akan menjadi pengarah yang syok sendiri.” katanya

Namun, kata Yusof, bukan satu jaminan dengan mengambil artis popular dan cantik, filem akan mendapat sambutan.

“Ada juga pelakon yang memiliki daya penarik seperti Seniwati Azean Irdawaty dan Allahyarham Nordin Ahmad.

“Justeru, saya menafikan pelakon yang kurang dari segi rupa tiada peluang dalam industri kerana pembahagian watak mengikut kesesuaian dan masing-masing ada peranan menaikkan industri seni,” katanya.

Bagi pengarah dan penerbit yang sudah menghasilkan 40 filem ini, dia turut mendapatkan pandangan pihak lain, terutama isterinya.

“Filem pertama Bayangan Maut yang diterbitkan pada 1991, saya ambil Noorkumalasari sebagai pelakon yang dahulunya adalah peragawati.

“Dalam Sembilu pula, saya pilih Erra Fazira sebab cantik dari segi cara dia berjalan dan bercakap, begitu juga Ziana Zain.

“Namun, mereka tetap perlu menjalani uji bakat untuk melihat kesesuaian watak,” tegasnya.

Bakat nombor satu – Noorkumalasari

WALAUPUN pernah bergelar peragawati dan model terkenal sejak 1960-an, Noorkumalasari tidak pernah meletakkan rupa paras sebagai prasyarat utama untuk melangkah masuk dalam industri hiburan.

Baginya, definisi cantik itu terlalu luas dan tidak hanya diukur dari segi penampilan luaran semata-mata.

“Cantik ini dari segi apa? Perangai, cara kerja atau menjaga ketepatan masa? Kalau tidak cantik, tetapi punya minat mendalam dan mempunyai bakat semula jadi, sudah tentu berpeluang memegang watak utama,” katanya.

Noorkumalasari yang mewarisi darah seni daripada kedua-dua ibu bapanya, Allahyarham Datuk S. Roomai Noor dan Allahyarham Datin Umi Kalthum juga tidak pernah menjadikan kelebihan itu untuk menceburi bidang seni.

Sebaliknya, dia sentiasa berusaha sendiri dalam setiap pekerjaan yang dilakukan sama ada ada sebagai pelakon, penyanyi atau peragawati.

“Usaha sendiri baru puas hati. Semua orang dilahirkan mempunyai bakat tersendiri, namun untuk mengupas aspek keberkesanan lakonan di depan kamera, kita ada audiens yang menilai,” katanya.

Katanya jika berbakat besar, kecantikan dapat diterjemahkan menerusi kualiti lakonan.

“Penonton mahu melihat rupa dan bakat, justeru tidak boleh dinafikan, pelakon perlu ada paras menarik. Memiliki kedua-dua pakej itu adalah anugerah.

“Pelakon yang mungkin kurang dari segi paras rupa, namun ada bakat besar masih boleh memegang watak utama. Lihat bagaimana industri Hollywood mengetengahkan bakat mereka. Kecantikan itu menyerlah menerusi watak yang mereka lakonkan,” jelasnya.

Cantik pembuka jalan masuk industri – Sharifah Rose

PELAKON baharu, Sharifah Rose berpendapat, memiliki paras rupa menawan membantu membuka jalan seseorang untuk mula menceburi bidang seni.

Sharifah Rose mengakui, terkejut apabila menjadi pilihan pengarah untuk membawa watak utama selepas menghadiri sesi uji bakat pada awal pembabitan dalam bidang lakonan.

“Ketika itu, saya sangat risau sebab tiada pengalaman, tetapi tetap mahu mencuba. Bagi saya, paras rupa boleh menjadi pembuka jalan, namun perlu ada inisiatif untuk terus belajar.

“Saya mengambil inisiatif berguru dengan pelakon berpengalaman, Ellie Suriaty sebab tahu betapa sukarnya menjadi pelakon,” katanya.

Mengulas lanjut, heroin Kekasih Hati Mr. Bodyguard memberitahu, dia pernah dilabelkan sebagai pelakon ‘kayu’ ketika kali pertama membintangi drama.

“Kritikan itu saya jadikan sebagai pembakar semangat dan manfaat untuk perbaiki diri. Saya berusaha mencari drama yang boleh dijadikan rujukan dan menerapkan apa yang saya pelajari dalam lakonan.

“Berlakon banyak membantu mempertingkatkan kemahiran dalam kehidupan seharian kerana sebelum ini, saya pemalu,” katanya.

Rupa paras bukan jaminan kekal dalam industri – Hariz Hamdan

BERMULA dengan program realiti Hero Remaja, Hariz berpendapat, bakat adalah aspek utama yang membolehkan seseorang pelakon itu kekal relevan dan terus menjadi perhatian produksi.

“Soal wajah itu sangat subjektif, ada orang kata saya kacak dan ada yang kata tidak. Semua itu terpulang kepada citarasa masing-masing.

“Kalau mahu yang cantik dan kacak, lebih baik ambil model berlakon. Bagi saya, tugas penting seorang pelakon adalah menjayakan watak di hadapan kamera. Bakat yang akan membawa pelakon itu maju dan kekal relevan,” ujarnya.

Disoal sama ada individu yang tidak memiliki rupa paras yang menawan perlu berusaha lebih keras untuk mendapat tempat, Hariz tidak menafikan perkara tersebut.

“Kebanyakan orang akan cakap rupa paras dapat melonjakkan kita untuk meraih tempat dalam industri. Perkara itu memang benar. Namun, selama mana kita mahu berada dalam industri?

“Kalau mahu bertahan lama, kita perlu fokus pada kerjaya dan kredibiliti kerana ramai pelakon hebat serta berpengalaman masih mendapat tempat dalam industri.

“Apa yang perlu adalah keberanian untuk mencuba. Mungkin pelakon lain ada kelebihan dari segi rupa, tetapi kita tidak pernah tahu hal berkaitan rezeki,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×